PEMILIHAN perkakasan dapur turut menyumbang kepada keseimbangan rona di dapur.
PEMILIHAN perkakasan dapur turut menyumbang kepada keseimbangan rona di dapur.
Hafiz Ithnin


MEMILIKI dapur yang cantik sudah semestinya menjadi idaman setiap pemilik rumah. Apatah lagi, jika si empunya diri sering menggunakan ruang itu.

Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan dapur bukan sekadar menjadi tempat memasak atau menyediakan makanan, tetapi ia menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Justeru, bagi mereka yang 'melaburkan' wang untuk melakukan pengubahsuaian bagi hiasan dalaman di ruang dapur jangan mudah untuk kita menilai negatif. Masing-masing punyai kemampuan tersendiri apatah lagi setiap ruang dalam rumah pasti mempunyai fungsi dan nilai buat penghuninya.

Bagi pasangan suami isteri, Muhammad Fairul Mohd Nasir, 35, dan Rashima Sharuddin, 30, yang memiliki rumah teres dua tingkat sejak 2020, dapur dilihat sebagai ruang yang mampu melengkapkan nilai hiasan dalaman kediaman mereka.

Malah, hiasan dalaman di dapur juga mampu menjadi titik fokal keindahan pasangan itu yang ternyata mempunyai keunikan tersendiri terutama membabitkan pemilihan rona.

Rashima berkata, sebelum memutuskan untuk menghias ruang dapur rumah mereka, dia dan suami banyak melihat contoh dekorasi di laman sosial terutama bagi mendapatkan ilham.

Katanya, tempoh kira-kira sebulan diambil untuk memutuskan gaya dan rona yang mereka inginkan untuk dapur peribadi itu.

"Ketika ini banyak sumber yang boleh kita lihat untuk mendapatkan idea bagi menghias dalaman rumah dan saya juga banyak merujuk foto yang dimuat naik mereka yang gemarkan aktiviti menata hias kediaman.

PADANAN rona yang memberi kesan elegan dalam ruang dapur.
PADANAN rona yang memberi kesan elegan dalam ruang dapur.

"Akhirnya, saya dan suami bersetuju untuk mempunyai dapur mempunyai konsep klasik Inggeris yang lebih malar segar," katanya.

Bagi mendapatkan kelainan menghias dalaman ruang itu, pasangan suami isteri itu mencari padanan rona yang mampu memberi kelainan.

Oleh itu, warna putih, emas dan hitam menjadi pilihan untuk ruang dapur mereka. Ternyata pilihan rona itu membangkitkan aura kemewahan di ruang berkenaan.

"Saya dan suami banyak melihat foto hiasan dalaman dapur serta jarang lihat pemilik menggabungkan dua rona pada kabinet terutamanya.

AKSESORI berwarna emas menaikkan aura seri dapur.
AKSESORI berwarna emas menaikkan aura seri dapur.

"Jadi, untuk memberi kelainan saya dan suami sengaja untuk memiliki warna kabinet di bahagian bawah yang berwarna hitam dan selainnya berona putih," katanya.

Tambahnya, untuk menambah elemen elegan di ruang dapur, mereka memilih aksesori di dapur yang berwarna emas seperti pemegang pintu kabinet, set singki dan jubin 'blackplash' berbintik emas.

"Bagi saya padanan warna emas pada aksesori dan rona dominan yang lain iaitu putih khasnya di dinding membangkitkan aura elegan.

PINTU masuk dapur yang unik memberi kesan baik kepada hiasan dalaman.
PINTU masuk dapur yang unik memberi kesan baik kepada hiasan dalaman.

"Perkara ini bukan sahaja kami rasa sesuai, tetapi apabila tetamu datang, mereka juga mengatakan perkara sama," katanya yang membelanjakan RM31,000 bagi kerja pengubahsuaian di ruang itu.

Ketika ditanya mengenai pilihan rona putih yang lebih dominan di ruang dapur yang terdedah dengan kotoran katanya, perkara itu tidak menjadi masalah.

"Ketika ini ada cat khas untuk dapur yang mudah untuk dibersihkan sekiranya kotor. Selain itu, saya juga mengamalkan terus membersihkan dapur selepas menggunakannya," katanya.

Rashima berkata, perkara utama untuk melakukan kerja pengubahsuaian dan menghias dalaman dapur adalah perlu memastikan saiz barangan di dapur sesuai untuk diletakkan di ruang berkenaan dan mudah untuk disusun.

"Selain itu, pemilihan warna sangat penting kerana dapur saya hanya bersaiz 128 kaki persegi, jadi pemilihan rona yang betul mampu menjadikannya tampak luas," katanya.

KABINET yang mengambil inspirasi dari gaya Inggeris.
KABINET yang mengambil inspirasi dari gaya Inggeris.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2022 @ 7:00 AM