KUMPULAN pendaki bergambar kenangan sebelum bergerak turun di Kabin 369.
KUMPULAN pendaki bergambar kenangan sebelum bergerak turun di Kabin 369.
SALJI tebal dan jarak pandangan terhad memperlahankan pendakian.
SALJI tebal dan jarak pandangan terhad memperlahankan pendakian.
BEBERAPA pendaki bermain salji di hadapan dapur kabin.
BEBERAPA pendaki bermain salji di hadapan dapur kabin.
PEMANDANGAN indah ketika merentasi lereng gunung yang dilitupi salji.
PEMANDANGAN indah ketika merentasi lereng gunung yang dilitupi salji.
LOE merehatkan diri sambil mengirim mesej ke Malaysia.
LOE merehatkan diri sambil mengirim mesej ke Malaysia.
Husain Jahit


“Ini bukan muntahlah. Aku saje nak test salji ni.” Begitulah kata-kata seorang daripada pendaki, Rosuardi Nizam Mohammd Rodzi atau Wadi yang mengikuti misi menawan Gunung Syue (turut dikenali Gunung Xueshan atau Gunung Salji) setinggi 3,886 meter dari paras laut (mdpl) di bandar Wuling di Taiwan, baru-baru ini.

Sambil bergurau, konon­nya Wadi bersama 12 pendaki lain membuat ujian warna ke atas salji yang putih bersih menjadi kekuningan terkena muntah.

Sedangkan hakikat­nya, ketika itu Wadi me­ngalami serangan akut gunung atau AMS akibat kekurangan oksigen di dalam darah disebabkan kedudukan pada tahap tinggi serta salji yang tebal mengakibatkan kadar oksigen menipis di dalam udara. Gejala lain serangan AMS ialah berasa sakit kepala dan mengantuk.

Namun, Wadi mampu mengawalnya sambil berjenaka dan menceriakan diri sendiri manakala rakan pendaki, Fakhrul Munir Mohd Isa (Loe) selaku ketua kumpulan serta Mohd Nazri Abdul Rahim (sweeper) turut membantu bagi mengatasi masalah AMS yang dihadapi Wadi daripada berterusan.

Misi luar biasa dan kali pertama bagi sebahagian besar ahli kumpulan mendaki puncak alpina atau gunung bersalji memang mencabar keupayaan diri kerana bentuk muka bumi serta cuaca tidak menentu sejak hari pertama pendakian dari pintu masuk di Taman Hutan Wuling.

Keseluruhan pendakian mengambil masa empat hari tiga malam untuk sampai ke puncak dengan ribut dan salji tebal menjadi antara cabaran yang menguji tahap kecekalan setiap pendaki.

Jurupandu Mohd Khafiz Bachok (Kichok) yang berpengalaman luas dalam aktiviti mendaki gunung alpina dan mendakwa sudah lebih lima kali menggapai puncak Syue mengepalai pendakian.

Perjalanan hari pertama hanya mengambil masa dua jam dari pintu masuk Taman Hutan Wuling ke kabin Cika pada ketinggian 2,400mdpl. Suasana perjalanan juga agak nyaman dengan udara segar tetapi sudah terasa kedi­nginan agak melampau dan kadangkala hujan.

Kami berehat di sini dan menginap sambil mempersiap diri dengan pelbagai peralatan mendaki gunung ais yang kebanyakan terlalu baru bagi kami seperti kasut berpaku atau crampon, kapak ais dan topi keselamatan.

Di sini juga kami diajar cara-cara menggunakan dan memakai semua peralatan itu selain diberi taklimat mengenai pendakian pada keesokan harinya.

Perjalanan hari kedua bermula seawal jam 8.30 pagi selepas bersarapan pagi secara ringkas yang disediakan oleh Loe dan Kichok.

Pendakian kami kian mencabar dengan bentuk laluan semakin menegak, manakala cuaca dingin menusuk hingga ke tulang. Awal pendakian hari kedua ini masih di kawasan hutan pokok pain dan pokok renek yang biasa tumbuh di kawasan pergunungan.

Tujuh jam berjalan dan berehat seketika melepas lelah kemudian sambung semula pendakian, akhirnya kumpulan kami menghampiri Kabin 369 dan sudah pun berada di kawasan bersalji. Pemanda­ngan sepanjang perjalanan itu amat menakjubkan dengan pergunungan memutih dan di selang-seli kehijauan hutan pain.

Kami bermalam di kabin yang hanya menyediakan tempat tidur berupa pangkin panjang dua tingkat, dapur dan tandas. Manakala segala keperluan lain dibawa sendiri termasuk beg tidur, alas tidur, makanan, minuman, peralatan memasak dan pelbagai lagi tanpa ada bantuan porter. Boleh dikatakan setiap se­orang daripada kami masing-masing memikul beg galas seberat 30 kilogram.

Kami sama-sama menyediakan makan malam di dapur yang dikongsi bersama kumpulan pendaki lain serta renjer hutan yang ditugaskan memantau kumpulan pendaki Gunung Syue. Kebetulan pada waktu sama, ada sekumpulan kira-kira 60 anggota Bomba dan Penyelamat Taiwan yang dalam misi latihan menyelamat di pergunungan.

Selepas menikmati makan malam nasi putih bersama kari ayam, ikan masin dan keropok papadum, kami berehat sambil mempersiapsiagakan keperluan dan peralatan untuk menyerang puncak awal pagi esok.

Seawal jam 5 pagi, semua pendaki sudah bersedia dan mula bergerak selepas bacaan doa dan taklimat ringkas. Cuaca pagi itu terlalu dingin disebabkan ribut salji pada sebelah malam. Keseluruhan kawasan Kabin 369 kini diliputi salji tebal, namun jiwa kami tetap kental walaupun tahu cabaran getir di hadapan sejauh empat kilometer untuk ke puncak.

Pemakaian crampon amat membantu apabila berjalan di atas salji tebal. Ia menjadikan langkah kita lebih menceng­kam serta yakin, sekali gus mengelakkan daripada tergelincir. Kapak ais juga sentiasa di tangan berfungsi seolah-olah seperti tongkat yang menyokong keseimba­ngan ketika berjalan. Manakala cermin mata hitam atau goggle salji sentiasa melekap di mata bagi memastikan pendaki tidak mengalami gejala ‘buta salji’.

Kami menempuh perjalanan sukar dan panjang de­ngan kawasan hutan pain tebal sejauh dua kilometer dan kemudiannya melalui lereng gunung sejauh satu kilometer untuk sampai ke puncak. Sebelum itu kami berjalan kira-kira satu kilometer dari kabin ke pintu hutan.

Sudahlah dengan pendakian di atas muka bumi bersalji, kami juga diuji dengan keadaan angin kencang yang turut membawa debu-debu salji mengakibatkan jarak pandangan juga terhad. Oleh itu kami dinasihatkan supaya berjalan secara dekat dan tidak terlalu menjarakkan diri.

Dalam keadaan bersusah itu, seorang daripada pendaki, Muhamad Khirul Bahri Basaruddin sedikit hilang keseimbangan dan tertusuk crampon di atas kakinya sendiri. Mujur ia tidak begitu parah.

Namun, dengan kecekalan jiwa setiap pendaki, kami berhempas pulas mengharungi ribut dan salji tebal melebihi buku lali secara perlahan akhirnya puncak Gunung Syue berjaya digapai kira-kira jam 1.20 tengah hari. Tiada kata lain dapat diucap selain masing-masing berpelukan dan bersalaman sambil mengucapkan syabas dan tahniah.

Secara tergesa-gesa juga kami merakam gambar sebagai kenangan di monumen puncak Gunung Syue kerana tahap kesejukan melampau iaitu -14 darjah Celsius dan berangin. Dalam pada itu, renjer hutan juga sudah memberi amaran supaya kami semua turun sebelum jam 1.30 tengah hari kerana dikhuatiri cuaca semakin buruk dan lebih menyukarkan perjalanan turun. Bagaimanapun kami diberi bonus sehingga jam 2 petang.

Laungan azan mengakhiri momen indah kami di puncak sebagai tanda syukur dapat menikmati satu lagi keindahan ciptaan Allah yang maha berkuasa.

Perjalanan turun lebih mencabar dan menguji kemampuan teknikal berjalan di atas salji. Kudrat yang ada juga semakin terhad hingga ada antara kami yang terus berbaring di atas salji setiap kali berhenti rehat.

Selama lima jam kami menempuh perjalanan turun ke Kabin 369. Pengalaman menggerunkan apabila terserempak seekor beruang mencari makanan di pangkal pokok pain. Syukur ia tak mengganggu. Kami meraikan lagi kejayaan sesama sendiri sebaik sampai di kabin dan bersedia untuk makan malam.

Pada keesokannya kami turun secara santai selepas minum pagi. Hampir dua jam perjalanan kami sampai di kawasan yang ada liputan rangkaian telekomunikasi. Ada antara kami yang menitiskan air mata sebaik berpeluang menghantar berita kepada keluarga tersayang selepas dua hari terputus hubungan.

Perjalanan turun itu mengambil masa enam jam. Penulis menjerit sebagai tanda puas meraikan kejayaan sebaik menjejak semula di pejabat renjer Taman Hutan Wuling. Ketibaan kami juga disambut tepuk tangan dan ucapan tahniah daripada pelancong tempatan yang kebetulan berada di kawasan itu. Mereka juga menganggap ini sebagai kejayaan luar biasa dilakukan oleh pendaki luar kerana orang tempatan tidak mendaki pada musim sejuk.

SENARAI PENDAKI:

1.Fakhrul Munir Mohd Isa (Loe)

2.Mohd Khafiz Bachok (Kichok)

3.Rosuardi Nizam Mohammd Rodzi

4.Mohd Nazri Abdul Rahim

5.Muhamad Khirul Bahri Basaruddin

6.Husain Jahit

7.Zainuri Misfar

8.Anacan Aaron Manlupig (warga Filipina)

9.Junefaezah Yaakob

10.Azizah Jamil

11.Nurul Hani Othman

12.Fariza Hanum Omar

13.Nur Habibah Umar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Jun 2018 @ 5:44 AM