KUSYEN dengan cetak saring beri kelainan.
KUSYEN dengan cetak saring beri kelainan.
Zaitie Satibi


PENGGUNAAN teknik cetakan saring dengan kain bertenun atau silk screen semakin popular dalam industri percetakan berikutan bukan saja menghasilkan kualiti yang unggul, malah kos pengeluaran juga rendah.

Dalam cetakan ini, pewarna disapu pada bingkai saring yang sudah diukir dengan motif tertentu dan lazimnya menggunakan satu warna pada satu masa. Bagi mendapatkan cetakan pelbagai warna, proses yang sama diulang dan setiap warna dicetak berasingan.

KAIN latar untuk hidangan kuih tradisi.
KAIN latar untuk hidangan kuih tradisi.

Percetakan saring juga satu proses reka bentuk secara manual untuk bahan yang dipilih dan menggunakan dakwat khas. Lazimnya ia dicetak ke atas baju-T, beg, papan, pembungkusan atau permukaan seramik.

Dari sudut sejarah percetakan, ini adalah satu teknik percetakan hiasan yang sudah lama wujud dan digunakan di China.

Bagi pengeluar barangan cenderahati, BingkaKL, cetakan saring adalah cara unik untuk menonjolkan barangan berkonsepkan kepelbagaian budaya dan kaum di Malaysia khususnya untuk pelancong asing.

HIASAN untuk kuih tradisi
HIASAN untuk kuih tradisi

Bagaimanapun, barangan cenderahati dihasilkan dengan teknik ini bukan saja untuk dibawa pulang sebagai kenang-kenangan, malah dapat juga dijadikan aksesori untuk dekorasi kediaman.

Rata-rata motif yang dicetak mengembalikan kenangan zaman silam pada era 1960-an dan 1980-an.

Contohnya, makanan tradisi, perayaan, permainan kanak-kanak, haiwan kebanggaan negara, kuih-muih dan mangkuk tingkat yang disulam dengan corak berunsur peranakan dan kolonial.

Antara barangan yang mampu mengindahkan ruangan kediaman seperti alas meja, alas gelas minuman panas, kusyen tempat duduk, tikar pendek dan sarung bantal.

ALAS cawan unik dengan corak kenangan silam.
ALAS cawan unik dengan corak kenangan silam.

ALAS meja dengan cetakan bermotif bangunan ikon di Kuala Lumpur.
ALAS meja dengan cetakan bermotif bangunan ikon di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Disember 2019 @ 5:10 AM