SOFA kontemporari sesuai cita rasa generasi muda. FOTO Rosdan Wahid
SOFA kontemporari sesuai cita rasa generasi muda. FOTO Rosdan Wahid
Zaitie Satibi


SEJAK 30 tahun lalu, Fella Design melengkapkan rumah di Malaysia dengan sofa fabrik yang menjadi tanda pengenalannya bersama perabot premium daripada pereka.

Jenama itu semakin terkenal dengan menawarkan pelbagai pilihan penyesuaian untuk sofa, memberikan pelanggan peluang memilih daripada ribuan pilihan fabrik. Reka bentuk Fella Design sejak itu berkembang menjadi jenama rumah yang semakin dikenali.

Terkenal sebagai sofa yang bukan saja kukuh, malah tahan lama dengan cetakan bunga gaya kotej Inggeris, Fella Design kini berdepan industri perabot yang dinamik dalam era Internet dan peningkatan cita rasa daripada golongan lebih muda.

PELBAGAI rekaan sofa sesuai konsep kediaman. FOTO Rosdan Wahid
PELBAGAI rekaan sofa sesuai konsep kediaman. FOTO Rosdan Wahid

Sejak lima tahun lalu, estetika Fella Design berubah secara perlahan daripada cetakan ke warna polos dan daripada klasik ke kontemporari sebagai inovasi untuk memenuhi tuntutan pasaran baharu negara ini. Hasilnya, produknya hari ini lebih segar daripada sebelumnya.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Fella Design, Manivanan Madhavan berkata, pihaknya kekal relevan berikutan peka dengan peluang dan kaedah baharu sesuai selera semasa sebelum mengambil langkah beradaptasi dalam keadaan yang serba boleh.

“Menerusi sistem penyesuaian yang mantap, kami berupaya menawarkan pelbagai cita rasa kepada pelanggan yang membolehkan mereka menyuai padan sendiri perabot yang diminati mengikut konsep dekorasi pilihan masing-masing.

GAYA Inggeris masih diminati. FOTO Rosdan Wahid
GAYA Inggeris masih diminati. FOTO Rosdan Wahid

“Kami percaya setiap pelanggan sudah membuat pilihan sendiri gaya untuk menata rias kediaman termasuk bajet dan dengan itu kami cuba menjadi pusat sehenti supaya apa yang mereka cari dapat ditemui di sini,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan cawangan terbaru di Samanea Home Living Centre, pusat beli-belah Glo Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Katanya, keistimewaan rekaan jenama berkenaan terletak pada kekuatan pilihan sarung fabriknya dan sebagai antara perintis terawal dalam fabrik borong ia memberikan perabot buatan sendiri itu pelbagai pilihan suai padan.

TAMPAK mewah dengan fabrik elegan. FOTO Rosdan Wahid
TAMPAK mewah dengan fabrik elegan. FOTO Rosdan Wahid

“Kami mengimport fabrik dari serata dunia sebelum menghasilkan pencetakan corak sendiri. Terdapat lebih 1,000 pilihan fabrik untuk dipadankan dengan rangka sofa untuk kediaman atau premis.

“Bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan, kami turut menyediakan khidmat perunding untuk membantu mereka mendapatkan perabot yang sesuai dengan cita rasa dan bajet mereka,” katanya.

Cawangan terbaharu seluas 20,000 kaki persegi itu susulan pemindahan Fella Design dan jenama di bawahnya, Urban Culture dari Petaling Jaya kerana memberi laluan kepada pembangunan. Cawangan di Samanea Home Living Centre menawarkan ruangan gaya perabot terkini American Country, Fusion, Kontemporari dan Klasik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 4:30 AM