HARI Landskap Negara 2020 membawa komuniti memahami perkembangan dan peranan landskap
HARI Landskap Negara 2020 membawa komuniti memahami perkembangan dan peranan landskap
Nurul Husna Mahmud


HARI Landskap Negara 2020 (HLN2020) berlangsung pada hari ini sehingga 1 Mac di Taman Botani Kuala Lumpur menyaksikan agensi, penggiat industri, akademik dan komuniti berkumpul dalam menyemarakkan Dasar Landskap Negara 2020 yakni meraikan Malaysia sebagai sebuah Negara Taman.

Ini dilihat satu daripada agenda penting dalam perkembangan landskap nasional apabila tahun ini, negara turut menjadi tuan rumah kepada Persidangan Arkitek Landskap Sedunia serta IFLA World Congress 2020 bakal berlangsung di Pulau Pinang, Ogos depan.

Menghampiri penghujung dasar itu, terdapat juga perancangan mengenai kesinambungan hala tuju seni bina landskap negara menerusi Agenda Arkitek Landskap 2030 yang bukan sekadar memfokuskan pembangunan landskap untuk memperindahkan negara dan kesejahteraan penduduk, ia melihat kelesterian sebagai elemen penting yang perlu diberi penekanan.

DR Osman
DR Osman

Menurut Mantan Presiden Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM), Prof Madya Dr Osman Mohd Tahir yang juga juri Pertandingan Inisiatif Negara Taman sempena sambutan HLN2020 menyifatkan kelestarian seni bina landskap itu penting dalam pelbagai aspek.

“Daripada inisiatif digerakkan Jabatan Landskap negara, pihak berkuasa, kementerian sehingga penggiat dan komuniti, kena perkemaskan agenda seterusnya menyentuh kepada aspek kelestarian selepas mencapai dasar sebuah Negara Taman.

“Penting untuk pembabitan generasi muda kerana mereka ini akan mencorakkan atau menjadi peneraju dalam arkitek landskap negara untuk 10 tahun akan datang. Telusi dan perkemaskan perancangan atau rangka garis panduan landskap dengan mengambil kira kelestarian,” katanya.

Pada sambutan kali ini pelbagai program boleh disertai pengunjung termasuk Larian Hari Landskap Negara 2020, pameran, persembahan buskers dan jualan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 6:20 AM