HAYATI keindahan alam semula jadi, nilai sebenar hutan dan hidupan di dalamnya.
HAYATI keindahan alam semula jadi, nilai sebenar hutan dan hidupan di dalamnya.
Hartini Mohd Nawi


Buat pertama kalinya, Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) menganjurkan Pertandingan Fotografi MTCC 2017 dan menjemput semua peminat fotografi untuk menyuarakan pandangan berkenaan hutan dan sumbernya melalui gambar.

Bertemakan ‘Experience Forest, Experience MTCS-PEFC,’ pertandingan itu dibuka hingga 15 Oktober ini.

Ia bertujuan meningkatkan kesedaran berkenaan manfaat hutan tropika yang tidak ternilai khazanahnya.

Selain mempromosikan kepentingan pengurusan hutan mampan dan pensijilan.

Ketua Pegawai Eksekutif MTCC Yong Teng Koon berkata fotografi antara medium terbaik untuk menghubungkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur dan latar belakang.

“Secara tidak langsung menggalakkan pemikiran dan penghargaan terhadap keindahan alam semula jadi, nilai sebenar hutan serta hidupan di dalamnya.

“Atas sebab ini kami bekerjasama dengan sebuah syarikat penerbitan pengimejan yang terkemuka, PCP Publications untuk bersama-sama menganjurkan pertandingan fotografi ini,” katanya.

Melalui pertandingan ini MTCC berharap dapat mengumpul gambar yang memberi inspirasi dan mempamerkan cara orang hidup, bekerja, dan berinteraksi dengan hutan.

Malah melalui pertandingan itu juga ia membantu MTCC untuk mempromosikan kepentingan pengurusan hutan secara mampan, buat generasi hari ini dan masa depan.

Pada masa sama, gambar yang memenangi pertandingan itu bakal dipamerkan di Festival Fotografi Kuala Lumpur (KLPF) 2017 November ini.

Penyertaan yang paling menyerlah dan menarik perhatian bakal memenangi hadiah utama sebanyak RM2,000, hadiah pertama sebanyak RM1,200 bagi setiap kategori, dua hadiah merit sebanyak RM600 setiap kategori dan lima hadiah saguhati RM200 bagi setiap kategori.

Peserta boleh menghantar hingga 10 imej bagi setiap kategori dan dikehendaki untuk memuat naik penyertaan ke sistem penstoran atas talian dan menghantar pautan bagi tujuan muat turun ke e-mel [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2017 @ 1:36 AM