KEINDAHAN seni dekorasi memberikan tafsiran subjektif dalam kalangan pencintanya.
Ia ditambah dengan kemunculan pelbagai idea dan tema dekorasi membuatkan dunia penataan ruang dilihat begitu memberikan makna.
Kehadiran media sosial pula bagaikan satu fenomena apabila rata-rata pencinta dekorasi di seluruh dunia menjadikan alam maya sebagai rujukan utama kerana dikatakan lebih cepat, pelbagai dan mudah capaiannya.
Begitu juga dengan pengkarya kraf rimba ini yang tidak melepaskan peluang keemasan mendekati pencinta seni dekorasi di media sosial menerusi paparan pelbagai produk yang dihasilkan.
Fauzi Ab Majid, 52, atau mesra disapa Benji bukan lagi nama asing dalam kalangan pencinta seni dekorasi terutama rakan Facebooknya kerana saban waktu ada saja aksesori hiasan terutama gubahan bunga unik dikongsikan.
Bergerak di atas nama ApaArt, Benji yang turut menghargai dan mengambil kira idea rakan-rakan Facebooknya kerana menyedari kreativiti yang diterjemahkan itu bagi memenuhi cita rasa semua.
Akuinya juga, setiap hasil seni itu mempunyai ceritanya tersendiri membabitkan hubungan antara manusia dan alam.
"Realitinya, kehidupan kita tidak dapat lari daripada persekitaran alam. Alam dan manusia saling memerlukan.
"Dalam menghargai keunikan itu, saya bersama pasukan ApaArt sentiasa mencari kelainan dalam berkarya atau menghasilkan dekoratif supaya keindahan alam terus terjaga, seni hiasan pula berada di depan mata," katanya ketika ditemui di bengkel berhadapan rumahnya yang terletak di Hulu Langat, Selangor.
Menurut Benji, dekoratif bunga yang dihasilkan banyak dicetuskan daripada hasrat untuk kitar semula bahan terpakai bagi mengurangkan pembuangan sisa, supaya alam lebih selamat.
"Saya turut berpegang kepada prinsip setiap ciptaan Allah ada guna dan harganya.
"Jadi, salah satu cara menghargainya adalah dengan mengolahnya semula menjadi perhiasan unik yang sedap mata memandang.
"Setiap rekaan tidak dapat lari daripada realiti. Bermakna ia rekaan yang tidak berlebih-lebihan dan logik untuk dijadikan inspirasi selain tidak lapuk ditelan zaman," katanya yang juga pengurus rekaan ApaArt.
Setiap gubahan itu mempunyai nama tertentu termasuk Presiden Lower, Paradise Lotus Flower, Ibodie Flower, Stailotus, Lady Ginger, Jioji Friend dan Sky Peacok.
Konsep atau tema bergerak mengikut peredaran masa dan semakin ke hadapan gaya hiasan, semakin berani eksperimen campuran bahan dan kombinasi warna diketengahkan.
Beliau juga tidak menafikan penghasilan seni kraf rimba ini bagaikan terapi ketenangan paling mujarab buatnya. Makin banyak idea diterjemahkan, semakin seronok dan terasa lebih tenang.
Menceritakan cabaran dalam jatuh bangun sebagai pengkarya kraf rimba itu, kongsi Benji, pengalaman berdepan situasi banjir pada Disember 2021 antara yang sukar dilupakan.
"Ketika itu semua peralatan gubahan, bahan mentah dan barangan kraf yang dihasilkan hanyut dalam sekelip mata kerana bengkel serta kediaman saya dinaiki air.
"Kejadian itu terlalu pantas tanpa sempat saya dan rakan serumah yang juga pasukan ApaArt berbuat apa-apa," katanya yang reda dan bersangka baik dengan ujian Allah itu.
Hikmahnya, selepas insiden banjir itu makin bercambah idea dan kreativiti. Terbaru bukan hanya dekoratif bunga dihasilkan, malah tudung dan kemeja konsep batik turut menambat hati sesiapa saja.
"Konsep batik ini diilhamkan daripada kulit kayu kering yang retak dan lumpur kering kesan banjir," katanya yang sering berkongsi idea bukan hanya dalam media sosial malah menerusi bengkel-bengkel gubahan.
Menariknya, ApaArt sudah terbabit dalam dunia kraf hasil rimba hampir 25 tahun lalu secara serius. Selain Benji, ia turut dianggotai Hisham Kamaruddin, 55, atau mesra disapa Sam dan Mohd Zainol Ngajiman, 30, atau mesra disapa Bob.