CINCEL Grey yang sukakan keseimbangan dalam ruang penataan kediaman.
CINCEL Grey yang sukakan keseimbangan dalam ruang penataan kediaman.
Oleh Nurul Husna Mahmud


SIRI Silestone Sunlit Days antara inovasi terbaharu Cosentino iaitu jenama terkemuka penghasilan material hiasan dalaman berasaskan mineral hibrid.

Dalam siri berkenaan jenama itu julung kali memperkenalkan neutral karbon sebagai material terbaharunya.

Keunikan jenama itu menampilkan inovasi lestari daripada proses penghasilan siri produk terbabit apabila menggunakan 99 peratus air terpakai daripada pemprosesan produk, 100 peratus tenaga diperbaharui dan 20 peratus material kitar semula.

Selain menampilkan elemen lestari dalam pembuatan siri kali ini, ia juga antara komitmen jenama terbabit kepada kempen pemeliharaan dasar laut dan pengurangan pembebasan karbon dioksida.

Dari segi rekaan atau tema koleksi kali ini ditampilkan lima pilihan warna berinspirasikan gaya Mediterranean yang cukup terkenal dengan 'mood' mesra selain permainan warna yang dekat dengan unsur semula jadi.

Lima pilihan dalam seleksi kali ini ialah Faro White, Cincel Grey, Arcilla Red, Cala Blue dan Posidonia Green adalah ekspresi dan penceritaan dalam bentuk warna meraikan gaya hidup Mediterranean.

Faro White umpamanya dikatakan mengambil inspirasi daripada keluhuran kisah penjaga terakhir rumah api di Madrid, Mario.

RED Arcilla bagi mereka yang gemarkan warna lebih terang.
RED Arcilla bagi mereka yang gemarkan warna lebih terang.

WARNA hijau yang menenangkan menerusi pilihan Posidonia Green.
WARNA hijau yang menenangkan menerusi pilihan Posidonia Green.

Warna putih adalah pelambangan sesuai untuk sesuatu yang suci, ringkas dan kesederhanaan apabila material ini menjadi pilihan penataan ruang kediaman.

Bagi Cincel Grey pula dilihat sesuai buat mereka yang mahu keseimbangan antara ruang panas dan sejuk dalam kediaman.

Apabila material ini diketengahkan dalam penataan ruang tertentu, penggunaan cahaya lampu boleh membantu menyerlahkan karakter warna berkenaan.

Warna merah tanah bagi Arcilla Red mungkin pilihan sesuai bagi mereka yang sukakan warna yang menyerlah selain suasana hangat dalam kediaman.

Namun warna merahnya masih dirasakan lembut dan tidak keterlaluan menyuntik rasa nyaman dalam penataan ruang meskipun bagi ruang beradu.

Semestinya tidak mahu lari daripada elemen utama Maditerranean apabila warna biru gelap Cala Blue diinspirasikan daripada tona warna laut.

Ini boleh menjadi terapi kepada pemilik kediaman apabila digunakan menghiasi ruang dalam kediaman selepas bertahun lamanya tidak dapat keluar bercuti mahupun melancong ke peranginan yang dekat dengan laut.

Warna terakhir menampilkan sisi menenangkan menerusi pilihan Posidonia Green. Skema warna yang lembut menampilkan pesona redup seperti mana berteduh di bawah kanopi hijau.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 6:46 AM