RUMAH milik Norshamira dan keluarga. FOTO Ihsan Norshamira Abd Rahim Tan
RUMAH milik Norshamira dan keluarga. FOTO Ihsan Norshamira Abd Rahim Tan
Muhamaad Razis Ismail

KETIKA penulis membuat carian maklumat terbaharu di Internet untuk ruangan ini, rasa terpegun melihat sebuah kediaman di Kampung Matang, Bagan Serai, Perak.

Keunikan kediaman berwarna hijau ini biarpun nampak kecil dari luar, namun ia tetap kelihatan menarik dan kemas.

Lebih menarik kediaman itu dibina sendiri pemiliknya Mohd Shahmil Tahit, 31, dengan dibantu isterinya Norshamira Abd Rahim Tan, 32, yang sangat meminati dunia dekorasi.

Uniknya kediaman ini dibina dengan menggunakan hampir 100 peratus kayu terpakai.

Dari luar, sudah ternampak ruang terbuka iaitu bahagian beranda berkeluasan 40 x 20 kaki persegi yang menghadap sawah padi terletak bersebelahan dengan kediaman itu.

Di bahagian bawah pula ditempatkan ruang tamu, dapur dan bilik air manakala di tingkat atas terdapat bilik tidur serta beranda.

DAPUR yang terletak bersebelahan ruang tamu. FOTO Ihsan Norshamira Abd Rahim Tan
DAPUR yang terletak bersebelahan ruang tamu. FOTO Ihsan Norshamira Abd Rahim Tan

Terdapat juga tangga di dalam dan luar rumah untuk memudahkan pemilik serta tetamu bergerak serta mengakses ruang tertentu.

Norshamira berkata, pada mulanya dia bersama suaminya merancang untuk menjadikan kediaman itu sebagai pondok untuk berehat dan bersantai sahaja bersama-sama empat anak mereka.

Bagaimanapun, selepas berasa selesa, dia berjaya 'memujuk' suaminya yang juga seorang tukang rumah untuk menjadikan 'pondok' itu sebagai kediaman tetap bersebelahan rumah mentua.

"Rumah ini dibina berasaskan kayu daripada kandang kambing yang ingin dibuang. Suami minta kebenaran daripada pemiliknya untuk membina kediaman.

"Suami buat secara sedikit demi sedikit pada sebelah malam kerana bekerja. Alhamdulillah beberapa bulan selepas itu, kami berpindah masuk ke kediaman ini.

"Kami hanya keluarkan modal sekitar RM7,000 untuk menambah bahagian dapur," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Dia memilih untuk tinggal di kediaman kayu untuk bagi mengembalikan nostalgia kanak-kanak yang pada ketika itu tinggal dengan neneknya di kampung.

"Saya teruja dapat memiliki kediaman impian sejak daripada kecil lagi. Alhamdulillah dengan bantuan suami, ia dapat direalisasikan sesuai dengan bajet yang ada.

ANTARA hiasan di beranda yang dihasilkan sendiri. FOTO Ihsan Norshamira Abd Rahim Tan
ANTARA hiasan di beranda yang dihasilkan sendiri. FOTO Ihsan Norshamira Abd Rahim Tan

SUSUNAN perabot menampakkan bahagian dapur lebih luas. FOTO Ihsan Norshamira Abd Rahim Tan
SUSUNAN perabot menampakkan bahagian dapur lebih luas. FOTO Ihsan Norshamira Abd Rahim Tan

"Selain itu, kelebihan kediaman kayu, ia lebih sejuk berbanding kediaman batu. Ini secara tidak langsung dapat menjimatkan penggunaan elektrik," katanya.

Menurutnya, disebabkan minat mendalam terhadap dekorasi, dia menggunakan kreativiti untuk menghasilkan sendiri hiasan dalaman.

"Antara yang saya hasilkan adalah pokok bunga tiruan daripada barang terpakai sekali gus dapat menjimatkan wang dan memberi kepuasan tersendiri," katanya.

Tambahnya, ruang di dalam rumahnya kecil, jadi dia perlu bijak membuat pemilihan dan susunan perabot supaya mudah bergerak serta nampak luas.

"Saya tidak gunakan banyak barang, hanya yang penting sahaja ditempatkan di dalam rumah supaya ada ruang dan nampak luas.

"Malah almari di dalam bilik tidur dibuat sendiri suami dan di dapur pula suami bina sendiri para dan rak untuk sesuaikan dengan keluasan," katanya.

Katanya, rumahnya itu masih belum siap sepenuhnya dan penambahan akan dibuat secara sedikit demi sedikit lebih kepada konsep seperti 'farm house.'

"Antaranya, di bahagian atas saya rancang nak bina sebuah lagi bilik tidur.

"Selain itu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya bercadang tukar cat di dapur dengan warna kelabu dan putih supaya nampak lebih cerah," katanya

Mengulas lanjut, sebenarnya dia berhasrat untuk memberi inspirasi kepada orang ramai bahawa wang bukan penghalang untuk memiliki kediaman impian.

"Selagi kita berusaha dan ada kemahuan, semua impian boleh direalisasikan," katanya.

RAK yang dihasilkan sendiri supaya lebih tersusun. FOTO Ihsan Norshamira Abd Rahim Tan
RAK yang dihasilkan sendiri supaya lebih tersusun. FOTO Ihsan Norshamira Abd Rahim Tan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 7:00 AM