LANDSKAP yang dibina bukan sekadar untuk pengindahan sesuatu kawasan malah mampu menjadi terapi berkesan untuk kesihatan fizikal dan mental secara tidak langsung.
Penanaman pokok di persekitaran rumah mampu memberikan suasana persekitaran yang sejuk dan nyaman atau boleh dipanggil sebagai terapi hijau kepada penghuninya.
Melangkah masuk ke persekitaran rumah banglo milik Nora Ariffin, 43, di Dungun, Terengganu ini boleh membuatkan sesiapa sahaja berasa tenang dan selesa.
Ibu kepada tiga cahaya mata ini bijak memanfaatkan keluasan tanah iaitu 5,000 kaki persegi itu dengan membina landskap yang unik dan menarik.
Laman kediaman dibahagikan kepada empat bahagian iaitu laman depan yang berturap dengan 'slate' dihiasi dengan pokok bonsai Ficus ginseng.
Di laman belakang dijadikan 'pation' terbuka diperbuat dari kayu cengal berkonsep kampung dan kemelayuan yang menjadi ruang rehat dan makan terbuka untuk keluarga dan tetamu yang ramai.
Di sini terdapat pelbagai koleksi barang lama termasuk pinggan, mangkuk, tempayan, batu giling dan almari berusia ratusan tahun sekali gus dapat mengimbau kenangan lalu.
Di laman kiri pula dilitupi 'chipping stone' dan dihiasi pokok Podocarpus serta kaktus. Sementara di laman kanan ditanam rumput dan pokok hijau selain ditempatkan wakaf dengan seni bina Terengganu dari kayu cengal dan atap bata lama.
Nora mengakui landskap penting bagi sesebuah kediaman sebagai penyeri dan memberi aura positif yang sihat kepada pemilik kediaman.
Katanya, landskap yang bersih dan kemas menjadi gambaran kepada jiwa dan keperibadian pemilik kediaman itu.
"Saya dan suami mula menanam pokok serta rumput sebagai landskap secara berperingkat beberapa bulan sebelum berpindah masuk ke kediaman ini pada Oktober 2012.
"Bagaimanapun, saya lebih suka menanam pokok hijau berbanding pokok bunga kerana ingin mewujudkan kehijauan di sekeliling rumah memandangkan dinding menggunakan material batu semula jadi dan kayu cengal.
"Pada masa sama, pokok-pokok hijau dapat memberi elemen ketenangan dan nyaman pada suasana kediaman," katanya.
Menurutnya, di kediamannya itu terdapat lima pokok bonsai Ficus ginseng yang ditanam dalam pasu di bahagian laman hadapan bersama pokok Monstera deliciosa giant dan pokok Fern.
"Di hadapan pintu utama terdapat pokok Dracaena draco dan Fiddle fig. Manakala di laman tepi, saya tanam pokok bunga kemboja dan Sandpapervines. Saya paling sayang tiga pokok Podocarpus macrophyllus yang ditanam sebaris di laman kiri rumah.
"Untuk susun atur pokok, saya mengutamakan kekemasan dan minimalis, supaya tidak terlalu sarat serta terbeban untuk penyelenggaraan," katanya.
Berkongsi berkenaan penjagaan pokok, setiap hari dia akan bersihkan halaman rumah dan menyiram pokok sambil menikmati suasana pagi selama sejam.
"Seminggu sekali, saya akan potong daun kering dan sebulan sekali saya akan mengupah orang untuk memotong rumput. Baja turut diberikan untuk memastikan pokok sentiasa subur," katanya.
Dia berpendapat, untuk mencipta suasana dan laman yang tenang serta cantik, sebenarnya ia bermula dari jiwa pemiliknya.
"Dari pemilihan pokok dan sumber yang bersesuaian dengan naluri kita, terciptalah suasana yang 'hidup' serasi dengan rasa dan jiwa," katanya.