‘MESRA’ kombinasi warna putih, kayu dan tanaman hiasan. FOTO Ihsan Asri Meris
‘MESRA’ kombinasi warna putih, kayu dan tanaman hiasan. FOTO Ihsan Asri Meris
Nurul Husna Mahmud


SENTIASA mengikuti perkembangan rekaan dalaman gaya rumah ladang di barat atau Farm House menyebabkan susun atur dikongsikan pasangan Asri Meris, 33, dan Siti Rohani Shuib, 30, di rumah mereka di Tuaran, Sabah tidak pernah gagal memberi kejutan.

Lihat sahaja perincian dapur seperti ruang meletakkan pengedap asap selain bata putih timbul pada ruang dapur sepenuhnya daripada kayu mengundang rasa kagum penulis.

Meskipun sudah mengupah kontraktor untuk kerja pengubahsuaian ruang itu selain membaik pulih lantai rumah mereka, namun pereka dalaman AsriSiti Deco (ASD) itu mengakui perincian kecil termasuk laci dan kemasan kabinet semuanya adalah sentuhan kreativiti dia bersama isteri untuk menjadikan ruang keluarga itu memenuhi gaya idaman.

"Kebetulan ada bajet, memang kali ini fokus untuk pengubahsuaian ditumpukan pada bahagian dapur kerana sebelum kami tidak berkesempatan menata rias ruang berkenaan.

"Kali ini juga kerja pengubah suaian turut membabitkan kemasan lantai kerana bahagian terbabit mengalami kerosakan teruk akibat serangan anai-anai," katanya yang mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan kemasan dapur berkenaan.

TERANG suasana dalam rumah apabila menggunakan warna dan aksesori betul. FOTO Ihsan Asri Meris
TERANG suasana dalam rumah apabila menggunakan warna dan aksesori betul. FOTO Ihsan Asri Meris

Masih mengekalkan gaya sebenar 'farm house' kata Asri, elemen 'kedesaan' seperti tekstur kayu yang kasar, material berasaskan elemen semula jadi seperti permaidani jut dan selimut kait antara aksesori bermusim yang boleh mengubah suasana rumah.

"Sebenarnya gaya 'farm house' mementingkan kesederhanaan atau minimalis seperti mana konsep hidup di desa. Jadi perincian kalau kita lihat biasanya rumah ladang ada tekstur kasar atau dipanggil 'raw' dikekalkan seperti warna mahupun ada alur kayu semula jadi, bata timbul dan elemen besi atau barang logam.

IDEA ‘farm house’ gabungan cita rasa Asri dan isteri. FOTO Ihsan Asri Meris
IDEA ‘farm house’ gabungan cita rasa Asri dan isteri. FOTO Ihsan Asri Meris

"Warna juga faktor kedua terpenting supaya tidak lari daripada konsep asal kerana gaya rumah barat ini mempunyai penggayaan dekat dengan konsep rumah lain seperti 'English Cottage', 'Country' dan skandinavian.

"Lari sahaja sikit sebagai contoh penggunaan warna dan kemasan fabrik beropol, konsep atau gaya dekorasi akan beralih kepada gaya 'English Cottage'.

"Terlalu bermain dengan elemen kayu bagi aksesori seperti hiasan dinding dan sebagainya, gaya hiasan akan terarah kepada skandinavian," katanya.

UNIK lampu bulat asalnya lampu meja diletak pada tingkap antara ‘trend’ popular dalam kalangan komuniti ‘farm house’. FOTO Ihsan Asri Meris
UNIK lampu bulat asalnya lampu meja diletak pada tingkap antara ‘trend’ popular dalam kalangan komuniti ‘farm house’. FOTO Ihsan Asri Meris

Tidak hanya melihat estetika aspek semata-mata, kata Asri, rekaan 'farm house' juga mementingkan praktikaliti selain fungsi bagi setiap rekaan itu diwujudkan.

"Dalam rekaan dapur sehinggalah kepada ruang tamu, setiap elemen itu saya dan isteri akan pastikan ia ada fungsi dan saling melengkapi antara satu sama lain.

"Contohnya pintu gelongsor diwujudkan, kalau sebelum ini hanya menggunakan pembahagi ruang dengan menggunakan kabinet. Peranan pintu ini penting dalam rumah kami yang kecil.

"Apabila memasak kami tidak mahu aroma melekat hingga perabot ruang tamu dan ia juga membantu daripada segi keselesaan terutama apabila kucing peliharaan ditempatkan di situ sementara kami menjamu selera,"katanya.

UNIK ‘shiplap’ atau papan lapis beri efek khas di pintu masuk rumah. FOTO Ihsan Asri Meris
UNIK ‘shiplap’ atau papan lapis beri efek khas di pintu masuk rumah. FOTO Ihsan Asri Meris

Asalnya mahu pintu itu menggunakan kayu disebabkan kebanyakan rumah ladang di barat menggunakan material terbabit, namun atas kos terlalu tinggi, dia memilih pintu gelongsor berwarna putih.

Mengenali pasangan ini, meskipun peminat tegar kepada konsep gaya itu, namun terdapat elemen lokal diberi tambah nilai dalam perincian gaya rumah ladang ala Inggeris berkenaan.

"Meskipun kami sentiasa mengikuti perkembangan termasuk beberapa elemen pada gaya 'farm house' seperti 'shiplap' iaitu kayu atau papan lapis untuk beri kesan khas. Saya letakkan di pintu masuk rumah kami.

"Ada juga daripada gaya sedia ada diberi nafas baharu seperti hiasan bingkai gambar selalunya mengandungi tulisan berbahasa Inggeris, kami ambil pendekatan bercirikan Islamik apabila menggunakan jenis tulisan sama digantikan dengan kalimah memuji Allah.

"Alhamdulillah kalau dalam kalangan pengikut kami di Instagram, memang ramai mula menjejak langkah kami untuk beralih kepada hiasan sedemikian," katanya turut berkongsi rekaan atau tatarias ruang terbaharu dengan peminat konsep rumah terbabit.

Perancangan terdekat, dia dan isteri sedang melengkapkan gaya bagi ruang permainan anak dengan konsep sama membolehkan dua anak menikmati waktu kualiti di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2020 @ 7:00 AM