DEK kolam menggunakan motif pelbagai bentuk dan warna memudahkan pengunjung mengesan kedudukan mereka. - FOTO Google
DEK kolam menggunakan motif pelbagai bentuk dan warna memudahkan pengunjung mengesan kedudukan mereka. - FOTO Google
Nurul Husna Mahmud


DALAM memfokuskan terhadap penggunaan kolam renang sebagai riadah, ada sesetengah rekaan atau kemasan dalaman bagi ruang itu boleh menambah seri kepada landskap atau rumah pemiliknya.

Itu dilakukan pengasas StudioProba di New York, Amerika Syarikat, Alex Proba apabila menampilkan seni lukisan bercirikan geometri dan abstrak sebagai dekorasi dasar kolam atau dek sekitarnya.

Bukan satu malah tiga kolam ditampilkan dengan rekaan sedemikian sehingga ruang itu menjadi fokus tumpuan dalam rekaan keseluruhan rumah.

Salah satu karya Alex ialah di dek kolam renang umum di Manhattan's Roosevelt Island yang mana dilakukan bersama firma K&CO dan Pliskin Architecture.

Menurut Alex, dalam projek itu objektif rekaan adalah meraikan kemeriahan pelbagai bentuk dan warna.

Dalam bentuk yang pelbagai, artis itu juga bijak bermain tona warna terang dan lembut membuatkan persekitaran kolam tampak lebih ceria.

Kebaikan lain daripada rekaan unik mural di dek kolam renang awam berkenaan, ia memberi solusi baik bagi mereka yang mengesan kedudukan kenalan atau ahli keluarga di lokasi terbabit.

UNIK bentuk kolam serasi dengan gaya eksentrik Alex. - FOTO Google
UNIK bentuk kolam serasi dengan gaya eksentrik Alex. - FOTO Google

GAYA Pop Art iaitu penggunaan pelbagai warna terang dan kontra antara satu warna dengan warna lain. - FOTO Google
GAYA Pop Art iaitu penggunaan pelbagai warna terang dan kontra antara satu warna dengan warna lain. - FOTO Google

Mereka boleh nyatakan kedudukan lebih mudah seperti memaklumkan mengikut zon warna atau bentuk yang terdapat di dek terbabit.

Kerja melukis dan mengecat mural itu dilakukan pada tahun lalu yang memberi keceriaan pada persekitaran ketika berdepan pandemik global Covid-19.

Sementara itu, bagi rekaan kolam renang di satu rumah elit, Marrow House, pereka itu meraikan bentuk melengkung sebagai kontra kepada gaya rumah 'Mid Century'.

Mendekati kawasan cetek dan bertangga, pereka itu melukis bentuk melengkung seolah-olah menyerupai kelopak bunga menghala arah menuruni kawasan kolam.

Selain itu, penggunaan warna kombinasi terang dan pastel menghasilkan gaya keseluruhan unik.

Sementara itu, mural di kolam renang yang terletak di rumah di Palm Spring California, Amerika Syarikat pula tampak serasi dan menonjol kerana faktor bentuk kolam renang itu sendiri yang unik.

Hasilnya kolam renang dicat dengan gaya seperti Pop Art itu menambah nilai estetik di kawasan sekitar dan menceriakan suasana rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 6:49 AM