Tumpuan utama bagi setiap kediaman pastinya adalah ruang tamu.
Ia bukan sahaja menjadi tempat untuk penghuninya berehat selepas seharian bekerja malah untuk menghabiskan masa bersama ahli keluarga tersayang.
Justeru, memiliki ruang tamu yang selesa akan membangkitkan rasa damai dan menenangkan fikiran.
Namun, untuk mewujudkan ruang tamu yang selesa, pemilihan sofa juga perlu diberi perhatian.
Ini kerana jika tersalah pilih saiz, warna atau rekaan sofa misalnya, ia akan menyebabkan ruang tamu tampak sempit serta serabut.
Menyedari keperluan itu, Fuku Studio tampil memperkenalkan rekaan Sofa Teno menarik yang boleh disesuaikan dengan keperluan setiap kediaman.
Terdiri daripada sofa modular dengan saiz yang berbeza, Pengarah Kreatifnya, Quito Lek, mencipta lebih daripada 20 susunan sofa untuk dipilih, sesuai untuk kediaman saiz sederhana seperti pangsapuri sehingga banglo besar.
Menerusi kajian dan penyelidikan yang dilakukan, jenama tempatan itu turut membangunkan lateks busa iaitu antara material utama Sofa Teno.
Ia dibuat khusus untuk model sofa berkenaan bagi mencapai tahap keselesaan tertinggi, mampan, ergonomik selain diperakui di bawah piawaian OEKO-TEX 100 oleh OEKO-TEX.
Menurut Pengarahnya, Vilit Lau, setiap perabot rekaan jenama itu direka dengan berhati-hati mengikut kehendak serta spesifikasi pelanggan dan koleksi sofa terbaharu itu juga tidak terkecuali.
"Memandangkan sofa kami dibuat mengikut tempahan, keseluruhan proses mengambil masa antara enam hingga lapan minggu untuk memastikan produk yang dihasilkan dapat bertahan lama.
"Setiap proses pembuatan dan pengeluaran dipantau dengan teliti, sebaik sahaja pengeluaran sofa selesai, pasukan kami akan melawat kilang untuk pemeriksaan kualiti terakhir sebelum menghantarnya kepada pelanggan," katanya.
Dalam pada itu, kualiti pertukangan, kemasan premium dan inovasi moden sofa berkenaan adalah bukti dedikasi jenama berkenaan untuk pelanggannya.
Ia membolehkan orang ramai merasai keghairahan gaya hidup dan seni halus pembuatan perabot moden untuk kediaman mereka.