KONTRAS juga membantu menaikkan aura.
KONTRAS juga membantu menaikkan aura.
Nurul Husna Mahmud

[email protected].m

Kediaman menarik selalu dikaitkan dengan tata hias perabot serba mewah dan aksesori yang unik.

Sedangkan dalam tata hias kediaman, pelbagai 'helah' boleh digunakan bagi mencipta aura dan pesona supaya ruang tampak segar serta baru.

Tidak perlu mengeluarkan belanja yang besar, malah pemilik kediaman boleh menggunakan kreativiti dan imaginasi supaya ruang yang dihias dapat ditonjolkan kelainannya.

Dari susunan perabot, ubah suai perincian aksesori dan penggunaan cat atau kemasan pada dinding ruang, ia boleh membantu menaikkan seri ruang.

Kali ini beberapa 'helah' boleh digunakan pemilik kediaman untuk sentuhan yang lebih segar dan tampak baharu.

Berikut lima saranan boleh digunakan tanpa perlu mengeluarkan belanja besar untuk menghias kediaman.

1. Penggunaan cermin hiasan

Cermin bukan sekadar aksesori untuk pemilik merapi diri, malah ia juga membantu merapikan kediaman dengan mencipta ilusi ruang lebih luas dan cerah.

Dengan meletakkan cermin besar dalam ruang yang kecil seperti dinding laluan utama ('hallway') atau di bilik air boleh memberikan visual ruang tampak luas berbanding ukuran sebenar.

Menambah seri ruang itu lagi apabila rekaan cermin kecil boleh direka atau disusun dengan motif tertentu menjadi sudut fokus sesiapa juga berada dalam ruang terbabit.

2. Penggunaan warna pastel baik untuk dinding, perabot atau aksesori

Tidak lapuk dek zaman jika anda memilih perabot atau cat dinding menggunakan rona pastel sebagai warna utama.

Ia mudah dipadan dan disesuaikan dengan warna berani atau terang. Pada masa sama, memudahkan peralihan dari satu tema ke tema lain kerana ia warna selamat untuk setiap masa dan keadaan.

CERMIN menaikkan seri ruang dengan pencahayaan tambahan dan ilusi luas.
CERMIN menaikkan seri ruang dengan pencahayaan tambahan dan ilusi luas.

3. Wujudkan kombinasi kontras dalam perincian perabot dan warna latar

Memilih warna senada untuk perabot, aksesori atau latar dinding boleh membuatkan ruang dalam kediaman tampak bosan serta kusam.

Suntik keceriaan dengan bermain rona warna berbeza atau kontra bagi menonjolkan ruang terbabit.

Dua warna berbeza seperti penggunaan sofa berwarna biru terang sementara permaidani pula berwarna kuning membuatkan ruang terbabit tampak menonjol.

KERJA kemasan lantai juga memberi efek besar.
KERJA kemasan lantai juga memberi efek besar.

4. Ubah suai atau naik taraf perabot sedia ada

Setiap kali ada perancangan untuk projek dekorasi baru, anda boleh berjimat hanya dengan bertukang sendiri.

Namun rancang dulu perubahan yang ingin dilakukan sama ada fungsi dan konsep ruang itu supaya boleh mengubah suai perabot lama kepada sesuatu yang sepadan.

5. Naik taraf lantai dan siling mengikut bajet

Jarang orang memberi fokus terhadap perincian lantai dan siling kediaman kerana ramai bimbang dengan kos perlu ditanggung.

Sebaiknya tugas mudah seperti mengecat siling sudah memadai untuk mencipta kelainan kepada suasana dalam kediaman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 6:11 AM