PELANCARAN robot ‘mesra’ dalam satu majlis, baru-baru ini.
PELANCARAN robot ‘mesra’ dalam satu majlis, baru-baru ini.
Agensi

RATUSAN robot yang mahir bertutur dalam beberapa bahasa dan menyanyi kini berkhidmat di hotel, pusat beli-belah dan pejabat kerajaan negara itu.

Robot berkenaan dicipta syarikat tempatan LionsBot dan boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, Melayu, Mandarin, Tamil, Jepun serta ‘Singlish’ iaitu gelaran diberikan kepada bahasa slanga tempatan penduduk Singapura.

Memetik South China Morning Post, robot ini disewa pada harga AS$1,000 (RM4,107) sebulan dan LionsBot menyasarkan 300 unit menjelang Mac tahun depan.

Bukan setakat menghiburkan pengguna dengan menyanyi Rap dalam Inggeris, robot terbabit mahir membuat kerja rumah seperti memberus, mengelap, vakum dan menyapu lantai.

Ia dicipta bagi membantu menampung masalah kekurangan pekerja di Singapura yang mempunyai 5.6 juta penduduk.

Menariknya, peranti berkenaan dihasilkan dalam 13 jenis model turut pandai membuat lawak atau meminta laluan daripada orang yang menghalang laluan mereka.

Pengguna boleh mendapatkan maklum balas daripada robot dengan menekan butang ‘hati’ atau menggunakan aplikasi untuk bertanyakan khabar atau hobinya.

Ketua Pegawai Eksekutif LionsBot, Dylan Ng berkata, syarikat itu mahu menghasilkan robot yang mesra, boleh mengingati nama pengguna dan bertegur sapa.

Ng menegaskan robot terbabit bukan bertujuan menggantikan pekerja pembersihan dan sekadar berfungsi sebagai pembantu.

Setakat ini, LionsBot sudah menandatangani perjanjian dengan enam syarikat pembersihan dan robot ditempah akan dibekalkan secara berperingkat.

Robot berkenaan sudah memulakan perkhidmatannya di kompleks beli-belah dan hiburan baru Lapangan Terbang Changi, sebuah galeri seni, pusat peranginan dan bangunan pejabat.

ROBOT membantu membersihkan kawasan.
ROBOT membantu membersihkan kawasan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 9:26 AM