DEKORASI rumah konsep inggeris. FOTO Khairul Azhar Ahmad
DEKORASI rumah konsep inggeris. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Nurul Husna Mahmud


MENILAI luaran kediaman dihuni Ramizanani Abdul Rahman di sebuah apartmen di Setapak, Kuala Lumpur ini tiada yang istimewa boleh diceritakan kerana bangunannya berwarna kelabu sama seperti kediaman sekitarnya.

Situasi jauh berbeza sebaik menjengah ke ruang dalamannya apabila mata penulis menangkap kombinasi warna pastel biru dan merah jambu selain putih digunakan untuk seimbangkan ton kedua-dua warna itu.

Penggunaan warna terbabit sebagai warna utama menata rias ruang dalaman kediaman itu ternyata mengubah ‘mood’ persekitaran daripada suram kepada suasana lebih ceria dan bertenaga.

Jika diperhatikan kombinasi tema warna, memori penulis ‘dipacu’ untuk mengingati warna yang sering dilihat pada gula-gula lolipop pelangi atau gula-gula kapas

Kombinasi warna biru lembut bersama merah jambu berlatarkan putih itu membuatkan penghuni dan sesiapa saja yang bertamu rasa lebih teruja.

TERHASIL daripada kreativiti mudah dan ekonomi.
TERHASIL daripada kreativiti mudah dan ekonomi.

PANDAI bertukang apabila menggantikan ruang memasak dengan binaan kayu.
PANDAI bertukang apabila menggantikan ruang memasak dengan binaan kayu.

Namun menurut Ramizanani atau lebih mesra dengan panggilan Nani, berbeza keadaannya ketika enam bulan lalu sebelum rumah terbabit diubah suai.

Kata Ramizanani, rumah berkenaan memerlukan kerja pengubahsuaian kerana ruang dalamannya yang kelihatan ‘terlalu uzur’ dan sudah lama ditinggalkan termasuk masalah paip bocor yang menjejaskan bahagian dapur serta bilik air.

Tambahan pula, cat rumah yang sudah pudar dan pintu bilik tidak pernah diganti membuatkan keadaan kediaman itu kurang selesa untuk didiami penghuni baru.

“Biasalah bagi apartmen lama, masalah yang biasa saya hadapi ialah cat menggelupas dan tanda air yang melunturkan warna dinding ketika mula menyewa kediaman ini.

“Selain perabot, jubin yang tertanggal dari permukaan dinding dan cat ruang dalaman tidak pernah ditukar menyebabkan suasana kusam dan tampak ‘uzur,’ katanya

Atas faktor berkenaan Ramizanani yang menghuni rumah itu bersama anak perempuan berusia tujuh tahun terpaksa mengambil inisiatif melakukan kerja membaik pulih.

“Tuan rumah memahami lalu membenarkan kediaman ini diubah suai dan sejak Jun lalu saya mulakan projek menghias kediaman ini secara berperingkat,” katanya.

Konsep Inggeris moden menerusi pendekatan lakukan sendiri (DIY) menjadi pilihan ibu tunggal muda ini.

“Pada saya, konsep Inggeris moden menepati bajet ketika ini. Lalu saya mencari material lebih ekonomi iaitu menghasilkan sendiri bingkai panel kayu dinding atau ‘wainscoting’ untuk ruang tamu. Selain menggunakan semula perabot sedia ada selain membeli beberapa perabot terpakai.

“Kalau mengikut perancangan awal, saya mengimpikan konsep elegan glam iaitu gabungan warna biru gelap dengan keemasan tetapi kos terlalu tinggi. Selain itu untuk kediaman jenis ini juga tidak sesuai kerana ruangnya sempit.

“Lantas saya ubah selera kepada tema warna biru lembut dengan sentuhan sedikit warna putih dan pastel pada perabot mahupun aksesori hiasan contohnya, karpet serta kusyen sofa.

“Pilihan warna tema ini ternyata membuatkan ruang kediaman tampak lebih luas apabila banyak menggunakan warna putih terutama untuk langsir dan perabot seperti almari dan meja,” katanya.

Menyentuh cabaran dalam menyiapkan ruang lain, kata Ramizanani, masalah terbesar ialah untuk menyiapkan bilik air dan dapur.

“Saya ‘berpatah arang’ ketika menyiapkan bilik air dan dapur kerana masalah siling dan dinding cat luntur akibat masalah paip bocor. Kami terpaksa mengecat beberapa kali di sesetengah bahagian untuk memastikan warnanya sekata dengan dinding lain.

“Selain itu paip pancuran juga rosak teruk sehingga terpaksa diganti menyebabkan dinding berlubang. Jadi saya tampal lubang itu menggunakan plaster simen sebelum dicat semula.

“Saya ambil masa lebih sebulan menyiapkan ruang ini sebelum berpindah ke ruang lain,” katanya.

Kreativiti Nani juga tidak terhenti di situ apabila beliau cukup bijak menggantikan bahagian jubin tertanggal di dapur dengan struktur ditampal bersama papan lapis atau palet.

Selain itu, bekas jubin yang tertanggal di dinding antara dapur dan bilik air diratakan dengan menggunakan plaster simen dan kemudian dihias menggunakan kertas dinding bermotifkan mozek atau jubin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 7:15 AM