PEMBUDAYAAN taman atas bumbung perlu dilakukan menyeluruh.
PEMBUDAYAAN taman atas bumbung perlu dilakukan menyeluruh.
Aniza Zainudin


MESKIPUN kewujudan Taman Tergantung Babylon dipertikaikan ramai ahli sejarah, idea yang menggambarkan ciri satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia Kuno ini tetap memberi inspirasi dalam dunia landskap.

Ini terbukti dengan trend taman terapung (floating garden) atau taman tergantung, ‘sky garden,’ antara istilah popular untuk menterjemahkan konsep taman hijau di atas bangunan sama ada di atas bumbung, koridor bangunan mahupun tingkat khas struktur binaan seperti residen, menara mahupun kompleks beli-belah.

Ketua Jabatan Senibina Landskap, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor LAr Dr Jasasikin Ab Sani berkata, mengikut terma yang diguna pakai, taman di atas bangunan dikenali sebagai ‘roof top garden’ (taman atas bumbung) bererti kawasan penanaman yang tidak berkait secara langsung di atas bumi, sebaliknya di atas struktur bangunan.

“Selalunya taman atas bumbung ini dibina bagi mewujudkan satu kawasan hijau di struktur binaan berkenaan.

“Selain itu, ia juga berfungsi sebagai ruang untuk melakukan aktiviti rekreasi dan santai terutama di kawasan kediaman.

“Melihat kepada trend hari ini, taman alternatif ini dihasilkan ekoran daripada projek pembangunan pesat di kawasan bandar hingga ketiadaan kawasan taman rekreasi di lokasi berkenaan.

“Meskipun ia tidak berhubung secara langsung dengan bumi, taman ini tidak mempunyai perbezaan ketara dengan taman sedia ada cuma ia memerlukan inventori bagi memastikan perancangan rapi.

“Seperti taman biasa, taman atas bumbung juga memberi kesan berantai yang positif terhadap alam sekitar termasuk menjadikan iklim lebih sejuk di ‘hutan konkrit.’

“Suhu di kawasan bandar lebih tinggi jika dibandingkan dengan kawasan hijau yang mempunyai jurang perbezaan suhu antara 30 hingga 50 peratus gara-gara kekurangan elemen hijau dan peningkatan karbon dioksida,” katanya ketika ditemui.

Mengulas mengenai pelaksanaan konsep taman atas bumbung bagi projek kediaman, Dr Jasasikin berkata, proses ini tidak berlaku secara menyeluruh.

Ini kerana taman ‘terapung’ ini masih belum menjadi budaya dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Usaha untuk membudayakan trend konsep taman hijau ini boleh berlaku sekiranya pereka bentuk bangunan mengambil kira aspek penggunaan ruang khusus taman atas bumbung ini dalam setiap projek dilaksanakan.

Selain itu, faktor pembeli juga penting untuk mewujudkan permintaan terhadap taman atas bumbung sebelum membeli satu-satu hartanah berstrata.

Seandainya keberadaan taman ini diletakkan sebagai satu kriteria penilaian penting dalam membeli aset, pastinya ia bakal mendorong pemaju untuk melaksanakan konsep ini.

Jelasnya, apabila dua faktor ini bergabung maka lahirlah budaya secara menyeluruh dan ia memberi impak besar terhadap elemen hijau serta landskap.

Merujuk kepada Garis Panduan Perancangan Taman Atas Bumbung, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, beliau berkata, taman atas bumbung ini terbahagi kepada tiga kategori, ekstensif, semi intensif dan intensif.

“Kategori ini dinilai mengikut struktur bangunan, keselamatan, kesesuaian ruang dan aktiviti yang berkaitan.

“Reka bentuk landskap terutama jenis taman atas bumbung intensif yang kompleks, arkitek landskap boleh memberi cadangan tertentu kepada jurutera mengenai aspek keberatan taman terhadap struktur.

“Reka bentuk taman dan pilihan pokok serta tanaman perlu sesuai mengikut kategori taman serta aktiviti yang dicadangkan.

“Ketinggian taman juga diambilkira bagi mempertimbangkan jenis pokok terutama tahan tiupan angin kerana dibimbangi risiko patah.

“Sistem saliran adalah faktor awal yang penting untuk diambil kira kerana ia mempengaruhi proses pelepasan air dari taman berkenaan.

“Berdasarkan kajian, kewujudan taman atas bumbung memberi impak positif terhadap sistem bumbung apabila jangka hayatnya lebih lama kerana adanya sistem kalis air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 6:00 AM