PROSES menghasilkan meja kopi.
PROSES menghasilkan meja kopi.
KATIL siang yang dihasilkan daripada katil dan pintu lama.
KATIL siang yang dihasilkan daripada katil dan pintu lama.
JAM yang dihasilkan daripada barang terbuang.
JAM yang dihasilkan daripada barang terbuang.
NORPADILAH tidak kekok menghasilkan perabot sendiri.
NORPADILAH tidak kekok menghasilkan perabot sendiri.
Muhamaad Razis Ismail


"PENGHASILAN perabot dan hiasan rumah sendiri bukan untuk 'menunjuk-nunjuk', namun lebih kepada untuk mengurangkan kebergantungan kepada barangan di pasaran," kata Norpadilah Afandi, 41.

Perabot dan hiasan dalaman di rumahnya di Kampung Temeris, Kuala Pilah, Negeri Sembilan termasuk meja, almari, kerusi dan jam hampir 90 peratus dihasilkan sendiri suri rumah ini menggunakan barangan terpakai serta kitar semula sejak lima tahun lalu.

Bukan sekadar itu, pada setiap hujung minggu pula, rumah ibu kepada empat cahaya mata ini turut menjadi tumpuan orang ramai yang ingin melihat dengan lebih dekat barangan dihasilkan.

Malah, barangan 'rare' yang diketengahkan itu turut dibeli pelanggan, sekali gus mampu menjana pendapatan sampingan.

Norpadilah berkata, minat terhadap rekaan lama yang lebih 'rustic' menjadi pendorong kepada dirinya untuk menghasilkan hampir semua perabot dan hiasan di rumahnya itu.

Katanya, barangan yang diinginkan itu sangat sukar ditemui di kedai perabot yang lebih banyak mengetengahkan barangan moden.

"Oleh kerana tidak mendapat pendidikan secara formal, saya banyak belajar berkenaan penghasilan barangan ini menerusi Youtube dan Pinterest.

"Menerusi cetusan idea itu, saya sesuaikan dengan kemampuan dan kemahiran sedia ada untuk memudahkan kerja menghasilkan barang yang diinginkan, sekali gus dapat menjimatkan kos.

BARANG yang dihasilkan mesti mempunyai fungsi.
BARANG yang dihasilkan mesti mempunyai fungsi.

"Ketika mula menghasilkan perabot, saya akui berdepan fasa hampir berputus asa, namun saya kuatkan semangat sehingga dapat kuasai kemahiran pertukangan.

"Alhamdulillah bermula dengan penghasilan meja kopi selepas selesai menjalani tempoh berpantang, kini pelbagai perabot dan hiasan dalaman berjaya diketengahkan daripada barangan terpakai dan kitar semula," katanya.

Dia tidak menolak kemungkinan bakatnya itu diwarisi tanpa sedar apabila sering melihat arwah ibunya yang juga ibu tunggal begitu mahir dengan kerja pertukangan.

"Pada usianya 80 tahun, ibu masih mampu melakukan pelbagai kerja 'menukang' termasuk membina reban ayam, menyimen dan memasang pagar. Pada ketika itu saya tidak minat untuk melakukan kerja itu.

PERABOT dan hiasan yang dihasilkan dengan kreativiti sendiri.
PERABOT dan hiasan yang dihasilkan dengan kreativiti sendiri.

"Apabila sudah meningkat dewasa, baru saya sedar keperluan menguasai kemahiran pertukangan ini demi kelangsungan hidup tanpa mengharapkan bantuan orang lain," katanya.

Jelasnya, barangan di rumahnya ini dihasilkan mengikut keperluan untuk kegunaan keluarga.

"Sebagai contoh, apabila memerlukan lampu dengan reka bentuk yang diinginkan, saya akan cari barangan bersesuaian yang boleh digunakan.

"Selain itu, idea menghasilkan sesuatu barangan itu diperoleh apabila menemui 'sampah' di tempat pembuangan," katanya.

MEJA makan dan kerusi dari papan lantai lori terpakai.
MEJA makan dan kerusi dari papan lantai lori terpakai.

Katanya, keseronokan dan kepuasan dalam menghasilkan setiap barangan ini umpama satu pencapaian kepada dirinya yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

"Bagi saya, hanya individu yang menghasilkan barangan sendiri faham apa yang saya maksudkan ini," katanya.

Selain itu, melalui penghasilan barangan ini juga menjadi terapi berkesan meredakan tekanan yang dihadapi sebagai suri rumah.

Pada masa sama, dia turut aktif menggunakan platform media sosial untuk berkongsi panduan menghasilkan perabot dan hiasan dalaman dengan barangan kitar semula.

MODEL rumah kecil yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan.
MODEL rumah kecil yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan.

"Saya berharap menerusi perkongsian di media sosial menarik minat lebih ramai wanita untuk bersama-sama memahirkan diri dengan kerja pertukangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 6:20 AM