PEMILIHAN warna antara perabot dan latar dinding perlu seimbang.
PEMILIHAN warna antara perabot dan latar dinding perlu seimbang.
Nurul Husna Mahmud


MAHUKAN kelainan dalam pemilihan hiasan dalaman rumah, seni pop art menampilkan pemilihan warna menonjol dan lebih bergaya.

Aliran seni ini dilihat menjadi pilihan butik hotel dan galeri seni yang mahu menerapkan gaya retro dari negara Uncle Sam pada hiasan ruang.

Tema pilihan gaya pop art ini biasanya membabitkan animasi atau kartun, muzik dan filem. Oleh itu, ia sesuai diterapkan pada potongan ruangan berdimensi luas selain buat mereka yang inginkan kelainan dalam menata rias kediaman moden bersama elemen penuh keceriaan.

Tetapi jangan terlalu sarat dan bercita-cita besar dalam menghasilkan gaya yang diinginkan, dikhuatiri pop art yang ditonjolkan hanya membuatkan ruang kelihatan cacamarba dan merosakkan nilai estetika seni berkenaan.

Di sini terdapat tip bagi mereka yang mahukan gaya ini di kediaman sendiri;

1. PEMILIHAN WARNA LATAR RUANG

Sebalik pemilihan warna berani, terang dan ceria seperti kuning pada satu dinding, seimbangkan dengan pilihan warna gelap atau natural bagi membantu menyeimbangkan ruang.

Warna lebih selamat seperti warna perang tanah, kelabu atau hitam pada dinding bertentangan membantu ruang tidak kelihatan bercelaru sebaik 'hinggap' di mata tetamu kala berada di ruang berkenaan.

2. KOMPOSISI WARNA CAT DINDING DAN PERABOT PERLU SEIMBANG

Dalam pada mahu kreatif dan melahirkan ekspresi menata rias ruang mengikut tema pop art, ambil kira juga warna perabot yang dibeli.

Kalau warna dindingnya sudah terang sebaiknya cari perabot berwarna gelap, begitu juga sebaliknya. Ini mengelak ruang kelihatan sempit dan 'menyakitkan' pandangan.

POTONGAN perabot unik antara elemen pop art.
POTONGAN perabot unik antara elemen pop art.

3. PILIH PERABOT YANG MEMPUNYAI REKAAN UNIK

Selain warna terang, pilihan reka bentuk perabot unik juga antara elemen pop art yang boleh difikirkan penata rias mahupun penghuni kediaman.

Rekaan bergaya retro dan vintaj tampak cocok dengan konsep hiasan dalaman pop art.

4. BERHATI-HATI DALAM SUSUNAN PERABOT

Disebabkan pop art selalunya tampil dengan warna menonjol dan garang, anda akan menghadapi masalah ruang kelihatan sempit.

Susun atur perabot membantu mengatasi masalah berkenaan. Fikirkan untuk tempatkan perabot setara dengan saiz ruang selain keperluan pada penghuni atau ruang terbabit.

5. KEMASKAN IDEA DEKORASI DENGAN PEMILIHAN AKSESORI

Jika bercakap mengenai pop art biasanya terbayang poster ala komik Elvis Presley, Marilyn Monroe atau Audrey Hepburn yang memenuhi dinding.

Kali ini cuba meminimumkan aksesori berbentuk bingkai gambar dengan memberi tumpuan pada perincian lain contohnya panel suis lampu atau kipas, kaki lilin, jubin lantai dan perhiasan kecil lain. Setidak-tidaknya koleksi anda kelihatan berbeza berbanding kediaman pop art lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 4:30 AM