RUANG taman terhad yang digandakan sebaik mungkin dalam reka bentuk inovatif.
RUANG taman terhad yang digandakan sebaik mungkin dalam reka bentuk inovatif.
ELEMEN kejutan dalam trend ‘frame of surprises.’
ELEMEN kejutan dalam trend ‘frame of surprises.’
PENGGABUNGAN keindahan alam dalam reka bentuk ‘biophilic.’
PENGGABUNGAN keindahan alam dalam reka bentuk ‘biophilic.’
Hartini Mohd Nawi dan Nurul Husna Mahmud


Bulan Landskap Sedunia biasanya disambut sepanjang April saban tahun dengan pelbagai pengisian program berkaitan dunia landskap.

Reka bentuk seni bina landskap pula satu amalan yang sentiasa berubah dalam memenuhi keperluan sosial semasa, memberi tindak balas kepada persekitaran dan membentuk gaya hidup berkualiti.

Perkembangan itu secara tidak langsung mempengaruhi ruang landskap negara kita dan global.

Dalam merancakkan sambutan Bulan Landskap Sedunia, Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM) sekali lagi memeriahkan industri seni bina landskap dengan penganjuran Anugerah Seni Bina Landskap Arkitek Malaysia (MLAA) buat kali ke-10 dijangka pada 21 April ini.

Menurut Presiden ILAM Prof Madya Dr Osman Mohd Tahir, sepanjang 10 tahun penganjuran MLAA itu juga menyaksikan pelbagai konsep seni bina landskap diketengahkan selari dengan kesedaran dan gaya hidup masyarakatnya.

“Didapati ada 10 pilihan terbaik trend seni bina landskap untuk 2018 yang mewarnai MLAA kali ini. Ia sekali gus memperlihatkan integrasi antara reka bentuk dan persekitaran landskap yang menyumbang ke arah kesempurnaan kehidupan.

“Bermula dengan landskap produktif iaitu konsep reka bentuk mengintegrasikan pengeluaran makanan ke dalam reka bentuk ruang terbuka bandar atau persekitaran hidup yang berfungsi dalam menyambung dan mendidik masyarakat.

“Berkenaan tumbuhan yang boleh dimakan pula, ia turut mempunyai nilai estetika dan berfungsi selain melengkapkan latar landskap,” katanya.

Konsep atau trend kedua pula membabitkan reka bentuk ‘biophilic’ yang ditakrifkan sebagai kecenderungan manusia untuk saling berhubung dengan alam semula jadi. Reka bentuk ‘biophilic’ juga menggabungkan bahan dan pencahayaan semula jadi, tumbuh-tumbuhan, pemandangan serta pengalaman semula jadi ke dalam persekitaran moden.

“Seterusnya ‘forest wilderness’ dilihat antara trend seni bina landskap yang membangunkan semula kehijauan semula jadi di kawasan bandar.

“Perbandaran yang pesat diimbangi dengan persekitaran lebih semula jadi dengan susun letak tanaman dalam konsep tertentu sesuai dengan kewujudan bangunan.

“Hari ini juga ruang taman lebih dimanfaatkan kegunaannya untuk tujuan santai dan sosial. Begitu juga dengan ruang taman terhad yang digandakan sebaik mungkin dalam reka bentuk inovatif,” katanya.

Menerusi trend rangkaian kehijauan antara bandar, ia dilihat membariskan pelbagai fungsi. Antaranya untuk tujuan rekreasi termasuk joging dan laluan basikal yang menjadi trend di bandar sekali gus menghubungkan kawasan luar bandar.

Dr Osman berkata, dalam perincian trend ‘raw & seasoned,’ ruang landskap yang aktif sering dilihat menggabungkan elemen lain dalam menyempurnakan seni bina landskap.

Reka bentuk landskap semakin banyak menggunakan batu bata, lantai, dinding, dan elemen lain yang ‘tidak dirawat,’ seperti konkrit tidak berwarna di dalam bangunan dengan kos penyelenggaraan yang lebih rendah.

“Trend ‘frame of surprises’ pula menyaksikan elemen kejutan dalam reka bentuk landskap ditampilkan menerusi dinding dan pintu yang secara tidak langsung mengubah sudut pandangan anda yang berada di kawasan persekitarannya.

“Tidak ketinggalan trend organik dan tidak teratur pula membabitkan reka bentuk seperti bujur, melengkung, garis-garis dan bentuk tidak teratur yang berupaya mencetuskan situasi tidak formal,” katanya.

Di samping itu, trend ‘bold & beautiful’ secara langsung menyenaraikan warna terang dengan kesan kontra berada di tengah-tengah kehijauan.

Reka bentuk dengan titik warna yang berbeza sering digunakan untuk keunikan elemen taman sebagai daya tarikan.

“Satu lagi trend seni bina landskap untuk 2018 adalah ‘ground to the sky’ iaitu konsep baru yang menjadikan kawasan bumbung sebagai lokasi keindahan landskap semula jadi.

“Sambil menikmati suasana itu, anda turut berpeluang menyaksikan birunya awan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 4:23 AM