NORZY di hadapan rumah persinggahan dalam dusun miliknya.
NORZY di hadapan rumah persinggahan dalam dusun miliknya.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Bermula dengan hanya sebuah pondok namun ia mencetuskan ilham pembinaan rumah persinggahan dalam dusun yang unik berkonsepkan tradisional Melayu.

Menariknya rumah dibina di lereng bukit setinggi enam meter itu kelihatan seperti rumah peranginan tanah tinggi.

Ia milik pasangan suami isteri Norzy Nordin, 56, dan Midah Ali, 50, di Kampung Buyau Kiri, Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Norzy berkata, rumah dibina tahun lalu di dusun seluas 0.2 hektar itu adalah pembinaan separa papan dan batu bata.

UKIRAN kayu menyerlahkan kesenian tradisional.
UKIRAN kayu menyerlahkan kesenian tradisional.

Menurutnya, bahagian binaan papan hasil kerja pertukangannya manakala bahagian binaan batu dilakukan tukang rumah.

"Memang rancangan awal bina pondok satu bilik yang ringkas sebagai tempat berteduh apabila datang ke dusun.

KOLEKSI barangan antik.
KOLEKSI barangan antik.

"Tetapi tidak selesa kerana pondok ini tiada tandas, dapur dan anjung.

"Ini mendatangkan idea membesarkan pondok ini kepada saiz 42 kaki x 20 kaki termasuk membina tandas, dapur dan anjung," katanya.

Katanya, reka bentuk rumahnya pula dilakukan secara 'cuba dan jaya' dengan gabungan idea anak lelakinya yang banyak membantu dalam pembinaan rumah persinggahan itu.

"Kami sekeluarga datang ke rumah ini pada setiap hujung minggu untuk berehat dan membersihkan dusun.

"Dusun ini ada pokok durian yang sedang berbuah, tetapi belum gugur dan pokok rambutan," katanya.

Norzy berkata, binaan kayu rumah ini menggunakan kayu berkualiti dan tahan lama seperti resak serta cengal.

"Saya membeli kayu terpakai ini daripada rumah lama berusia lebih 50 tahun di Mambau, Negeri Sembilan.

RUMAH dibina di lereng bukit.
RUMAH dibina di lereng bukit.

"Manakala kayu kerangka pintu dan tingkap dibeli daripada rumah lama di Melaka," katanya.

Katanya lagi, dia turut memasang ukiran kayu di bahagian anjung bagi menambah elemen tradisional Melayu dan menjadi penyeri rumah.

"Oleh kerana rumah ini dibina di kawasan dusun maka penyelenggaraan perlu dilakukan secara berkala bagi memastikan keadaannya sentiasa baik.

"Tumpuan penyelenggaraan ialah untuk mengelak serangan anai-anak dengan memasang ubat serangga itu di dalam tanah di bawah rumah dan menyapu minyak hitam pada setiap tiang rumah," katanya.

Norzy berkata, dia turut membina landskap di halaman rumah dan pintu gerbang tertera perkataan Teratak D'Poghak Buyau yang bermaksud rumah kebun.

"Landskap ini dihiasi dengan barangan antik seperti basikal, mesin getah lama dan tempayan.

"Bahagian dalam rumah dihiasi koleksi peribadi pelbagai barangan antik bagi menyerlahkan lagi nilai klasik," katanya.

Selain itu jelasnya, rumah berkenaan turut terbuka kepada tetamu dan mereka boleh singgah sambil menikmati buah-buahan tempatan yang terdapat di dusun berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 7:01 AM