PENANAMAN pokok di persekitaran rumah bukan sahaja memberi nilai estetik yang tinggi iaitu pemandangan yang cantik disebabkan berwarna-warni yang diresapi dengan aroma menyenangkan semata-mata.
Malah, mampu memberikan suasana persekitaran yang sejuk dan nyaman atau boleh dipanggil sebagai terapi hijau.
Objektif utama menanam pokok adalah untuk menghias rumah, taman dan jalan raya yang memberikannya daya tarikan semula jadi serta keindahan.
Sebilangan besar pokok yang ada adalah tanaman hiasan kerana mempunyai daun warna yang indah seperti warna kuning, merah, oren, hijau, putih dan lain-lain.
Selain mampu mengembangkan bunga yang indah dengan nada berbeza yang menjadi menarik.
Beberapa pokok hiasan tetap berdaun hijau, namun menawarkan kanopi yang sangat luas untuk memberi teduhan dan kesegaran yang hebat sepanjang tahun yang berfungsi untuk menjaga kelembapan yang baik dalam bilik, pembersihan udara, tempat teduh di tempat umum, dapat meredakan kebisingan enjin kenderaan dan mampu menyaring debu dari masuk dalam rumah.
Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Puteri Edaroyati Megat Wahab berkata, kesesuaian jenis tanaman di kawasan rumah bukan hanya bergantung kepada kesesuaian tanah dan persekitaran, tetapi juga kepada tujuan pemilihan dibuat seperti yang disebut di atas.
Katanya, pemilihan pokok untuk memberi teduhan atau naungan ketika musim panas atau pokok yang boleh menghalang angin atau hujan yang kuat ketika musim hujan perlu dirancang.
"Sebagai contoh, di persekitaran bandar, pokok teduhan mesti tahan keadaan kering, berhabuk, tanah padat dan asap kenderaan.
"Manakala di persekitaran pantai, pokok teduhan mampu menahan angin kuat, tanah pasir yang poros dan air laut seperti Casuarina sp, Eugenia grandis atau Terminalia catappa.
"Di persekitaran yang lembap dan air bertakung pula, pokok teduhan yang mampu bertahan terhadap air bertakung seperti Salix babylonica dan Melaleuca cajaputi," katanya.
Menurutnya, pokok itu sendiri memberi teduhan kepada penduduk ketika aktiviti riadah dan pembebasan wap air boleh menurunkan suhu di sekitar kanopi pokok.
"Rumput atau tanaman penutup bumi juga boleh mengawal suhu tanah dengan mengurangkan kadar evaporasi ketika musim panas. Jadi, sekiranya kita terlupa menyiram pokok, pokok masih boleh bertahan.
"Bagaimanapun, ketahanan pada suhu tinggi atau kekeringan bergantung kepada jenis pokok," katanya.
Mengulas lanjut, pokok boleh dikategori mengikut ketahanan kepada cahaya yang tinggi (sun-loving plant) dan rendah (shade-loving plant).
"Sebab itu kita nampak ada pokok yang hidup subur ditanam di bawah cahaya yang tinggi dan tidak boleh hidup jika diletakkan di kawasan kurang cahaya seperti bawah teduhan atau dalam rumah, begitu juga sebaliknya.
"Jadi, sekiranya musim panas melanda, pokok yang tahan kepada cahaya tinggi mampu bertahan, sedangkan pokok yang suka kepada teduhan tidak mampu bertahan," katanya.
Beliau berkata, penanaman pokok perlu dirancang dengan teratur dari semasa ke semasa dan peranan ini lebih kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Penanaman tumbuhan hijau bukan sahaja memberikan suasana persekitaran yang sejuk dan nyaman, malah berfungsi untuk menstabilkan suhu persekitaran. Penanaman pokok ini juga bertujuan mengurangkan kesan pemanasan global melalui penyerapan karbon dioksida.
"Akhirnya, pemanasan global dapat dikawal dan dapat menstabilkan ekosistem persekitaran. Penjagaan sumber alam sekitar seperti pokok dapat membendung pelbagai masalah, sebagai contoh hutan yang boleh mengawal hakisan tanah hakisan tanah, pemendapan, kerosakan cerun dan tanah runtuh. Atas dasar itu pokok di hutan perlu dipelihara sebab yang paling utama adalah sebagai kawasan tadahan air semula jadi," katanya.