DAPUR tampil menarik.
DAPUR tampil menarik.
BILIK tidur utama.
BILIK tidur utama.
PENATAAN kemas diketengahkan.
PENATAAN kemas diketengahkan.
AKSESORI yang minimalis.
AKSESORI yang minimalis.
Hidayatul Akmal Ahmad


Pertama kali menjejakkan kaki ke kediaman Mohamad Syahrul Ariff Shah, 33, terasa seperti berada di sebuah kondominium mewah.

Mana tidaknya kedatangan kami (penulis dan jurugambar) disambut cahaya yang samar-samar dan suasana santai serta visual ruang dengan warna penuh nostalgia.

Biarpun hanya rumah kos rendah, tetapi idea, warna, konsep dan susun atur di dalamnya membuatkan ia nampak mewah serta sejuk mata memandang.

Menurut Syahrul yang juga seorang pereka dalaman, pengalamannya selama 11 tahun berkecimpung dalam dunia itu memberinya sedikit kelebihan dalam menghias kediamannya.

“Sebelum ini saya bekerja di syarikat swasta namun tidak mendapat kepuasan. Pada masa sama saya turut menjadi pereka dalaman secara sampingan.

“Disebabkan tidak menang tangan saya mengambil keputusan berhenti dan bekerja sendiri. Alhamdulillah rezeki berpihak kepada saya.

Walaupun agak ragu pada awalnya, saya tekad kerana percaya rezeki Allah luas,” katanya ketika ditemui di kediamnnya di Taman Desa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam tempoh 11 tahun berkecimpung dalam bidang rekaan dalaman, pelbagai jenis kediaman, restoran dan spa hasil kerja tangannya termasuk rangkaian restoran popular Absolute Thai.

Bercerita lebih lanjut berkenaan hiasan rumah itu, Syahrul berkata konsep kediamannya adalah moden kontemporari. Dia lebih banyak memainkan warna bertenaga bagi memberikan hasil lebih klasik dan santai.

“Sebenarnya peranan warna sangat penting bagi menghasilkan kediaman yang selesa. Bagi rumah yang memiliki keluasan terhad, saya sarankan penggunaan warna seperti hitam, putih dan kelabu akan memberi impak lebih elegen.

“Selain itu, pemilihan lantai, perabot dan aksesori turut memainkan peranan penting. Jika rumah kos rendah, kurangkan penggunaan perabot bagi mengelak rumah jadi ‘semak’ dan tidak teratur.

“Beli perabot yang mempunyai pelbagai fungsi seperti kerusi ottoman yang mempunyai ruang penyimpanan. Tidak ketinggalan langsir turut memainkan peranan bagi memberi impak terhadap kediaman.

“Langsir lebih elok diposisikan pada kedudukan tinggi atau ‘full height’ untuk memberi ilusi ruang yang tinggi. Sebaliknya jika memasang langsir tebal, suasana gelap menjadikan ruang kecil nampak lebih kecil,”katanya.

Warna bertenaga atau yang biasa dikenal dengan warna berani ialah golongan rona yang cerah dan kontra. Ia mampu menimbulkan kesan yang moden, kontemporari, eksklusif selain dapat mencipta kesan dramatis.

Ia juga mampu menonjolkan kesan pada ruang utama seperti ruang tamu. Golongan warna ini diyakini mampu menimbulkan perasaan bebas, dapat membangkitkan semangat, meningkatkan konsentrasi dan kepercayaan diri.

Syahrul menambah dia banyak membuat rujukan melalui majalah antarabangsa selain lebih menggemari gaya Eropah. Dia turut memberi pandangan rumah flat atau kos rendah tidak memerlukan kertas dinding sebagai hiasan.

“Tidak perlu kertas dinding. Memadai hanya warna cat dinding yang sesuai dan sejuk mata memandang. Mata juga tidak ‘penat’ menyaksikan pemandangan yang sarat.

“Selain penggunaan warna selamat dan bertenaga, pemilihan kabinet dapur, rak serta susun atur di dapur juga sangat memainkan peranan penting bagi memberi kesan terhadap keseluruhan kediaman,” katanya.

“Jika anda perasan, keseluruhan rumah saya hanya ada satu dua perabot serta meja makan asas sahaja. Itu pun paling minimum kerana keluasan ruang terhad. Di bahagian dapur, peranan kabinet sangat penting selain pemilihan warna yang tepat,” katanya.

Kepada yang mahukan warna ‘common’ seperti hijau, merah, kuning dan sebagainya, Syahrul menyarankan mereka boleh memilih warna berkenaan untuk barang kelengkapan rumah termasuk bunga hiasan, bantal, katil dan perhiasan dinding.

Begitu juga dengan permaidani yang boleh membuatkan ruang kediaman kelihatan lebih luas dan kompak. Pilihlah warna terang atau corak yang jelas bagi membuatkan ruangan selesa, sementara merah dapat membuatkan ruang besar menjadi lebih elegan.

Lebih selamat, pemilihan permaidani daripada warna alam dan asas. Ia sangat praktikal bagi mereka yang kurang bijak dalam penyatuan warna. Ini kerana permaidani daripada warna coklat, krim, hitam dan putih sangat mudah disuai padan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 1:18 PM