BENGKEL kelolaan Adiguru Kraf Kayu A Muhaimin Hasbollah tingkat pemahaman pereka muda tempatan falsafah, identiti ukiran kayu tradisional. FOTO: Ihsan Muhaimin Hasbollah
BENGKEL kelolaan Adiguru Kraf Kayu A Muhaimin Hasbollah tingkat pemahaman pereka muda tempatan falsafah, identiti ukiran kayu tradisional. FOTO: Ihsan Muhaimin Hasbollah
Hartini Mohd Nawi


MENGGABUNGKAN pereka-pereka muda tempatan, bengkel peningkatan kemahiran ini dilihat satu inisiatif memartabatkan seni ukiran kayu.

Uniknya Bengkel Eksplorasi Adaptasi dan Aplikasi Ukiran Untuk Produk Premium Berasaskan Kayu itu anjuran Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan anak syarikatnya, CTCS Worldwide Sdn Bhd (CWSB), diadakan selama empat hari di Temerloh, Pahang.

Dibimbing pula Adiguru Kraf Kayu A Muhaimin Hasbollah, 55, bengkel itu bertujuan untuk meningkatkan kemahiran pereka-pereka muda tempatan terutama di dalam memahami falsafah dan identiti ukiran kayu tradisional Melayu.

Malah ia antara usaha dilihat mampu memberikan nafas baharu kepada idea dan inspirasi pereka muda tempatan.

A Muhaimin Hasbollah antara salah seorang pakar tempatan di dalam bidang pengukiran kayu tradisional Melayu.

A MUHAIMIN tidak lokek berkongsi ilmu dengan peserta bengkel. FOTO: Ihsan Muhaimin Hasbollah
A MUHAIMIN tidak lokek berkongsi ilmu dengan peserta bengkel. FOTO: Ihsan Muhaimin Hasbollah

"Seni ukiran kayu dari dahulu hingga kini melalui perubahan zaman dan evolusi yang menjadikannya sebagai satu industri tarikan buat generasi muda serta peminatnya.

"Awalnya, ia hanya barangan hiasan, hiasan kediaman pembesar dan istana kini produk serta seni ukiran kayu berada pada kedudukan tersendiri dalam masyarakat Malaysia dan dunia.

"Hari ini, industri ukiran kayu memperlihatkan perkembangan membanggakan cuma cabarannya, sama ada pengkarya-pengkarya seni ataupun orang ramai harus tahu dan menghargai nilai-nilai murni serta falsafah dalam sesebuah ukiran itu yang membezakan istimewanya hasil karya tempatan," katanya.

Pada masa sama, beliau mengakui bengkel yang diadakan itu memberi pendedahan kepada pereka industri cara untuk menghasilkan produk premium berasaskan kayu yang mempunyai ciri-ciri tempatan.

Ia merangkumi pelbagai motif rekaan, bentuk dan bahan kayu yang boleh digabungkan sebagai produk kraf kayu bercirikan tempatan yang lebih eksklusif.

Sementara itu, peserta bengkel pula terdiri daripada pereka tempatan yang berdaftar dengan MTIB iaitu Sim Chia Yi (MUKK), Lor Jia Jun (MUKK), Izyan Syamimi (Basicology PLT) dan Muhamad Razif Nasruddin (Razif Studio). Masing-masing sudah pun mempunyai studio yang beroperasi di Lembah Klang.

Menurut A Muhaimin, pengisian modul bengkel bukan hanya membabitkan pemahaman falsafah di sebalik ukiran tradisional Melayu semata-mata.

"Malah turut membabitkan pemahaman teknikal susunan dan lukisan ukiran, olahan elemen flora dan fauna tempatan, penggunaan peralatan ukiran dan juga gerak kerja praktikal di bengkel Inakraf Wood Carving.

"Hasilnya beberapa ukiran kayu unik diketengahkan peserta bengkel," katanya.

Menurutnya segala aktiviti pemasaran dan pencarian pasaran untuk produk premium itu akan dilakukan CWSB.

KARYA Izyan yang menampilkan rekaan motif bunga tanjung. FOTO: Ihsan Muhaimin Hasbollah
KARYA Izyan yang menampilkan rekaan motif bunga tanjung. FOTO: Ihsan Muhaimin Hasbollah

Salah satu usaha pemasaran yang dilakukan CWSB ialah melalui penyertaan pameran terkemuka tempatan seperti Pameran Hiasan Dalaman dan Rekaan Rumah (HOMEDEC) 2020 yang dijangka diadakan pada 29 Oktober hingga 1 November ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Di pameran yang sama juga, CWSB akan mempamerkan hasil kerja adiguru berkenaan yang hampir musnah ketika kejadian banjir besar pada 2014. Diberikan nama 'BAHKOLEKTION 2014,' hasil ukiran unik itu, ia bakal dijual ketika pameran HOMEDEC 2020.

Sebahagian hasil daripada jualan ukiran itu bakal disalurkan kepada persatuan Malaysian Relief Agency (MRA) untuk membantu menangani isu bencana dan mangsa banjir di Malaysia.

PESERTA bersama hasil kraf masing-masing. FOTO: Ihsan Muhaimin Hasbollah
PESERTA bersama hasil kraf masing-masing. FOTO: Ihsan Muhaimin Hasbollah

Mengenali Adiguru Kraf Kayu

Menjadi nilai tambah buat adiguru gigih kelahiran Pontian, Johor yang kini menetap di Temerloh, Pahang ini apabila tidak pernah lupa menggayakan busana tradisional Melayu saat diberi peluang memperlihatkan kerja mengukir kayu di setiap pameran antarabangsa disertainya di seluruh dunia.

Tahun lepas saja, beberapa pameran antarabangsa disertai termasuk di Wenzhou dan Khaihua, China; Vienna, Austria; Istanbul, Turki dan Uzbekistan.

"Melangkah saja kaki keluar dari Malaysia, kita sebenarnya membawa bersama nama dan budaya negara yang terlalu unik untuk diperincikan.

"Berpakaian lengkap baju Melayu dengan bersamping dan bertanjak bagaikan membawa gambaran semangat bangsa yang jitu serta sarat keluhuran budi.

TEKNIK adaptasi olahan motif dari lakaran ke atas permukaan kayu. FOTO: Ihsan Muhaimin Hasbollah
TEKNIK adaptasi olahan motif dari lakaran ke atas permukaan kayu. FOTO: Ihsan Muhaimin Hasbollah

"Apatah lagi ia mesej jelas bangsa Melayu juga mempunyai kepakaran dan kelebihan setanding bangsa lain di dunia," katanya yang sering mendapat sokongan moral daripada isteri tercinta, Zarina Awang Samah, 56.

Mengimbau kembali awal pembabitannya dalam seni ukiran kayu, kata A Muhaimin yang digelar Master di luar negara itu, beliau menyertai Pusat Latihan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (kini Institut Kraf Negara) Cawangan Pahang sesi 1985/86 untuk mengasah bakal yang ada pada dirinya.

Dalam menimba sebanyak mungkin ilmu ukiran, pada Ogos 1991 mencabar diri dengan membuka bengkel dinamakan Inakraf Wood Carving dengan menghasilkan produk tempahan ukiran kayu dan hiasan dalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 7:00 AM