Muhamaad Razis Ismail
razis@mediaprima.com.my


Setiap orang mengimpikan untuk memiliki landskap yang unik dan menarik di kediaman masing-masing.

Namun, bukan perkara mudah untuk membuat reka bentuk landskap yang bukan sahaja mampu memberi keselesaan dan ketenangan kepada pemiliknya malah menarik perhatian tetamu.

Jadi, tidak hairanlah ramai yang terpaksa mendapatkan khidmat pereka landskap untuk menzahirkan landskap idaman.

Berbeza dengan seorang juruteknik di sebuah syarikat cari gali minyak di Terengganu yang memiliki bakat terpendam dengan membina landskap dari bahan semula jadi dan terbuang di persekitaran rumahnya.

Biarpun tidak memiliki latar belakang dalam bidang landskap, Mohd Yatin Mohd Ibral, 52, berjaya membina landskap menarik di kediamannya di Kluang, Johor.

Mohd Yatin bijak memanfaatkan ruang seluas 100 meter persegi untuk membina sendiri landskap idamannya menerusi elemen pintu gerbang, jambatan kayu, kolam ikan hiasan, gazebo, basikal lama dan sebagainya sejak tahun 2015.

Lebih menarik terdapat sebuah replika rumah tradisional Terengganu yang menjadi tarikan landskap di sini.

Dia banyak menggunakan pelbagai pokok liar seperti paku aji gunung, draco dracaena, kesenai, paku pandan, orkid hutan dan bonsai untuk mewujudkan suasana hijau, semula jadi serta mendamaikan.

Mohd Yatin mula menceburi bidang landskap sejak 2000 dengan mengindahkan kediamannya di Terengganu.

REPLIKA rumah tradisional Terengganu.
REPLIKA rumah tradisional Terengganu.

"Kemudian pada 2015, saya membina sebuah rumah banglo di atas tanah seluas 500 meter persegi di kampung kelahiran saya di Kluang, Johor.

"Sebaik rumah siap dibina, saya meneruskan hobi membina landskap dengan mengambil inspirasi dari pembacaan dan mengolahkannya dengan kreativiti sendiri.

"Bagi saya, landskap memainkan peranan penting untuk memberi ketenangan kepada pemiliknya apabila kita mengamatinya," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

PERABOT dari kayu cengal.
PERABOT dari kayu cengal.

Menurutnya, dia mengetengahkan konsep laman Nusantara untuk mengimbau kenangan lama sekali gus mengembalikan nostalgia ketika masih kecil.

"Oleh itu, saya banyak menggunakan pokok liar dan barang terbuang untuk membina landskap ini.

"Saya membina landskap sebagai hobi dan terapi untuk mengisi masa lapang," katanya.

Jelasnya, kebanyakan landskap di kediamannya, 100 peratus digubah sendiri berasaskan barang-barang lama.

PINTU gerbang unik.
PINTU gerbang unik.

"Di awal menceburi bidang landskap saya sukar untuk mendapatkan bahan-bahan seperti kayu-kayu lama, pokok dan batu.

"Kebiasaannya saya sendiri masuk ke hutan untuk mencari pokok-pokok liar dan jadikan ia sebagai pokok hiasan di halaman. Kayu buruk pula, saya jadikan sebagai titi kayu dan tangga.

"Setiap dua minggu sekali (sebelum Perintah Kawalan Pergerakan) saya akan mencantas dan membersihkan pokok-pokok supaya sentiasa nampak kemas dan rapi," katanya.

Beliau bersyukur apabila idea landskap di kediamannya mendapat maklum balas positif di laman sosial sehingga ada yang meminta tunjuk ajar.

PENGGUNAAN lampu untuk menaikkan suasana.
PENGGUNAAN lampu untuk menaikkan suasana.

"Selain itu, ada juga yang menjadikan halaman rumah saya sebagai tempat untuk mengambil gambar kahwin.

"Malah saya juga kerap menerima kunjungan dari tetamu luar untuk melihat sendiri karya landskap dan menjadikannya sebagai sumber inspirasi mereka," katanya.

Katanya, landskap di kediamannya itu masih belum siap sepenuhnya kerana kekangan masa dan jarak.

"Pada masa akan datang saya merancang membina rumah kampung yang berkonsepkan alam semula jadi dengan penyerinya barang-barang lama," katanya.

Beliau turut berkongsi tip untuk menceburi bidang landskap sebenarnya tidak memerlukan kos yang tinggi.

"Kita hanya perlu ada minat yang mendalam dan rajin membuat rujukan dan idea untuk mengolah sesuatu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 7:00 AM