Rekaan bumbung memainkan peranan penting terutama membabitkan aspek teknikal kerana ia mampu memberikan kelebihan terhadap daya tahan rumah terhadap cuaca dan persekitaran.
Percaya atau tidak pemilihan bumbung dengan bentuk tertentu bukan sahaja mampu menonjolkan elemen estetik rumah itu sendiri, malah ia penting kepada kriteria utama rumah sebagai tempat untuk berlindung.
Sebagai contoh adaptasi dengan iklim Malaysia yang selalunya menerima jumlah taburan tinggi terutama ketika musim monsun, bumbung dengan potongan curam antara rekaan terbaik kerana mampu mengalirkan air keluar lebih cepat.
Secara tidak langsung tiada serapan, takungan atau bebanan air hujan yang melimpah berlaku selain dikatakan dengan ruang udara di tengah membantu sistem pengudaraan apabila membantu menyejukkan haba sebelum diserap ke siling bangunan.
Itu kelebihan antara yang dimanfaatkan Hafifi Damanhuri apabila menekankan konsep atau pemilihan bumbung tinggi sebagai ciri-ciri utama ditonjolkan dalam rekaan rumah untuk didiami apabila bersara kelak yang terletak di Mambau, Negeri Sembilan.
Jurutera berusia 36 tahun itu berkata, rumah berkenaan yang dibina atas tanah pusaka dalam persekitaran kampung dan dikelilingi pokok juga tampak menonjol apabila konsep bumbung tinggi itu juga digabungkan dengan ciri-ciri rekaan moden dan minimalis ala Eropah.
"Rekaan rumah ini datang daripada kontraktor kami. Cumanya kami membuat sedikit perubahan dalam pelan lantai supaya bersesuaian dengan keluarga kecil kami.
"Untuk kami sendiri, kami memilih rekaan ini didorong inspirasi rekaan rumah dari Norway yang mempunyai bumbung tinggi, tetapi tidak terlalu besar sesuai dengan rumah ini yang dirancang untuk didiami apabila persaraan nanti.
"Sesuai sebagai rumah untuk pencen, kami mahu gaya lebih santai dan sederhana serta tidak sarat dengan perincian rumit," katanya.
Kata Hafifi lagi, rumah berkenaan yang memiliki bukaan kecil iaitu sekitar 74.3 meter persegi itu turut mengoptimumkan ruang sedia ada apabila terbahagi kepada dua bilik tidur, dua bilik air, dapur, ruang tamu dan lof (ruang atas bumbung).
"Disebabkan rumah ini ada bumbung yang tinggi, ia membantu mengurangkan haba panas sebelah siang selain memiliki ruang tambahan di bahagian atas rumah dengan menjadikan ia lof untuk kegunaan masa hadapan.
"Atas faktor rumah ini memiliki saiz yang terhad, kami lebih berhati-hati dalam permainan warna iaitu menggunakan warna yang neutral atau bertemakan semula jadi bagi mencipta mood lebih santai serta menenangkan.
"Dalam masa sama, warna latar dekorasi dipilih juga serasi dengan suasana persekitaran iaitu memiliki laman luas, dikelilingi pokok dan anak sungai.
"Tiga warna utama digunakan ialah putih untuk ruang nampak lebih besar, warna kayu atau tona 'honey oak' bagi kombinasi neutral dan santai serta warna kelabu membantu mewujudkan sinergi rumah kelihatan lebih sejuk.
"Kemudian penggunaan pokok hiasan sebagai dekorasi turut membantu mewujudkan kesinambungan pemandangan malar hijau dalam persekitaran rumah," katanya.
Bagi mewujudkan suasana atau hiasan dalam rumah itu lebih istimewa, Hafifi turut memilih koleksi gambar peribadi keluarga sebagai dekorasi paling bermakna.
Bagi penataan ruangan dalam rumah pula beliau bersama isteri tercinta, Amira Adnan, 36, lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat perunding profesional.
"Satu kepuasan apabila ruang dalam rumah ini adalah 100 peratus daripada idea dan kerja hiasan dilakukan kami sendiri.
"Kami banyak merujuk kepada paparan hiasan dalaman di media sosial terutama Facebook dan Instagram. Selain itu, perabot banyak dibeli dari gedung Ikea, ada juga rujukan susunan perabot dan aksesori datang daripada contoh rekaan dalaman di situ," katanya.
Kata Hafifi lagi, setiap ahli keluarganya memiliki sudut atau ruang kegemaran tersendiri.
"Saya suka di bahagian luar rumah kerana luas dan sejuk mata memandang. Isteri saya pula sangat sukakan ruangan bawah tangga dan sudut koleksi bukunya.
"Insya-Allah sekiranya ada rezeki, kami akan menambah lagi satu ruang bilik di belakang, tukar pemegang tangga sedia ada kepada konsep industri untuk padanan lebih serasi dengan tata hias dalaman. Mungkin penambahan lebih banyak pokok dan bunga.
"Kami juga akan membina lagi satu rumah yang seakan-akan sama, tetapi berskala lebih kecil di bahagian laman untuk dijadikan sebuah kafe, sesuai dengan kedudukan rumah kami yang berhadapan laluan utama," katanya.
Rumah berkenaan turut mendapat reaksi yang positif terutama dalam kalangan peminat dekorasi rumah apabila tertarik dengan rekaannya.
"Keluarga dan kenalan teruja dengan hiasan dalaman serta konsep rumah ini yang begitu sepadan.
"Sampaikan ada yang bertanyakan kontraktor, selain tempat kami beli perabot dan tidak lupa ingin tahu kos keseluruhan untuk memiliki rumah ini.
"Melihat reaksi mereka, kami tahu sudah lakukan sesuatu yang terbaik untuk dapat dan bina rumah ini. Malah seawal pembinaan juga, kami turut menerima kunjungan ramai orang yang berminat melihat dari dekat," katanya.