SUSUNAN bingkai yang menarik di dinding.
SUSUNAN bingkai yang menarik di dinding.
Hafiz Ithnin

DALAM menghias kediaman peribadi atau disewa, kadang-kala si penghias tidak dapat lari daripada menggunakan bingkai sebagai antara elemen hiasan.

Pensyarah merangkap Profesor Madya Program Seni Bina di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Mohd Hafizal Mohd Isa berkata, bingkai adalah salah satu elemen penting dalam seni penataan hiasan dalaman.

Jelasnya, atas faktor kepelbagaian pilihan yang terdapat dalam pasaran, hal ini menimbulkan kekeliruan kepada pengguna.

"Kesesuaian bingkai yang hendak dipilih kerap menjadi persoalan utama yang bermain di fikiran peminat penataan hiasan dalaman.

"Perkara pertama yang harus difikirkan adalah apakah bahan yang ingin kita pamerkan? Adakah sijil? Gambar? Lukisan? Pakaian? Aksesori?," soalnya.

Katanya, penggunaan bingkai tidak terhad kepada gambar semata-mata. Terdapat sesetengah pencinta hiasan dalaman membingkaikan tumbuh-tumbuhan kering, serangga, artifak dan sebagainya.

BINGKAI lukisan polos mampu membawa maksud tersendiri.
BINGKAI lukisan polos mampu membawa maksud tersendiri.

"Seperti peralatan solekan, bingkai digunakan untuk meningkatkan seri bahan yang hendak dipamerkan dan bukannya untuk mencuri perhatian atau tumpuan kepada bahan pameran itu.

"Oleh sebab itu, adalah penting untuk kita tahu sedikit sebanyak berkenaan bingkai untuk membantu kita dalam membuat pemilihan yang tepat," katanya.

Pakar itu berkata, terdapat pelbagai bahan bingkai di pasaran. Setiap bahan memberikan impak tersendiri pada bingkai dan bahan yang ingin ditonjolkan.

"Antara bahan yang sering digunakan adalah kayu, seramik, kristal, besi, kaca, plaster, resin dan sebagainya. Setiap bahan mempunyai kelebihannya tersendiri.

"Kayu sebagai contoh, mampu untuk memberikan elemen rustik kepada gambar atau bahan yang hendak ditonjolkan. Bingkai kaca dan besi akan tampak lebih elegan, moden serta minimalis," katanya.

ANTARA bingkai yang unik berbentuk bulat.
ANTARA bingkai yang unik berbentuk bulat.

Tambahnya, resin pula digunakan untuk membentuk bingkai yang mempunyai ukiran atau bentuk bingkai unik seperti bulat dan bujur. Bingkai resin lebih ringan dan sesuai untuk digantung pada dinding plaster atau 'dry wall.'

"Meletakkan bingkai boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Kebiasaannya, bingkai ini digantung pada dinding atau ditegakkan di atas meja. Selain itu, bingkai juga boleh disandar pada permukaan dinding secara serong 'slanting' yang ditampung meja, rak atau panel dinding ('wainscoating') contohnya.

"Bingkai ini biasanya tidak diletakkan penyangkut di belakangnya. Kombinasi bingkai juga penting untuk memberikan satu impak kepada seni penataan hiasan dalaman," katanya.

Tambahan, gabungan itu boleh dilihat dari pelbagai sudut seperti saiz bingkai, warna dan corak, bentuk serta bahan yang digunakan.

BIJAK menyusun atur bingkai mampu menghasilkan gaya hiasan dalaman yang menarik.
BIJAK menyusun atur bingkai mampu menghasilkan gaya hiasan dalaman yang menarik.

"Konsep kolaj contohnya boleh menggabungkan beberapa bingkai yang disusun secara teratur atau rawak pada permukaan dinding. Penyusunan ini boleh menggabungkan bingkai dari pelbagai bentuk dan saiz tetapi diharmonikan dengan penggunaan warna dan corak yang senada. Contohnya, hitam, putih dan emas.

"Bagi bingkai di atas meja atau rak, penyusunan bingkai boleh dilakukan secara berlapis. Kombinasi pelbagai saiz bingkai dan warna juga boleh dilakukan," katanya.

Katanya, penggunaan 'deep-set frame' atau bingkai tebal seperti kotak mampu untuk memberikan impak yang tersendiri dalam mendorong pandangan terhadap imej ke dalam kotak berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 6:30 AM