BURUNG kakaktua putih antara rekaan awal yang dihasilkan Efarin.
BURUNG kakaktua putih antara rekaan awal yang dihasilkan Efarin.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Jika sekali pandang, hiasan rumah seperti bunga orkid, burung kakaktua atau ikan koi plastik yang dihasilkan Efarin Enicilin seakan 'hidup' biarpun sebenarnya diperbuat daripada botol terbuang.

Anak jati Sabah itu, jelas benar-benar teliti dan kreatif dalam 'meniru' setiap sisi haiwan berkenaan hingga sukar untuk dibezakan andai sekali pandang.

Meskipun tidak memiliki latar belakang pendidikan dalam bidang seni namun Efarin memiliki kreativiti tersendiri.

Kata Efarin, semua hiasan itu dihasilkan berdasarkan penelitiannya terhadap gambar tumbuh-tumbuhan dan haiwan terbabit.

Katanya, idea untuk menghasilkan hiasan itu timbul dua tahun lalu apabila dia melihat banyak botol plastik dibuang di jalanan.

"Daripada botol plastik itu terbiar begitu sahaja dan merosakkan pemandangan, ada baiknya jika ia dikitar semula.

"Botol plastik sebenarnya boleh menghasilkan pelbagai hiasan rumah yang menarik dan kosnya juga tidak semahal mana," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Efarin, dia menggunakan pelbagai jenis botol plastik antaranya botol air mineral, botol air minuman dan botol sabun pencuci terpakai.

RUSA bintik daripada botol terbuang kelihatan seperti haiwan hidup.
RUSA bintik daripada botol terbuang kelihatan seperti haiwan hidup.

Semua botol itu dikutipnya di sekitar tempat tinggalnya dan kawasan berdekatan.

Selain itu, antara bahan lain yang turut digunakan termasuk gunting, penebuk lubang, paku dan kabel pengikat.

"Bagi memastikan rona hiasan lebih menarik, saya gunakan cat jenis semburan bukannya cat air.

"Ia bukan sahaja menghasilkan rona yang lebih 'real' malah harganya juga lebih murah," katanya.

Sehingga kini, pelbagai jenis haiwan dan tumbuh-tumbuhan hiasan dihasilkan Efarin serta ada yang sudah dijual kepada kenalannya.

HIASAN ayam serama yang ditempah kenalan untuk menghiasi halaman rumah.
HIASAN ayam serama yang ditempah kenalan untuk menghiasi halaman rumah.

Antaranya, bunga orkid, cendawan, bunga rafflesia, kaktus, ikan koi, ikan nemo, burung kakaktua pelbagai warna, rusa bintik, kuda belang, udang kara, rama-rama, itik, burung bangau, ayam serama dan banyak lagi.

Hiasan yang dihasilkan Efarin bukan sahaja menyerikan lagi kediaman malah turut memberi keceriaan kepada penghuninya.

Hobi yang pada asalnya sekadar untuk mengisi masa lapang kini turut membantu menjana pendapatan tambahan kepada Efarin.

ANTARA botol plastik yang digunakan Efarin.
ANTARA botol plastik yang digunakan Efarin.

IKAN koi hiasan daripada botol plastik yang seakan hidup.
IKAN koi hiasan daripada botol plastik yang seakan hidup.

"Alhamdulillah, tempahan memang banyak diterima terutamanya hiasan burung kakaktua dan ikan koi.

"Saya juga pernah menerima tempahan dari sebuah sekolah di Jawa Timur, Indonesia, untuk tujuan pembelajaran di dalam kelas.

"Harganya bergantung kepada saiz iaitu antara RM15 hingga RM90 sahaja dan tempahan biasanya dapat disiapkan dalam tempoh tiga hari," katanya.

Menurut Efarin lagi, haiwan dan tumbuh-tumbuhan hiasan yang dihasilkan itu mudah dijaga dan hanya perlu dilap untuk membuang habuknya.

"Untuk ikan pula, ia boleh dicuci dengan sabun bagi menghilangkan lumpur, kotoran dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, bagi membolehkan orang ramai menghasilkan hiasan sendiri menggunakan botol terpakai, Efarin turut menyediakan video tutorial yang dimuat naik di YouTube saluran efarin enicilin.

Kata Efarin, dia mahu berkongsi dengan orang ramai betapa mudahnya untuk menghasilkan hiasan rumah menarik menggunakan bahan terbuang seperti botol plastik.

"Proses paling rumit bagi menghasilkan sesuatu hiasan haiwan itu adalah pada bahagian kepala kerana ia perlu sama dengan haiwan betul.

" Untuk mewarna, ia mudah sahaja dan semburan warna juga cepat kering.

"Dengan adanya video tutorial itu, saya harap dapat menarik masyarakat untuk sama-sama menjaga alam sekitar dengan menggunakan semula barangan plastik terbuang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 7:00 AM