GUNAKAN warna ceria sesuai dengan imaginasi kreatif kanak-kanak.
GUNAKAN warna ceria sesuai dengan imaginasi kreatif kanak-kanak.
Aniza Zainudin


TERINSPIRASI dengan blok permainan lego, CF Moller Architects menggunakan idea sama untuk membina dua bangunan pejabat syarikat permainan gergasi itu di Billund, Denmark.

Menariknya, bukan sekadar reka bentuk pejabat dihasilkan berkonsepkan bentuk geometri yang ‘berani’ sebagai perlambangan blok lego, bahkan mewujudkan mainan gergasi versi blok bangunan.

Difahamkan idea reka bentuk bangunan berkenaan berdasarkan lukisan yang menggambarkan kanak-kanak berbangga dengan binaan lego, terpampang di pejabat pemilik lego, Kjeld Kirk Kristiansen.

Rakan kongsi firma, Klaus Toustrup berkata, tugasan diberikan adalah mereka bentuk bangunan yang sangat rasional, tetapi mendukung tinggi nilai dan budaya korporat Lego.

“Apabila menyaksikan lukisan (kanak-kanak bersama lego) itu, kami yakin ia adalah inspirasi tepat dan panduan yang sesuai bagi menggapai misi reka bentuk.

“Kami juga boleh mempelajari banyak idea dan imaginasi tinggi yang wujud dalam fikiran kanak-kanak,” katanya.

Bagi menyerlahkan ekspresi Nordik, material bagi bangunan berkenaan didominasi kayu dan batu-bata.

Blok Lego gergasi berwarna kuning yang kelihatan seakan-akan terapung di atas satu fasad sudah cukup menggambarkan pemilikan bangunan berkenaan.

Mengambil kira aspek variasi warna terang, bahagian dalaman jauh lebih ceria berbanding struktur luaran.

Ini terbukti apabila rekaan fokus pada sentuhan akhir bagi satu-satu ruang dengan warna terang seperti merah jambu, hijau neon dan kuning.

Satu tumpuan utama pastinya binaan tangga berpusing berwarna hijau neon memberi ilusi unik.

Selain itu, bangunan ini juga memperkenalkan pelan ruang kerja terbuka dengan jendela besar, sekali gus memberi pencahayaan semula jadi.

Menitikberatkan aspek kemampanan dalam pembangunan kampus pejabat ini, dinding dalaman dibina menggunakan papan serat gipsum bagi mengurangkan penggunaan rangka berbingkai, sekali gus membantu mengurangkan gas karbon dalam bangunan.

Manakala, bahagian luar pula dilapisi dengan sedum berfungsi menyerap karbon dioksida dan air hujan yang turut digunakan untuk mengairi taman sekitar bangunan.

Kejayaan pembinaan dua bangunan ini membuktikan projek fasa pertama pelan induk di Billund berjaya bagi membangunkan kawasan ibu pejabat yang berkeluasan 52,000 meter persegi.

Fasa seterusnya dijangka sempurna menjelang 2021, dipercayai kawasan Lego di Billund ini mampu menampung lebih daripada 2,000 pekerja malah ia bakal berfungsi sebagai ‘bandar mini’ apabila turut menyediakan fasiliti taman awam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 5:30 AM