RUMAH rehat milik Mohd Amnan yang terletak di Kampung Belukar, Pasir Mas, Kelantan.
RUMAH rehat milik Mohd Amnan yang terletak di Kampung Belukar, Pasir Mas, Kelantan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KEUNIKAN 'rumah kecil' dalam kawasan sawah padi di Kampung Belukar, Pasir Mas, Kelantan mencuri perhatian ramai.

Saiznya yang comel dan keunikan rekaan menarik tumpuan ramai pengguna yang lalu lalang di Jalan Kubang Bemban - Banggol Chicha, Pasir Mas hingga ada yang sanggup memberhentikan kenderaan semata-mata untuk merakam gambar kenangan.

Apa yang menarik sebenarnya mengenai rumah kecil seluas 368 kaki persegi (112.1 meter persegi) itu hingga ia turut tular di laman sosial?

Pemiliknya, Mohd Amnan Muhamad Nor berkata, rumah itu dibina pada asalnya hanya untuk dijadikan sebagai tempat berehat keluarganya.

Ini kerana ia terletak di atas sawah padi yang turut memiliki kolam ikan.

KEUNIKAN saiz rumah rehat ini mencuri perhatian ramai.
KEUNIKAN saiz rumah rehat ini mencuri perhatian ramai.

TANGGA dibina untuk ke beranda di atas bumbung.
TANGGA dibina untuk ke beranda di atas bumbung.

Kata Mohd Amnan, perancangan asalnya hanya mahu membina sebuah wakaf tempat berehat namun akhirnya rumah rehat bersaiz kecil ala 'tiny house' yang menjadi pilihan.

"Rumah ini pada awalnya berkonsepkan studio biasa, ia mempunyai keluasan rehat seluas 14 x 14 kaki (4.3 x 4.3 meter) dengan ruang dapur kecil seluas 5 x 8 kaki (1.5 x 2.4 meter) serta sebuah bilik air berkeluasan 5 x 6 kaki (1.5 x 1.8 meter).

"Tetapi, selepas berbincang dengan isteri, kami mengambil keputusan untuk membina beranda di atas bumbung rumah dan tepi kolam.

"Ia mula dibina pada Januari lalu dan siap sepenuhnya dalam masa dua bulan sahaja," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Mohd Amnan lagi,dia turut membina ruang khas ala 'menara tinjau' di atas rumah kecil yang minimalis itu bagi membolehkan keluarganya bersantai pada sebelah petang atau malam.

Ia sememangnya berbaloi kerana kawasan sawah padi itu mempunyai panorama yang mengasyikkan.

RUMPUT tiruan dipasang untuk menceriakan lagi beranda.
RUMPUT tiruan dipasang untuk menceriakan lagi beranda.

"Secara keseluruhan, rumah rehat ini menelan kos lebih RM50, 000 termasuk upah dan saya dapat berjimat banyak kerana menggunakan kayu rumah terpakai.

"Meskipun memiliki keluasan terhad namun rumah yang kecil ini tetap menawarkan keselesaan tersendiri kepada kami sekeluarga," katanya.

Dalam pada itu, bagi menceriakan lagi halaman rumah rehat berkenaan, Mohd Amnan turut menanam pokok bunga, membina gazebo dan memasang buaian permainan untuk anaknya.

Katanya, meskipun belum siap sepenuhnya namun rumah rehat berkenaan sudah pun mendapat ramai peminat.

"Ramai yang datang berjumpa saya bertanyakan mengenai rekaan, kos keseluruhan dan siapa tukang rumah yang membinanya.

"Konsep rumah kecil seperti ini sememangnya semakin diminati dan ramai yang mahu membinanya sebagai rumah persinggahan sama ada di kawasan kebun atau tanah yang ada.

AIR pancuran di luar rumah.
AIR pancuran di luar rumah.

RUANG dalaman yang ringkas dan selesa.
RUANG dalaman yang ringkas dan selesa.

"Selain menjimatkan ruang, konsep rumah rehat kecil minimalis seperti ini juga praktikal dan dapat menjimatkan banyak wang," katanya.

Sementara itu, Mohd Amnan yang juga pengusaha Qaseh Canopy berkata, ada juga yang sanggup berhenti di tepi jalan semata-mata untuk mengambil gambar rumah berkenan.

Lebih mengujakan, ada juga pasangan pengantin yang datang dari jauh mahu mengabdikan hari bersejarah mereka di sekitar kawasan rumah kecil itu.

"Jika siap sepenuhnya kelak, rumah rehat itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk ATV, katil penginapan 'double decker' dan bot kayuh di kawasan parit berhampiran.

"Melihat kepada sambutan yang ada, saya merancang untuk menjadikan rumah rehat ini sebagai ruang majlis (event space) pada masa hadapan untuk membolehkan orang ramai mengadakan acara kecil-kecilan seperti sambutan hari jadi, akad nikah dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 7:01 AM