SISTEM penyaringan pam dan air yang cekap untuk mengekalkan kebersihan persekitaran hidupan akuatik anda.
SISTEM penyaringan pam dan air yang cekap untuk mengekalkan kebersihan persekitaran hidupan akuatik anda.
Muhamaad Razis Ismail


AIR sememangnya sesuatu yang terpenting bagi semua bentuk hidupan, tetapi tahukah anda bahawa air juga adalah elemen positif yang melambangkan peredaran, kebijaksanaan, kemurnian, keberuntungan, kekayaan dan banyak lagi maksud simbolik lain.

Meskipun dengan kesan evolusi budaya sepanjang zaman, pemahaman yang kekal dan masih diterima orang ramai adalah binaan hiasan air mampu mengalirkan tenaga positif masuk ke rumah.

Di samping makna simbolik ini, binaan hiasan air juga semakin popular sejak kebelakangan ini kerana faedah yang meluas.

Pengurus Pembangunan Serantau Waterco Koo Zao Cheong berkata, salah satu dari kelebihan adalah fungsinya sebagai sistem penyejukan cekap tenaga yang semula jadi untuk rumah, terutama bagi kita yang berada dalam iklim tropika sepanjang tahun.

"Hiasan air di rumah bukan hanya mewujudkan suasana yang menenangkan dan aman pada ruang semata-mata, malah ia juga membantu melenyapkan tenaga negatif daripada kehidupan harian kita.

"Penambahan hiasan air di rumah adalah satu pilihan yang bijak kerana kajian menunjukkan bahawa terapi bunyi mampu menenangkan jiwa dan bunyi aliran air dikatakan membantu mampu meningkatkan daya perhatian seseorang," katanya.

Menurutnya, ramai yang mungkin inginkan hiasan air di rumah mereka, namun mungkin teragak-agak kerana beranggapan elemen itu hanya boleh dibina di luar rumah atau memerlukan kawasan tanah yang luas.

"Sebaliknya, hiasan air boleh dimasukkan dalam rumah yang kecil seperti kondominium untuk mendatangkan aura alam yang menenangkan.

"Menerusi perancangan yang teliti dan pemilihan hiasan air sesuai, anda boleh menikmati pelbagai kelebihan tanpa mengeluarkan wang yang banyak," katanya.

Jelasnya, pemasangan hiasan air bukan satu prosedur yang rumit dan mahal jika peralatan sesuai dipasang dengan betul pada awalnya.

HIASAN air mampu membawa tenaga positif.
HIASAN air mampu membawa tenaga positif.

"Ada orang mengalami masalah dengan hiasan air mereka selepas waktu tertentu mungkin berpunca daripada beberapa sebab.

"Salah satunya dan yang paling umum adalah peralatan dipasang mungkin tidak tepat untuk penggunaan hiasan air itu. Contohnya, ukuran pam yang dipilih menentukan aliran air diinginkan atau boleh menyebabkan air terpercik merata-rata hingga berlaku pembaziran," kata Koo.

"Sebarang yang berkaitan dengan air dan elektrik mesti dikendalikan secara berhati-hati. Oleh itu, jika kajian dilakukan dengan tepat, sesiapa pun boleh memiliki hiasan air yang mengalir lancar di rumah mereka," katanya.

RUANG di rumah menentukan jenis hiasan air.
RUANG di rumah menentukan jenis hiasan air.

1. Kenal pasti tempat yang 'sempurna'

Aspek pertama dan lebih penting yang perlu dipertimbangkan ketika memasang hiasan air adalah ruang sesuai di rumah kerana pemilihan ukuran, reka bentuk dan bahan untuk elemen itu bergantung pada ruang dipilih. Kenal pasti ruang yang kurang digunakan sama ada di sudut belakang, bawah tangga atau atas meja untuk menyemarakkan suasana tenang tanpa perubahan terlalu besar yang mungkin mengganggu rutin harian anda. Pastikan anda mencari ruang atau sudut yang selamat dan mempunyai sumber elektrik supaya anda tidak perlu menarik kabel sambungan terlalu panjang.

2. Pilih hiasan air yang sesuai dengan reka bentuk dalaman dan penggunaan

Ada pelbagai jenis hiasan air yang ditawarkan di pasaran dan anda boleh memilih yang paling sesuai dengan ruang serta penggunaan. Beberapa jenis hiasan air yang boleh diletakkan di rumah termasuk air pancuran dinding, dinding air, air pancuran lantai dan air pancuran yang boleh diletakkan atas meja. Sebagai contoh, anda boleh mengganti hiasan dinding dengan air pancuran dipasang pada dinding yang tidak mengambil ruang yang banyak. Selain sebagai hiasan, elemen seperti dinding air dapat digunakan sebagai pembahagi ruang untuk memisahkan ruang di rumah dengan cara yang unik dan artistik.

AIR pancut di dinding adalah pilihan yang sesuai untuk rumah yang tidak mempunyai ruang lantai.
AIR pancut di dinding adalah pilihan yang sesuai untuk rumah yang tidak mempunyai ruang lantai.

3. Pilih bahan yang sesuai untuk hiasan air anda

Pemilihan bahan yang sesuai untuk hiasan air penting demi keselamatan dan kemudahan penyelenggaraan. Hiasan air biasanya diperbuat daripada bahan yang berat seperti porselin, batu, marmar, gentian kaca, seramik, logam dan lain-lain. Oleh itu, ia penting untuk membuat pilihan yang sesuai dengan reka bentuk rumah anda untuk aspek keselamatan. Sebaiknya berjumpa pakar atau penyedia perkhidmatan untuk menilai tahap keselamatan lokasi pilihan ingin dipasang lekapan. Walaupun anda memilih hiasan air yang kecil untuk diletakkan atas meja, pastikan meja anda cukup kukuh untuk menahan berat lekapan.

4. Pastikan air terus mengalir dan jaga kebersihan persekitaran air

Ramai yang mungkin ragu-ragu untuk membina hiasan air di rumah kerana ia memerlukan masa untuk membersih dan menyelenggara, terutama bagi mereka yang ingin memelihara ikan kerana makanan ikan dan sisa yang dihasilkan menimbulkan bau kurang menyenangkan. Untuk memastikan air mengalir secara berterusan, anda memerlukan pam bersesuaian bagi memastikan aliran air yang cantik dan lancar sambil mengelakkan percikan tidak diingini yang menyebabkan kerosakan pada lantai dan perabot berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 6:30 AM