CEROBONG asap dan tingkap antara  replika yang diwujudkan pada perincian bumbung rumah.
CEROBONG asap dan tingkap antara replika yang diwujudkan pada perincian bumbung rumah.
Nurul Husna Mahmud


PEMILIHAN rona putih dalam penataan rumah ladang ala Inggeris sangat penting kerana memberi kesan kepada keseluruhan konsep kediaman itu.

Mengakui tidak mudah dalam pencarian rona putih yang sesuai, pemilik kediaman berkonsepkan rumah ladang Inggeris dengan pesona lebih moden, Yuslan Ibrahim berkata, aspek latar warna itu diberi penekanan bagi memastikan ideanya lebih realistik.

"Pemilihan putih untuk ruang dalam dan luar rumah antara perkara yang saya beri penelitian supaya ia sepadan dengan bayangan saya mengenai tatarias rumah ladang ala Inggeris.

"Dalam pasaran terdapat banyak pilihan warna putih dan pilihan saya ialah putih mutiara bagi memastikan nilai estetika dan 'mood' konsep rumah ladang yang lebih moden serta sofistikated dapat dikecapi.

"Andai pemilihan putih dilakukan tidak tepat, kemungkinan besar ia menjejaskan keseluruhan visual baik dalam mahupun luar rumah. Sebagai contoh jika terpilih warna putih kekuningan, ia menyuntik imej lebih klasik berbanding gaya moden," katanya.

Kata guru berusia 45 tahun itu lagi, memiliki kediaman dengan konsep rumah ladang Inggeris memang sudah lama menjadi impian dia dan isteri, Hazrina Che Idris, 37.

"Peluang untuk menghias kediaman dengan perincian dan kemasan gaya rumah ladang Inggeris terbentang luas apabila rumah kedua di Kampung Sawah Sunggala, Port Dickson, Negeri Sembilan ini siap dua tahun lalu.

"Menampakkan ia benar-benar seperti kediaman ala barat apatah lagi perincian shiplap digunakan pada dinding luar hinggalah ruang dalam rumah.

"Proses pemasangan papan tiruan ini saya lakukan bersama isteri dan anak-anak. Satu kepuasan apabila berjaya menyiapkannya dalam tempoh setahun," katanya.

YUSLAN dan keluarga bersantai di rumah ladang ala Inggeris.
YUSLAN dan keluarga bersantai di rumah ladang ala Inggeris.

SHIPLAP kemasan dihasilkan sendiri.
SHIPLAP kemasan dihasilkan sendiri.

Mementingkan visual luaran kediaman itu yang kini menjadi rumah percutian buat keluarganya, Yuslan sanggup melabur untuk kemasan bumbung.

"Kalau rumah Inggeris, bumbung juga memiliki peranan penting dalam rekaan yang mana kebiasaannya ada struktur cerobong asap.

"Walaupun pendiang api tidak praktikal untuk rumah di Malaysia yang mana mengalami musim panas dan hujang sepanjang tahun, saya wujudkan sudut itu hanya sebagai hiasan.

"Dari luar, di bumbung rumah ada struktur cerobong asap, sementara dalam rumah pula ada pendiang api sesuai untuk sudut 'ootd' (outfit of the day)

"Dalam pandangan orang, ia tampak realistik meskipun hanya berfungsi sebagai replika. Pada saya perincian remeh-temeh sebeginilah yang mendefinisikan rumah ladang Inggeris sebenar," katanya.

Melihat kepada perkongsian foto Yuslan setiap sudut dan ruang digayakan mengikut konsep rumah barat itu, tidak dinafikan ia meyakinkan penulis.

Apatah lagi kediaman terbabit terletak berhampiran dengan hutan membuatkan warna putih menonjol dalam persekitaran terbabit.

Tidak hanya itu, percubaan berani Yuslan apabila menggabungkan idea rekaan Nordik dalam tata hias bilik tidur anaknya membuktikan kreativiti beliau.

"Saya sangat berminat dengan kerja-kerja penataan termasuk termasuklah menghasilkan perabot dan aksesori hiasan dalaman.

"Untuk bilik anak bongsu yang berusia setahun lebih, saya gabungkan idea Nordik dengan rekaan katil unik.

REPLIKA pendiang api perincian yang diwujudkan dalam kediaman Yuslan.
REPLIKA pendiang api perincian yang diwujudkan dalam kediaman Yuslan.

KEMASAN berbentuk bata timbul menonjolkan lagi estetik rekaan.
KEMASAN berbentuk bata timbul menonjolkan lagi estetik rekaan.

NORDIC hasil eksperimentasi Yuslan dalam bilik anaknya.
NORDIC hasil eksperimentasi Yuslan dalam bilik anaknya.

"Saya kerap merujuk Pinterest atau lakukan pencarian di Google untuk dapatkan idea. Cumanya ada penambahan apabila kali ini saya beli besi dan minta tukang kimpal kampung di kawasan ini untuk hasilkan katil.

"Mencabar juga kerana tidak ramai sanggup mengikut rekaan saya. Kepayahan itu membuahkan hasil apabila katil siap dan ramai menyamakan ia dengan model yang premium terdapat di pasaran," katanya.

Tambah Yuslan, cabaran lain dalam melengkapkan kediaman terbabit adalah pencarian barang dan aksesori untuk menonjolkan ciri-ciri rumah ladang itu.

"Cabaran saya bersama isteri ketika menyiapkan rumah adalah mencari perabot dan aksesori sesuai.

"Bayangkan ketika membeli lampu, saya dan isteri terpaksa menempah hotel. Dua tiga hari jugalah meninjau sambil membeli," katanya.

Beliau juga memaklumkan sudah membelanjakan kira-kira RM50 ribu bagi kerja-kerja menata hias termasuklah pembelian perabot dan kemasan untuk menepati idea rumah ladang Inggeris.

Pasangan itu turut menempatkan kemudahan unggun api dan ruang bersantai untuk menikmati suasana malam di laman kediaman terbabit.

Rumah itu juga kerap menjadi tumpuan keluarga dan kenalan yang mahu merasai suasana bermalam serta bergambar di rumah ladang ala Inggeris terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 7:01 AM