BANGUNAN Sultan Abdul Samad mempunyai pengaruh pengalaman British ketika di India.
BANGUNAN Sultan Abdul Samad mempunyai pengaruh pengalaman British ketika di India.
RUMAH tradisional tempatan turut mempengaruhi teknologi pembinaan penjajah.
RUMAH tradisional tempatan turut mempengaruhi teknologi pembinaan penjajah.
RUMAH teres ketika ini adalah pengaruh teknologi luar negara.
RUMAH teres ketika ini adalah pengaruh teknologi luar negara.
BANGUNAN Stadthuys yang dibina Belanda di Melaka.
BANGUNAN Stadthuys yang dibina Belanda di Melaka.
Oleh Hafiz Ithnin


ERA penjajahan antara pengaruh kepada idea dan pembangunan industri pembinaan negara di samping membentuk identiti serta simbol seni bina hingga hari ini.

Pembinaan kediaman juga melalui beberapa evolusi dan transformasi mengikut peredaran zaman termasuk sebelum kemerdekaan.

Profesor Madya Program Seni Bina di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Mohd Hafizal Mohd Isa berkata, penjajah Portugis yang datang ke Melaka pada 1511 sendiri bukan sahaja ingin menakluki kekayaan hasil bumi tempatan, malah membawa ideologi mereka ke lokasi berkenaan ketika itu.

Jelasnya, ideologi itu termasuk membabitkan industri pembinaan dan dekorasi bangunan di kawasan yang ditakluki penjajah ketika itu.

"Jika kita lihat antara bangunan yang menjadi tinggalan Portugis ketika itu ialah A Famosa yang masih ada sehingga hari ini.

"Kemudian, Melaka juga dijajah Belanda membina Stadhuys iaitu bangunan dewan bandar raya yang dibina pada 1650 menjadi pusat pentadbiran dan pemerintahan mereka," katanya.

Tambahnya, kemudian negara dijajah British yang turut membawa seni bina mereka contoh yang masih ada pada hari ini ialah Bangunan Sultan Abdul Samad yang dibina pada 1893 yang banyak dipengaruhi pengalaman mereka menjajah India.

Jelasnya, seni bina penjajahan itu sebenarnya tidak sekadar menjadi senjata tahap kekuasaan tanah jajahan, malah mereka sebenarnya membawa gaya dan teknologi pembinaan serta dekorasi dari negara masing-masing.

"Kalau kita lihat di awal penjajahan Portugis, meskipun ideologi pembinaan dipengaruhi negara penjajah berkenaan, tetapi mereka tetap menerapkan strategi reka bentuk kediaman masyarakat setempat yang ketika itu berteraskan seni bina rumah Melayu tradisional.

"Elemen yang terdapat dalam kediaman masyarakat setempat ketika itu mempunyai fungsi tersendiri seperti amat mementingkan pengaliran udara dan konsep asas itu diguna pakai arkitek asing untuk membina bangunan mereka di tempat pentadbiran," katanya.

Dr Mohd Hafizal berkata, penjajahan juga memberi kesan kepada asimilasi idea dalam seni bina tempatan kerana setiap penjajah yang baharu akan menaik taraf konsep sedia ada.

"Contohnya pada era Belanda memperkenalkan perancangan bandar yang lebih baik seperti menggunakan batu bata dalam pembinaan berbanding batu semula jadi yang diketengahkan Portugis.

"Selain itu, Belanda juga menaik taraf penggunaan sistem antikebakaran dengan mewujudkan tembok parti yang dikenali sebagai 'party wall'," katanya.

Tambahnya, di era Belanda turut memperkenalkan bukaan bangunan yang lebih sempit dan terkawal untuk membolehkan lebih banyak bangunan didirikan dan mempunyai fungsi.

"Jika sebelum itu, bangunan boleh dibina tanpa had ruang di sepanjang jalan, tetapi Belanda memperkenalkan undang-undang yang mengenakan cukai sekiranya ruang itu lebih daripada ketetapan.

"Perkara itu sebenarnya diguna pakai sehingga hari ini. Malah, Belanda juga memperkenalkan konsep kediaman jenis teres yang masih dipakai sehingga hari ini," katanya.

Katanya, selepas merdeka pada era 60-an aliran teknologi barat terus berkembang dalam negara dengan penggunaan seperti jubin dalam kediaman, pembuatan rumah batu dan rumah dua tingkat.

"Ketika itu, kita sudah mempunyai arkitek yang mempunyai ilmu pembinaan atau sarjana arkitek, tetapi tidak begitu ramai dan mereka adalah graduan luar negara. Jadi unsur-unsur luar negara itu diterapkan dalam pembinaan di Malaysia," katanya.

Jelasnya, pada era 80-an sudah mula wujud kesedaran identiti tempatan dengan simbol budaya dan kepercayaan masyarakat setempat diperkemaskan.

"Pada 70-an, kita mula menyaksikan banyak bangunan tinggi muncul kerana ketika ini, negara sudah melalui zaman kemodenan.

"Manakala, pada 2000, kita mula mula melihat konsep pembinaan dan dekorasi hiasan dalaman yang lebih ringkas menjadi perhatian," katanya.

Katanya, dalam masa sama terdapat pemilik kediaman atau komersial yang menghargai keunikan sejarah dan warisan negara dengan memasukkan elemen antik dalam premis masing-masing.

"Ia dilihat mampu memberi keunikan dan aura tersendiri melalui gabungan elemen reka bentuk lama dan moden yang tak lapuk ditelan zaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 7:01 AM