AZIZUL menikmati hidangan yang disajikan.
AZIZUL menikmati hidangan yang disajikan.
Noriah Idris


Menikmati hidangan ayam, daging dan ikan sungai dibakar panas sambil kaki berendam dalam kedinginan air sungai yang mengalir tenang memang pengalaman unik serta pastinya membuatkan sesiapa saja teruja.

Jika suasana itu saja sudah mampu menarik perhatian, saat dihidangkan pula menu istimewa masakan tradisional Hulu Perak dan masakan bangsawan Melayu Pattani tentu menjadi pengalaman sukar dilupakan.

Itulah istimewanya Castella Cafe di Kampung Kerunai, Gerik, Perak yang difahamkan satu-satunya kafe di negara ini memberikan pengalaman kepada pengunjung untuk makan sambil berendam dalam kedinginan air sungai sedalam 0.5 meter.

Berpeluang berkunjung di kafe itu, penulis diberi kesempatan menikmati menu ‘lawa’ iaitu campuran isi ikan segar dan santan, serai, kerisik dengan beberapa rempah dimakan bersama nasi dimasak dalam buluh bersalut daun bemban.

Ini pengalaman makanan paling luar biasa yang rasai dan membuatkan terkenang-kenang sehingga hari ini.

Pengusaha Castella Cafe, Mohd Isa Ramli, 44, berkata, konsep ‘berkelah’ itu diperkenalkan bagi membolehkan pelanggan merasai pengalaman inap desa sebenar.

“Di sini, untuk merasai pengalaman dan juadah yang ada, pelanggan perlu membuat tempahan terlebih dulu kerana menu yang disediakan terhad. Kami khuatir jika pelanggan datang secara ‘walk-in’, menu sudah habis.

“Jika menerusi tempahan, kita menyediakan pakej bermalam dalam rumah bot selama beberapa hari dan menu istimewa antara RM100 hingga RM380. Tak kesah sama ada secara individu atau berkumpulan, tempahan ini bagi membolehkan kita memberikan khidmat berkualiti termasuk pada aspek penyediaan penginapan dan juadah,” katanya.

Di Castella Cafe, pengunjung mempunyai pilihan mendapatkan lebih 40 menu mengikut set berbeza dan disediakan oleh ketua jurumasak, Fariah Mat Ali, 60, yang berpengalaman menyediakan masakan tradisional Hulu Perak serta masakan bangsawan Melayu Pattani.

Menurut Fariah, menu disediakan terhad berikutan cara penyediaannya agak cerewet, selain ada bahan-bahan sukar didapati menyebabkan pihaknya mengutamakan pelanggan membuat tempahan terlebih dulu.

“Antara menu ini seperti ikan baung dan jelawat yang kami sediakan secara segar bagi memastikan pelanggan puas hati. Malah, ini juga adalah menu paling ditunggu kebanyakan pengunjung di sini.

“Untuk menyediakan menu ini, saya pastikan bahan-bahan dan ramuannya cukup. Atas faktor itulah, kita hanya utamakan pelanggan yang sudah membuat tempahan,” katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Azizul Rahman Zainol, 42, teruja merasai pengalaman makan di Castella Cafe yang penuh dengan kelainan dan juadah yang cukup berbeza tapi menggiurkan.

“Suasana di sini bukan saja baik untuk berehat dan beriadah, menunya juga sungguh menyelerakan. Lepas ini, saya bercadang untuk datang lagi bersama keluarga bagi mencuba pula menu lain yang ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 3:10 AM