WARNA- warna lembut seperti biru cerah, merah jambu, kelabu lembut, hijau lembut atau ungu cerah adalah yang paling sesuai digunakan di bilik berpantang (gambar hiasan).
WARNA- warna lembut seperti biru cerah, merah jambu, kelabu lembut, hijau lembut atau ungu cerah adalah yang paling sesuai digunakan di bilik berpantang (gambar hiasan).
Fairul Asmaini Mohd Pilus


ADA kalanya, tempoh berpantang lama membuatkan wanita yang baru melahirkan anak mula berasa tidak selesa dan memerlukan ketenangan.

Apatah lagi jika perlu berdikari berpantang sendiri jauh daripada keluarga tersayang.

Namun, andai ada rezeki untuk mempunyai bilik berpantang yang selesa dan menarik, ia pasti dapat menjadikan si ibu lebih bersemangat mengharungi tempoh berkenaan.

Pereka hias dalaman, Marlia Ramli berkata, untuk menghiasi bilik bagi tujuan berpantang, cukup sekadar menggunakan perabot yang minimal sesuai dengan keperluan sahaja.

Contohnya, sebuah katil yang tidak terlalu tinggi memudahkan ibu bersalin turun naik serta tilam dan bantal tidur yang selesa.

"Selain itu, bilik berkenaan juga boleh dihias dengan almari pakaian pelbagai fungsi, sauna mudah alih dan boleh dilipat atau kerusi urut (jika berkemampuan).

"Ia antara keperluan ideal bagi sebuah bilik berpantang," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Marlia, apa yang perlu diutamakan adalah ruang dalam bilik berpantang kerana ia haruslah luas.

Jelasnya, perabot yang banyak boleh membahayakan ibu berpantang sekiranya tersepak atau terlanggar bucu terutama kepada wanita bersalin secara pembedahan.

Katanya, untuk dekorasi tambahan, boleh diletakkan jambangan bunga rona putih bagi menyerlahkan elemen kesegaran ruang ataupun tumbuhan hijau yang menyejukkan mata.

"Digalakkan juga meletakkan bauan semula jadi dari air diffuser daripada bahan yang tidak membahayakan.

"Ini penting kerana ia dapat meningkatkan lagi mood dan ketenangan si ibu.

"Selain itu, penggunaan lampu deko yang sedikit malap juga diperlukan untuk membolehkan si ibu mendapatkan rehat yang sempurna," katanya.

Tambah Marlia lagi, hiasan yang keterlaluan seperti berbulu-bulu atau tajam bentuknya juga perlu dielakkan di bilik berpantang.

Manakala untuk pemilihan rona pula, warna-warna lembut seperti biru cerah, merah jambu, kelabu lembut, hijau lembut atau ungu cerah adalah yang paling sesuai digunakan.

Namun, jauhi warna merah dan kuning kerana aura rona itu akan menyebabkan sesetengah individu lebih tertekan, bilik kelihatan 'bahang' dan menyukarkan si ibu untuk tidur malam.

CUKUP sekadar menggunakan perabot yang minimal sesuai dengan keperluan sahaja (gambar hiasan) .
CUKUP sekadar menggunakan perabot yang minimal sesuai dengan keperluan sahaja (gambar hiasan) .

"Bilik berpantang juga memerlukan pengudaraan dan pencahayaan yang baik dan 'earth tone' terutama untuk yang sukakan kedamaian," katanya.

Dari segi pemilihan tema pula, Marlia menyarankan konsep yang ringkas, moden dan paling penting, praktikal.

Kata Marlia lagi, antara kesilapan biasa yang dilakukan dalam mendekorasi bilik untuk berpantang adalah meletakkan hiasan dinding yang bercorak serabut.

Selain itu, memilih rona yang panas dan terlalu banyak dekorasi tambahan yang memenuhi bilik sehingga menjadi tempat perangkap habuk.

"Untuk langsir pula, pilihlah jenis fabrik yang tidak terlalu panas dengan corak ringkas dan tidak terlalu menonjol.

"Dari segi pencahayaan, lampu deko yang lebih tenang boleh membuatkan si ibu lebih mudah untuk melelapkan mata dan mendapat rehat yang cukup, sekali gus mempercepatkan proses pemulihan.

"Apapun, jangan meletakkan terlalu banyak lampu, cukup sekadar lampu deko tepi meja dan lampu asas di siling sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 7:00 AM