RUMAH Hello Kitty yang menjadi tumpuan di Kuala Kangsar.
RUMAH Hello Kitty yang menjadi tumpuan di Kuala Kangsar.

Fairul Asmaini Mohd Pilus

asmaini@mediaprima.com.my

Minat mendalam terhadap watak kartun popular, Hello Kitty mendorong seorang bekas deejay ini mengubah suai rumah pusaka usang kepada kediaman fantasi yang menjadi idaman ramai.

Keseluruhan rumah kayu yang terletak di Kampung Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak itu bukan sahaja dicat dengan warna merah jambu, malah hiasan dalamannya juga turut menggunakan tema sama.

Dekorasi watak kartun popular itu sememangnya menjadi tarikan utama sebaik sahaja menjejakkan kaki ke rumah merah jambu berkenaan.

Ia menjadikan rumah pusaka berusia lebih 100 tahun itu antara tarikan menarik jika berkunjung ke bandar diraja berkenaan.

Pemiliknya, Hamidah Abdul Rahim, 50, berkata, dia bersungguh-sungguh mencantikkan kembali rumah pusaka itu selepas melihat banyak rumah di kampung yang terbiar tanpa berpenghuni.

Justeru, apabila rumah pusaka itu diamanahkan kepadanya, Hamidah mengambil keputusan untuk mengubah dekorasi keseluruhan menggunakan warna merah jambu selain turut dibuka untuk kunjungan.

Kata Hamidah, dia memang 'menggilai' semua perkara berkaitan dengan warna merah jambu dan kucing, jadi watak Hello Kitty seperti gabungan keduanya Katanya setiap bahagian dalam rumah itu turut dipenuhi dengan barangan atau elemen Hello Kitty.

"Di ruang tamu misalnya, saya memilih gabungan cat rona merah jambu dan putih manakala sofa, bantal kusyen sementara bilik tidur tetamu pula berwarna merah jambu.

"Barangan lain termasuk peralatan dapur, meja makan, tandas dan meja solej juga turut mempunyai elemen Hello Kitty serta merah jambu.

ANTARA bilik tidur yang dibuka untuk pengunjung.
ANTARA bilik tidur yang dibuka untuk pengunjung.

"Ia bukan sahaja untuk memberikan kelainan malah dapat menambahkan lagi keceriaan pada rumah pusaka ini," katanya kepada Harian Metro.

Bekas deejay di sebuah pusat beli-belah di ibu negara itu mengakui, proses ubah suai rumah terbabit dilakukan secara berperingkat sejak lebih tiga tahun lalu.

Katanya, daripada rumah kayu dua tingkat sepenuhnya, ia ditukar kepada rumah separa batu.

Selain itu, bagi memberi keseleaaan kepada keluarganya, dua bilik tambahan turut dibina menjadikan kediaman dua tingkat berkenaan kini mempunyai empat bilik tidur.

"Selepas pencen, saya berpindah balik ke Kuala Kangsar awal tahun ini. Sebelum ini, rumah ini hanyalah kediaman keluarga kami pada hujung minggu.

"Alhamdulillah, ia bukan lagi rumah usang tetapi menjadi tarikan pelancongan tempatan di daerah ini, " katanya.

Menurut Hamidah lagi, dia tinggal berdua dengan suaminya, Rino Sultan kerana dua anak mereka masing-masing sudah berkeluarga.

COMEL antara hiasan di dapur Hamidah.
COMEL antara hiasan di dapur Hamidah.

Hamidah mengakui, dia bersyukur kerana suami dan anak-anaknya bukan sahaja tidak membantah minatnya itu malah turut membantu membelikan barangan hiasan yang dimahukan.

Kata Hamidah, di dalam rumahnya itu, dia turut menempatkan 10 rumah kecil perkampungan setiap keluarga Hello Kitty.

"Saya sediakan juga salasilah nama setiap keluarga Hello Kitty. Ia membolehkan pengunjung mengetahui sejarah dan asal usul watak kartun ini," katanya.

Untuk menambahkan lagi keceriaan rumah itu, Hamidah turut membina kincir angin, rumah burung, tempat swafoto, ruang kunci cinta dan

menanam pelbagai jenis pokok bunga.

Hamidah turut menjual pelbagai aksesori Hello Kitty termasuk tudung dan baju ala kimono merah jambu untuk disewa pengunjung.

Lebih istimewa, Hamidah juga membuka sebuah kafe menarik bertemakan Hello Kitty dengan menu utama mi bandung udang galah, mi kari, mi ketam, apam balik pelbagai perisa dan burger merah jambu.

Rumah berkenaan dibuka kepada umum setiap hari bermula 3 petang hingga 7.30 malam dengan had 10 pengunjung untuk setiap sesi selama 15 minit.

Kata Hamidah, pengunjung boleh bergambar sepuas hati di dalam dan luar rumahnya.

"Sebelum pengunjung masuk, kami akan sanitasi seluruh ruang kediaman dan pemakaian pelitup hidung juga diwajibkan. "Setakat ini, pengunjung yang datang masing-masing memahami dan menghormati peraturan yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 7:00 AM