MALLORCA tawar gaya percutian mewah, aktif, santai. FOTO Lizam Ridzuan
MALLORCA tawar gaya percutian mewah, aktif, santai. FOTO Lizam Ridzuan
Lizam Ridzuan


PELUANG mengunjungi pulau terindah di Eropah nyata memberi pengalaman baharu untuk penulis walaupun ia atas urusan tugasan. Selama ini penulis hanya melihat keindahan Mallorca menerusi rancangan televisyen dan Internet. Tidak sangka dianugerahkan rezeki untuk menyaksikan keindahan ciptaan Allah di pulau yang jarang menjadi perhatian pelancong dari rantau ini.

Mallorca yang terletak di Sepanyol adalah pulau terbesar di negara itu yang mengekalkan wajah bandar Eropah lama. Berkeluasan 3,640 kilometer persegi, ia dikelilingi pantai sejauh 550 kilometer (km) yang terletak di antara Laut Balearic dan Mediterranean.

Pulau yang mempunyai banyak kawasan berbukit dengan jalan berselekoh menawarkan pemandangan laut seluas saujana mata memandang dari puncak. Ternyata, pemandangannya seindah yang dipaparkan. Rasa tidak puas melihat kebiruan air laut yang memukau, cantik bergandingan dengan biru langit yang menenangkan.

MENGEKALKAN rekaan bandar Eropah lama. FOTO Lizam Ridzuan
MENGEKALKAN rekaan bandar Eropah lama. FOTO Lizam Ridzuan

Menurut sejarah, pulau itu pernah berada bawah pentadbiran kerajaan Islam sehingga 1229 sebelum diambil alih oleh Kristian melalui kisah peperangan lampau.

Ini boleh dilihat melalui gereja Santa Maria sepanjang 121 meter yang menjadi ikon dan tarikan utama pelancong ke sana dengan keunikan seni bina pada 1601 pada asalnya adalah tapak masjid yang pernah dibina di kawasan itu. Terkesan di hati membaca kisah sejarah tempat itu.

jalan-jalan

Palma de Mallorca adalah bandar utama pulau itu dengan pelabuhan dan dek kapal layar mewah antara yang banyak terdapat di sekitarnya.

Bandar dengan bangunan lama serta laluan sempit ciri utama kawasan itu menjadi tarikan pelancong untuk melihat keindahan seni binaan dan sejarahnya. Pulau itu boleh diteroka dan dihayati dengan hanya berjalan. Lokasi ideal bagi mereka yang mahukan percutian santai.

ANTARA cenderahati dijual. FOTO Lizam Ridzuan
ANTARA cenderahati dijual. FOTO Lizam Ridzuan

Seronok dan kagum rasanya berada di sepanjang laluan kerana boleh dilihat bagaimana bangunan yang sudah ratusan tahun dipelihara dengan baik. Kawasan sekitarnya yang bersih dan kemas membuatkan pelancong (termasuk penulis) selesa bersiar-siar di sana.

Bahasa utama pertuturan di Mallorca ialah bahasa Sepanyol dan kebanyakan penduduknya mampu bertutur dalam bahasa Inggeris yang memudahkan urusan anda untuk membeli barangan cenderahati atau bertanya arah jalan.

Pulau itu juga menjadi perhatian buat mereka yang gemar berbasikal. Persekitaran, laluan, kebersihan, cabaran berbukit, pemandangan, cuaca dan keselamatan yang terhidang di pulau itu antara faktor yang membuatkan ia menjadi pilihan geng berbasikal. Berdasarkan pemerhatian penulis, memang ramai yang melakukan aktiviti itu sepanjang hari dan kebanyakannya datang dari negara lain seperti Switzerland, Jerman dan United Kingdom.

PENULIS di pekarangan kawasan gereja Santa Maria. FOTO Lizam Ridzuan
PENULIS di pekarangan kawasan gereja Santa Maria. FOTO Lizam Ridzuan

Mata wang yang digunakan ialah Euro dan buat mereka yang gemar membeli-belah, jangan lupa untuk singgah di Passeig des Born di Palma. Di situ kita boleh mendapatkan pelbagai barangan berjenama atau cenderahati pada harga berpatutan. Jika tiada bajet besar, setidak-tidaknya boleh membeli satu tanda kenangan untuk diri sendiri.

Penulis sempat berjoging pada waktu pagi dari hotel penginapan Sa Cabana ke bandar kecil berdekatan, Binissalem dalam lingkungan jarak tiga kilometer (km) untuk melihat gaya hidup masyarakat di sana dan kebetulan terdapat bazar pagi yang menjual sayuran segar, bunga serta pakaian.

Seronok melihat hasil tani yang dijual di situ. Segar dan cantik warnanya. Pertanian dan penternakan juga antara aktiviti utama di pulau Mallorca selain sektor pelancongan yang menjadi pendapatan utama penduduknya.

SAYURAN di bazar pagi. FOTO Lizam Ridzuan
SAYURAN di bazar pagi. FOTO Lizam Ridzuan

Sememangnya pulau itu sesuai buat mereka yang mahu mencari ketenangan fikiran sambil beriadah. Sepanjang perjalanan pada hari yang dianugerahkan cuaca cerah dan nyaman dengan suhu sekitar 21 darjah Celsius, cahaya matahari dan langit biru adalah kombinasi terbaik untuk merakamkan gambar menarik.

Berkesempatan memandu di pulau itu nyata juga memberi pengalaman terbaik kepada penulis. Walaupun pemanduan di sebelah kiri tetapi ia tidak menjadi masalah kerana sikap pemandu di sana yang berdisiplin, papan tanda yang jelas dan mempunyai alat pengesan kedudukan global (gps) bagi memudahkan pergerakan.

Walaupun jarak pemanduan tidak jauh, hanya 50km dari hotel penginapan ke pantai Porto Cristo, penulis sempat singgah makan tengah hari di Banyalbufar yang mempunyai pemandangan sangat indah menghadap Laut Balearic.

Menyusuri laluan selekoh berlatar belakangkan laut dan bukit memberi ketenangan sepanjang perjalanan, membuatkan penulis terasa seolah-olah berada dalam filem romantis.

Kenangan terindah di pulau itu sentiasa menjadi memori manis penulis dan berharap semoga suatu hari nanti akan kembali berlibur di sana.

BANGUNAN ikonik di Mallorca. FOTO Lizam Ridzuan
BANGUNAN ikonik di Mallorca. FOTO Lizam Ridzuan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 11:43 AM