WAN Mansor menyiapkan peti penyimpanan barang.
WAN Mansor menyiapkan peti penyimpanan barang.
Abnor Hamizam Abd Manap


KEBIASAAN seseorang tukang perabot memerlukan kemahiran bagi reka cipta seterusnya menghasilkan produk hasil tangan sendiri.

Namun bagi seorang warga emas, tiada kemahiran asas diperlukan bagi menghasilkan perabot daripada kayu palet melainkan mengikut cita rasa sendiri.

Wan Mansor Wan Hassan, 64, dari Taman Bedong Permai, Pekan Awah, Pahang pada asalnya membuat perabot hanyalah kegunaan di rumahnya sahaja.

Namun dia tidak menyangka, hobi mengisi masa lapang itu mendapat perhatian kenalan dan jirannya sebelum diminta membuat perabot pilihan.

"Semuanya bermula setahun lalu apabila saya meminta seorang tukang membuat kabinet dapur di rumah.

"Namun harga yang diminta sangat mahal dan tidak munasabah menyebabkan saya memutuskan untuk buat sendiri.

"Apabila siap, saya hanya mengeluarkan modal sekitar RM1,000 selain berasaskan idea sendiri," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Wan Mansor berkata, selepas itu dia mula membuat perabot sendiri seperti meja makan dan kerusi menggunakan kayu palet yang dibeli di kawasan berhampiran.

Bagaimanapun katanya hasil pertukangan untuk kegunaan sendiri itu kemudian mendapat perhatian jiran dan kenalan sebelum mereka menempah pelbagai perabot buatannya.

"Selain kerusi dan meja, ada yang menempah almari pakaian, katil, rak kasut, penyidai baju, meja solek, panel dinding dan pelbagai perabot lain.

"Tiada lakaran pelan atau lukisan tertentu digunakan bagi menyiapkan tempahan sebaliknya hanya menggunakan daya ingatan sahaja," katanya yang sudah enam tahun tinggal di taman perumahan berkenaan.

Wan Mansor berkata, berikutan kerja menyiapkan satu-satu perabot lebih 80 peratus menggunakan kudrat tuanya, tempahan pelanggan mengambil masa antara empat hari ke dua minggu untuk disiapkan.

Katanya sebelum menerima tempahan dia sudah memaklumkan kepada pelanggan mengenai perkara itu.

KERUSI yang dibuat menggunakan kayu palet sesuai dijadikan perabot di dalam rumah.
KERUSI yang dibuat menggunakan kayu palet sesuai dijadikan perabot di dalam rumah.

"Mereka (pelanggan) perlu bersabar menunggu tempahan disiapkan malah jiran sebelah rumah pun sudah dua bulan menunggu kerusi panjang yang ditempahnya," katanya sambil ketawa.

Ruang parkir rumah teresnya dijadikan bengkel untuk kerja menyiapkan tempahan selain lokasi itu sering kali dilawati jiran dan kenalannya.

Nyata, Wan Mansor tidak menyangka hobi masa lapangnya itu mendatangkan pendapatan sampingan bagi keluarganya.

Katanya kayu palet sangat menarik dijadikan pelbagai jenis perabot berikutan mempunyai ukiran sekiranya si tukang pandai membuatnya.

"Saya tiada pembantu kerana ini perusahaan kecil-kecilan saja. Namun saya juga memasang impian untuk membuka bengkel lebih sempurna suatu hari nanti.

PENYIDAI pakaian dibuat menggunakan kayu palet.
PENYIDAI pakaian dibuat menggunakan kayu palet.

"Bagaimanapun, saya sangat seronok apabila perabot ditempah pelanggan diterima baik dan kebanyakan berpuas hati dengan hasil kerja saya," katanya.

Isterinya, Norizan Mohamad, 57, serta lima anaknya turut memberi sokongan kepada Wan Mansor sebaik menceburi bidang berkenaan.

Wan Mansor berkata, kebanyakan kayu yang dihasilkan daripada pokok pain kerana tahan lasak apatah lagi di Eropah kayu itu banyak digunakan dalam pembinaan rumah dan perahu.

Katanya dahulu kayu palet dibuang begitu sahaja dan kebiasaan ia berada di tepi jalan terutama di kawasan perindustrian.

"Sekarang ini kayu palet tidak dibuang sebaliknya dijual pihak industri berikutan perabot yang dihasilkan daripada kayu palet mempunyai permintaan tinggi.

"Proses 'melayur' kayu palet dengan api perlu bagi menimbulkan corak seterusnya syelek antara proses asas yang dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 6:07 AM