MALAR hijau menghiasi salah satu ruang laman Jariah. FOTO Faiz Anuar
MALAR hijau menghiasi salah satu ruang laman Jariah. FOTO Faiz Anuar
Nurul Husna Mahmud


Hiasan laman tidak hanya dilihat pada tanaman dan aksesori alami yang terdapat di ruang luar kediaman semata-mata.

Sebaliknya elemen 'artificial' yang digubah menjadi struktur tertentu boleh menyerikan laman kediaman.

Lebih menarik andainya pemilik laman itu tampil kreatif apabila menggunakan barangan terpakai untuk menghasilkan naskhah menarik di sudut laman.

Tanpa menggunakan modal tinggi, sedikit ketekunan dan kreativiti boleh menterjemahkan hasil kerja tangan unik untuk dijadikan penyeri dalam laman kediaman.

Itu yang dapat dilihat kepada usaha seorang suri rumah dari Parit Timur 2, Sungai Besar, Selangor Jariah Jahri apabila menggunakan pelbagai barang terpakai sebagai aksesori hiasan di laman kediamannya.

Kata Jariah, melihat hiasan lamannya yang ceria dengan replika dan struktur tertentu menjadi perhatian bukan sahaja jiran tetangga malah pengunjung luar.

"Ramai menyangkakan rumah saya ini adalah inap desa disebabkan hiasan lamannya yang menampilkan pelbagai replika dan struktur sesuai untuk bergambar.

"Bukan sekali tetapi acap kali tiba musim cuti sekolah atau cuti panjang, ada saja orang luar turun ke Sungai Besar mencari rumah sewa singgah ke laman ini.

BASIKAL lama  turut menjadi perincian kepada laman. FOTO Faiz Anuar
BASIKAL lama turut menjadi perincian kepada laman. FOTO Faiz Anuar

"Rasa lucu tetapi terselit kepuasan kerana yang datang ingin menyewa rumah tertarik dengan laman yang saya hias sendiri," katanya.

Kata Jariah, minat menghias laman itu memuncak ketika pandemik Covid-19 yang mana menjadikan banyak masa terluang untuk dia bereksperimen menggunakan barang terpakai.

"Pada tahun 2019, saya sudah mula aktiviti bercucuk tanam termasuk menanam pokok hiasan keladi. Ia juga lebih kepada tanaman pokok renek dan herba.

"Pandemik Covid-19 pada tahun 2020 menyebabkan ramai terkurung, jadi projek kreatif menyusul sedikit demi sedikit.

"Mula-mula cat bata, kemudian saya membeli arca hiasan seperti cendawan konkrit dan angsa diperbuat dari tayar.

"Kemudian atas rasa minat, saya ingin hasilkan sendiri pula arca berdasarkan pemerhatian dan kreativiti diri. Saya tidak kisah mengutip tayar lori terpakai dari bengkel kenderaan dan buat sendiri arca bunga daripada material itu.

"Bukan mudah kerana tekstur tayar lori keras dan tegap. Saya perlu mengerah kekuatan supaya mudah dilenturkan dan menjadi bentuk seperti diinginkan. Saya terpaksa pelajari teknik itu daripada Youtube," katanya.

Terbaru, Jariah turut membina arca berupa menara berkembar Petronas sebagai koleksi unik untuk ditempatkan di lamannya.

"Setiap projek saya hasilkan mengikut kesesuaian dan material yang ada kerana konsep menggunakan semula barang terbuang serta terpakai lebih baik.

REKAAN buaian dengan kerja pertukangan sendiri. FOTO Faiz Anuar
REKAAN buaian dengan kerja pertukangan sendiri. FOTO Faiz Anuar

"Apabila berjaya siapkan dan hasilnya terletak cantik, saya rasa puas serta segala penat lelah hilang serta-merta.

"Keadaan itu membuatkan saya gembira dengan projek laman ini apabila melihat ahli keluarga datang bersantai sambil merakam gambar di setiap sudut taman," katanya.

Ketika ini tanaman di lamannya banyak menampilkan kombinasi pokok hiasan berdaun dan herba.

"Dari segi tanaman yang ada, saya selalu juga tukar tanaman mengikut trend. Contohnya sekarang pokok puding dan ati-ati tengah popular, saya masukkan pokok itu dalam ruang laman.

"Dalam setahun, pokok hiasan juga bertukar-tukar kerana ada yang mati dan perlu ditanam semula," katanya.

JARIAH mendapat sokongan suami. FOTO Faiz Anuar
JARIAH mendapat sokongan suami. FOTO Faiz Anuar

Hobinya mendapat sokongan suami tercinta, Abd Hadi Awi, 60, dan dua anaknya membantu menyalurkan modal untuk projek dijalankan.

"Anaklah yang paling teruja apabila tengok saya hias sana sini. Tetap kena keluar belanja kalau hendak nampak cantik.

"Modal alat dan cat termasuklah pelekat serta sebagainya. Sehingga hari ini saya sudah keluarkan kos lebih RM3,000 untuk mencantikkan laman ini," katanya.

Laman itu pernah memenangi tempat ketiga dalam Pertandingan Keceriaan Kemerdekaan membabitkan kediaman sekitar Sungai Besar tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 7:00 AM