Rona kediaman cerah menjadi pilihan dalam konsep Scandinavia. - FOTO Google
Rona kediaman cerah menjadi pilihan dalam konsep Scandinavia. - FOTO Google
Hafiz Ithnin


GAYA kediaman berkonsepkan Scandinavia antara yang sentiasa menjadi perhatian pemilik kediaman yang ingin mendekorasi kediaman mereka.

Malah, gaya itu juga begitu popular di dalam pelbagai platform media sosial yang boleh mempengaruhi pemilik kediaman untuk meniru gaya berkenaan.

Pensyarah merangkap Profesor Madya Program Seni Bina di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Mohd Hafizal Mohd Isa berkata, Scandinavia merujuk kepada beberapa negara utara Eropah seperti Sweden, Denmark dan Norway.

Beliau berkata, kadang kala atas faktor geografi dan ekonomi, Finland, Iceland dan Kepulauan Faroe, turut dikategorikan sebagai sebahagian dari negara Scandinavia.

"Di atas kekuatan pengaruh sejarah dan budaya, seni tata hias bertemakan Scandinavia kian mendapat tempat di hati peminat seni penataan dalaman sejak tahun 1950-an dan bahangnya masih terasa sehingga kini.

"Salah satu faktor yang mendorong kepada populariti tema ini adalah mungkin disebabkan francais terkenal dari negara Sweden yang berkembang pesat di serata dunia," katanya.

Katanya, secara amnya, tema Scandanavia menggabungkan komponen rekaan yang moden seperti minimalis, praktikal dan sederhana.

"Tema ini amat mudah untuk dipraktikkan semua orang. Antara tujuh perkara yang kita perlu tahu dalam menata hias menggunakan tema Scandinavian adalah warna. Ia tidak begitu vokal dalam pemilihan warna pada dinding bangunan.

"Kebiasaannya, rona warna cerah seperti putih dan warna-warna dalam kelompok rona yang direndam atau 'muted colours' seperti kelabu cerah menjadi pilihan utama.

"Hal ini mungkin kerana keadaan cuaca di negara berkenaan yang suram akibat musim sejuk panjang menyebabkan ruang dalaman menjadi gelap," katanya.

Tambahnya, warna cerah mampu membias cahaya ke ruang dalaman bangunan selain warna cerah juga lebih mudah disesuaikan dengan pelbagai jenis perabot dan peralatan hiasan dalaman.

Selain itu, Dr Mohd Hafizal berkata, elemen kayu adalah bahan yang mampu untuk memberikan kesan kesegaran di dalam bangunan.

Mementingkan kepada konsep pencahayaan semula jadi. - FOTO Google
Mementingkan kepada konsep pencahayaan semula jadi. - FOTO Google

Elemen kayu juga antara yang sering diterapkan. - FOTO Google
Elemen kayu juga antara yang sering diterapkan. - FOTO Google

Katanya, kayu yang diguna pakai untuk tema ini semestinya kayu cerah seperti pain, abu 'ash' dan 'beech.' Penggunaan kayu tidak hanya diaplikasikan pada lantai, tetapi turut dijadikan kemasan pada dinding.

"Perabot seperti almari, kerusi dan meja yang diperbuat daripada kayu ini, sesuai digunakan.

"Banyak kajian dilakukan untuk melihat kesan kebaikan penggunaan kayu pain terhadap kesihatan manusia seperti alergi dan keradangan pada sistem pernafasan," katanya.

Katanya, tema Scandanavia menekankan aspek ringkas dan sederhana. Contohnya dalam penggunaan perabot yang minima dengan almari yang terbuka atau terdedah.

"Jika kita lihat, kebanyakan rumah rumah tradisional di negara Scandanavia kecil bagi tujuan penjimatan penggunaan tenaga untuk pemanasan ruang.

"Oleh itu, perabot yang minima mampu untuk mengelak ruang kecil itu nampak semak dan serabut. Perabot juga tidak diukir sarat dengan motif reka bentuk tertentu, tetapi lebih kepada garisan lurus yang ringkas. Hal ini mampu untuk memberi kesan ketenangan selepas penat bekerja seharian," katanya.

Katanya, cahaya semula jadi tidak hanya bagi negara Scandanavia, Malaysia juga perlu menggunakan banyak cahaya semula jadi untuk menerangi ruang dalaman.

"Cahaya semula jadi mampu untuk memberi kesan dalam meluaskan sesuatu ruang selain dapat membantu dalam mengurangkan penggunaan tenaga elektrik.

"Masyarakat Scandanavia sangat menghargai alam semula jadi. Pokok yang diletakkan di dalam bangunan mampu untuk menyegarkan ruang dalaman selain memberi kesan kehidupan," katanya.

Tambahnya, rumah rumah di negara Scandanavia banyak dihiasi dengan tumbuhan hijau. Pokok-pokok ini diletakkan di penjuru ruang selain diletakkan di atas meja dan para.

Jelasnya, kebanyakan rumah rumah di negara Scandanavia dihiasi selimut kait tebal bagi tujuan memanaskan badan. Untuk menyesuaikan dengan keadaan di Malaysia, penggunaan selimut 'throw blanket' yang lebih nipis boleh digunakan dan diletakkan di atas sofa dan katil.

"Adakalanya, tekstil bulu dan tali dikait atau diikat untuk dijadikan hiasan permaidani dinding atau 'tapestry.'

"Kerja seni seperti lukisan yang menggabungkan pelbagai warna turut diadunkan. Akan tetapi, kecintaan mereka terhadap keunikan flora dan fauna banyak mendorong mereka untuk mencetak hasil kerja seni dalam bentuk tumbuh tumbuhan seperti herba, bunga bungaan, cendawan, bijirin serta benih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 6:40 AM