Nurul Husna Mahmud

SUASANA dalam kediaman jenis villa townhouse didiami Mohd Noor Effendie Johari, 35, di Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan ini lebih cenderung kepada susun atur galeri atau studio seni.

Mana tidaknya seawal mengorak langkah masuk lagi, mata terus terpaku dengan deretan tembikar terpamer kemas pada dua gerobok putih.

Koleksi mangkuk tingkat menghiasi gerobok sama selain tembikar turut ditempatkan di rak kayu bertingkat yang memisahkan antara ruang itu dengan seksyen hiburan.

Lebih mengasyikkan, penulis dan jurufoto Hazreen Mohammad turut menikmati suasana penuh tenang dalam rumah berkenaan sambil halwa telinga dihiburkan dengan alunan muzikal keroncong dan aromaterapi.

Melihat kepada setiap aspek daripada penataan sehingga kepada atmosfera dalam rumah berkenaan, bagaikan dapat difahami karakter pemiliknya itu benar-benar teliti dalam susun atur setiap ruang.

Satu aras cukup tinggi apabila sentuhan peribadi Mohd Noor Effendie seperti dalam pemilihan konsep yang mana dia selesa mengekalkan elemen industri selain kombinasi ekstrak semula jadi dengan paduan tumbuhan hijau pada ruang tamunya.

RUANG tangga dan laluan ke tingkat bawah turut dihiasi tembikar dan lukisan artis jalanan Thailand. FOTO & VIDEO Hazreeen Mohamad
RUANG tangga dan laluan ke tingkat bawah turut dihiasi tembikar dan lukisan artis jalanan Thailand. FOTO & VIDEO Hazreeen Mohamad

Tidak keterlaluan cita rasa ala 'retro' yang sebati dalam dirinya tidak lapuk apabila ada perincian kontemporari yakni konsep industri digabungkan membuatkan keseimbangan dicapai dalam keseluruhan rumah dua tingkat itu.

"Ini rumah pertama saya beli dan diami selepas berkhidmat di luar negara beberapa tahun.

"Jika pulang ke Malaysia, saya tinggal bersama abang, jadi peluang untuk tatarias agak terbatas kerana ruang saya terhad di bilik sahaja.

"Apabila ada rumah sendiri ini, saya cuba laksanakan idea atau konsep rumah idaman secara berperingkat.

PERABOT kayu digabungkan dengan warna bumi. FOTO & VIDEO Hazreeen Mohamad
PERABOT kayu digabungkan dengan warna bumi. FOTO & VIDEO Hazreeen Mohamad

TEMBIKAR turut digunakan Fendi ketika menjamu tetamu. FOTO & VIDEO Hazreeen Mohamad
TEMBIKAR turut digunakan Fendi ketika menjamu tetamu. FOTO & VIDEO Hazreeen Mohamad

"Boleh dikatakan rekaan ruang dalam rumah ketika ini baru sekitar 60 peratus dan banyak lagi yang saya rancang membabitkan tingkat bawah serta laman luar," katanya.

Menjadi rujukan utama dalam penataan setiap ruang, dia yang mesra dengan panggilan Fendi mengakui idea utama ialah setiap koleksi kesayangan terutama tembikar perlu menonjol.

"Pada awal kerja pengubahsuaian memang sukar sebab tiada kontraktor sanggup terima permintaan saya untuk cat siling dan lakukan kerja perincian termasuk hiasan batu di dinding.

"Mahu atau tidak saya terpaksa minta bantuan kenalan baik yang berkongsi minat sama, Adli Zil Ikram untuk kerja mengecat.

"Kemudian proses lain membabitkan pemasangan bata hiasan pada dinding pemisah antara ruang tamu dan dapur dilakukan sehingga semua siap lima bulan sebelum boleh didiami sepenuhnya," katanya.

SEBAHAGIAN tembikar ditempatkan di rak kayu bertingkat terbuka. FOTO & VIDEO Hazreeen Mohamad
SEBAHAGIAN tembikar ditempatkan di rak kayu bertingkat terbuka. FOTO & VIDEO Hazreeen Mohamad

TURUT mencuri tumpuan ialah mangkuk tingkat. FOTO & VIDEO Hazreeen Mohamad
TURUT mencuri tumpuan ialah mangkuk tingkat. FOTO & VIDEO Hazreeen Mohamad

Warna gelap pilihan Fendi kerana lelaki itu mahu 'setup' mood dalam rumah itu cukup relaks selain menggunakan lampu kuning pelengkap keseluruhan gaya.

"Apabila fikirkan susun atur atau rupa keseluruhan, saya mahu gaya paling minimal iaitu guna warna yang gelap atau polos.

"Kalau lihat atau pengamatan saya dengan galeri atau muzium di luar, banyak menggunakan warna gelap atau warna bumi selain penggunaan lampu kuning untuk tonjolkan koleksi atau karya artis.

"Pada saya konsep itu dibawa pada rumah terutama bahagian ruang tamu dan laluan utama daripada tangga hingga ke bilik bawah yang mana menggunakan warna lebih polos selain lampu dua 'mod' sebagai pendorong untuk tumpuan mata pada setiap koleksi kesayangan," katanya.

KOLEKSI Starbuck dari serata dunia. FOTO & VIDEO Hazreeen Mohamad
KOLEKSI Starbuck dari serata dunia. FOTO & VIDEO Hazreeen Mohamad

Dia turut menekankan pemilihan perabot sesuai seperti sofa kulit Chesterfield selain perabot kayu diimport khas dari Chiang Mai, Thailand sebagai padanan gaya yang setara.

Mengulas mengenai koleksi porselin yang ada, kata Fendi, setiap koleksi tembikar dibawa adalah hasil diperoleh ketika bercuti mahupun ada tugasan di luar negara.

"Antara koleksi tembikar yang ada adalah dari Jepun, Korea, Thailand, Singapura dan Indonesia.

"Disebabkan saya bertugas di Thailand agak lama kira-kira tiga tahun kebanyakan koleksi porselin adalah dari sana," katanya.

Tambah Fendi, istimewanya mengenai koleksi tembikar dimiliki adalah dilukis dengan tangan dan mempunyai penceritaan tersendiri.

Kepuasan mengumpul koleksi tembikar itu dikongsi bersama ibu kesayangan, Che Chom Jaafar,67 sering berkunjung ke rumah berkenaan untuk membelek aksesori itu.

KOLEKSI kristal menghiasi kabinet dapur. FOTO & VIDEO Hazreeen Mohamad
KOLEKSI kristal menghiasi kabinet dapur. FOTO & VIDEO Hazreeen Mohamad

TEMBIKAR biru putih dari serata daerah di Thailand. FOTO & VIDEO Hazreeen Mohamad
TEMBIKAR biru putih dari serata daerah di Thailand. FOTO & VIDEO Hazreeen Mohamad

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 7:00 AM
SOFA kulit gaya klasik sepadan dengan konsep industrial. FOTO & VIDEO Hazreeen Mohamad
SOFA kulit gaya klasik sepadan dengan konsep industrial. FOTO & VIDEO Hazreeen Mohamad