MENARIK salah satu rekaan rumah kayu.
MENARIK salah satu rekaan rumah kayu.
Nurul Husna Mahmud


Satu ketika dahulu rumah kayu sinonim dengan reka bentuk rumah tradisi kampung yang menampilkan elemen seni dan ukiran unik.

Meskipun ramai meminati rumah kayu, untuk memiliki kediaman itu hampir mustahil kerana material dan kerja- kerja pertukangannya menelan belanja tinggi.

Lebih mencabar, tukang kayu yang mahir membina rumah kayu juga semakin berkurangan menjadikan pilihan kediaman jenis konkrit atau batu lebih relevan.

Melihat kepada permasalahan itu Pengasas Rumah Kayu, Mohamad Arif Ismail, 61, berkongsi inovasi terbaharu iaitu rumah kayu pasang siap.

Seperti permainan blok yang mempunyai blok bersambung bagi menghasilkan replika rumah atau bangunan, inovasi itu mencantumkan beberapa struktur kayu sehinggalah ia menjadi sebuah rumah.

Kata Mohamad Arif, inovasi rumah kayu pasang siap itu mendapat idea secara berperingkat kerana sebelum ini dia terlebih dahulu memasarkan perabot.

"Idea rumah kayu pasang siap bermula sejak tahun 2014 apabila saya mencari peluang perniagaan baru bagi meneruskan kelangsungan perniagaan perabot.

RUMAH kayu tanpa paku.
RUMAH kayu tanpa paku.

"Saya sebelum ini mengimport perabot kayu dari Indonesia dan kemudian gazebo. Saya cuba minta kilang yang sama menaik taraf gazebo atau 'wakaf' (pondok rehat) kepada rumah pula.

"Sekarang ini dari model pertama iaitu unit studio berukuran 120 kaki persegi, kami sudah membina rumah dua bilik atau dua lantai dengan keluasan sekitar 500 kaki persegi," katanya.

Kata Mohamad Arif, rekaan rumah kayu pasang siap itu adalah inspirasi berdasarkan rekaan rumah tradisional yang biasa dilihat di kampung.

"Rekaan rumah kayu yang dihasilkan tidak merujuk spesifik negeri mana, sebaliknya kami datang dengan 'paten' sendiri dan dihasilkan pekilang kayu di Semarang, Indonesia.

"Kami minta tukang di negara seberang untuk buat bahagian mengikut rekaan rumah kayu, apabila sampai di Malaysia, ia tinggal untuk disambung dan dipasang saja.

"Rekod terpantas, kami pernah pasang atau bina rumah kayu, dua tingkat iaitu bilik atas dan tempat bersantai di bawah hanya dalam tempoh tujuh jam.

"Ia sedia digunakan atau tuan rumah boleh terus tinggal sebaik selesai dipasang. Walaupun pemasangan mengambil tempoh kurang sehari, ketahanan rumah kayu ini sama seperti kediaman rumah kayu biasa dibina tukang kayu atau tukang rumah," katanya.

MOHAMAD Arif
MOHAMAD Arif

Sistem tanggam dan tidak menggunakan sebarang paku antara keunikan rumah kayu pasang siap.

"Kalau di Indonesia, rumah kayu memang dengan sengaja dibina menggunakan kaedah tanggam yang mana mem

udahkan ia dipasang dan ditanggal apabila perlu berpindah.

"Kaedah ini juga digunakan dalam sebahagian tukang kayu tempatan yang mana mahir membina rumah tanpa sebarang paku.

"Saya hanya 'menghidupkan' kembali pembuatan atau cara orang dahulu dalam membina rumah," katanya.

Mohamad Arif berkata, kayu nibong digunakan sebagai material dalam pembinaan rumah pasang siap itu.

"Kayu nibong bukanlah kayu asing dalam kalangan masyarakat kita kerana ia meluas digunakan dalam pembuatan jeti atau binaan.

LUAS ruang anjung di depan luas.
LUAS ruang anjung di depan luas.

"Cumanya dahulu tiada mesin boleh memotong atau merata kayu nibong. Sekarang sudah ada teknologi yang membolehkan kayu nibong rata seperti papan.

"Selain itu, kayu nibong memiliki ira kayu cantik dan halus. Jika 'disyelek' iranya halus dan nampak cantik.

"Segi ketahanan, kayu nibong sesuai dengan cuaca dan iklim di Malaysia. Cabarannya mungkin di awal rumah itu siap kerana akan ada kesan seperti kulat keputihan timbul pada kayu.

"Pemiliknya hanya perlu lap dengan kain dan untuk lebih tahan lama, syelek dan rawat dengan racun anai-anai," katanya yang turut berkongsi mengenai rumah kayu terbabit di media sosial.

Tambah Mohamad Arif, kebanyakan yang mahu memiliki rumah kayu kerana nostalgia atau rindukan 'momen' pernah membesar dalam rumah kampung.

PADAN dengan penggunaan perabot klasik seperti kayu.
PADAN dengan penggunaan perabot klasik seperti kayu.

"Ramai yang mahu membina rumah kayu kerana kenangan atau nostalgia mereka terhadap kampung halaman.

"Mereka mahu tinggal dalam kediaman yang menenangkan dan mendamaikan. Saya selalu diminta mendirikan rumah kayu di kawasan dusun atau kampung.

RUMAH kayu dua tingkat antara rekaan dihasilkan oleh Mohamad Arif.
RUMAH kayu dua tingkat antara rekaan dihasilkan oleh Mohamad Arif.

"Kebanyakan rumah persinggahan atau dijadikan chalet untuk orang bersantai," katanya.

Rumah kayu dibina Mohamad Arif itu juga tidak dilengkapi ruang bilik air selain tapak rumah seperti lantai konkrit perlu disiapkan terlebih dahulu oleh pemiliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 7:00 AM