WARNA oren menurut kajian mampu merangsang pemikiran kritis si kecil.
WARNA oren menurut kajian mampu merangsang pemikiran kritis si kecil.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

JANGAN pernah mengetepikan cita rasa si cilik dalam menatahias kediaman kerana mereka juga mempunyai hak untuk menikmati keselesaan di rumah sendiri!

Begitu juga warna kerana elemen itu sudah tentu mampu memberi aura tersendiri kepada penghuni sama ada ceria, tenang atau tampak tegas. Si kecil sudah pasti mahukan keceriaan yang mampu memberi kesan kepada pembesaran mereka kelak.

Sempena dengan Hari Kanak-kanak Sedunia, AkzoNobel, syarikat cat dan pelapis hiasan serta pembuat cat Dulux memberikan bantuan kepada ibu bapa dengan berkongsi kepakaran cara menyediakan persekitaran positif untuk kanak-kanak belajar melalui warna.

Jelas syarikat itu, menurut kajian University of Sussex, warna mempengaruhi status emosi anak ketika belajar. Oleh itu, ketika merancang ruang untuk kanak-kanak, warna adalah salah satu elemen penting yang perlu dipertimbangkan.

Warna tidak hanya meningkatkan estetika bilik; ia juga dapat mempengaruhi kemampuan belajar, tingkah laku dan produktiviti mereka. Berdasarkan kajian ini, ketahui tiga warna utama yang akan membantu mewujudkan persekitaran positif untuk pengalaman belajar anak anda.

RONA kuning mampu mewujudkan persekitaran positif untuk kanak-kanak.
RONA kuning mampu mewujudkan persekitaran positif untuk kanak-kanak.

Seterusnya warna pertama dalam senarainya adalah kuning. Berdasarkan kajian, kuning membantu mewujudkan persekitaran positif ketika membaca, meningkatkan keupayaan untuk fokus dan membantu dalam tugas berkaitan nombor.

Warna itu sendiri adalah salah satu elemen yang paling menceriakan pada skala warna kerana ia mewakili kepintaran, kebaikan, keceriaan, keseronokan dan inspirasi.

Sementara warna kedua adalah oren kerana menarik dan bertenaga. Kerana itulah ia tidak mengejutkan apabila mendapati bahawa 61 peratus wanita dan 39 peratus lelaki memilih oren sebagai warna yang merangsang dalam tinjauan warna baru-baru ini yang dilakukan AkzoNobel di Asia Tenggara.

Selain itu, berdasarkan kajian University of Sussex, oren adalah warna yang meningkatkan kreativiti kanak-kanak kerana mendorong pemikiran kritis dengan meningkatkan bekalan oksigen ke otak.

Lebih menarik, persekitaran berwarna oren sesuai untuk kanak-kanak mengembangkan kemahiran motorik halus mereka, sama ada bermain dengan Lego, mewarna ataupun melukis.

Akhir sekali adalah warna biru, iaitu antara warna pilihan oleh kanak-kanak berdasarkan kajian yang dilakukan oleh University of Sussex.

"Warna ini juga adalah simbol langit dan lautan selain dapat digunakan dengan selesa kerana kesannya yang begitu tenang," katanya.

BIRU amat sinonim dengan persekitaran kanak-kanak kerana ia menterjemahkan ketenangan.
BIRU amat sinonim dengan persekitaran kanak-kanak kerana ia menterjemahkan ketenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 6:30 AM