Risham bercakap di majlis menandatangani kerjasama Projek Pemodenan Bayaran antara Affin Bank dan ACI Worldwide. FOTO AZIAH AZMEE
Risham bercakap di majlis menandatangani kerjasama Projek Pemodenan Bayaran antara Affin Bank dan ACI Worldwide. FOTO AZIAH AZMEE
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Affin Bank Bhd (Affin), menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti pengendalian transaksinya sebanyak lebih 20 peratus untuk kedua-dua transaksi rendah dan bernilai tinggi merentas semua platform perbankannya, disokong dengan kerjasama syarikat perisian global yang menawarkan penyelesaian pembayaran masa nyata, ACI Worlwide.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Affin, Risham Akashah Kamaruzaman berkata, di bawah perkongsian ini, platform pembayaran perusahaan baharu akan diwujudkan.

Katanya, Affin juga memperuntukkan RM400 juta dalam perbelanjaan modal (capex) untuk tahun ini sebagai sebahagian daripada inisiatif pendigitalan Affin.

"Kerjasama ini juga menyasarkan peningkatan kecekapan sebanyak 75 peratus melalui proses automasi dan mengurangkan tindakan manual dan kesilapan.

"Affin Bank akan mengendalikan lebih 20 peratus lagi transaksi, menyokong pertumbuhan dan keboleh skalaan platform itu.

"Ia juga membolehkan kesalingoperasian antara PayNet, Rentas serta SWIFT menggunakan piawaian ISO 20022 dan penggunaan platform ini akan dijalankan secara berperingkat serta dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2025," katanya.

Beliau berkata demikian di majlis menandatangani kerjasama Projek Pemodenan Bayaran antara Affin Bank dan ACI Worldwide, di sini, hari ini.

Risham berkata, dengan peningkatan kapasiti itu pihaknya berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi permintaan pangkalan pelanggan yang semakin meningkat dan keperluan pasaran yang semakin berkembang.

"Pendekatan berperingkat ini akan membolehkan kami memastikan peralihan yang lancar, menguji setiap peringkat secara menyeluruh, dan membuat sebarang pelarasan yang diperlukan untuk mengoptimumkan prestasi," katanya.

Di bawah perkongsian ini, platform pembayaran perusahaan baharu direka bentuk untuk menyelaras dan meningkatkan kecekapan proses pembayaran untuk perusahaan, menawarkan sistem berpusat yang menggabungkan semua arahan pembayaran daripada pelbagai saluran, menyatukan pembayaran bernilai tinggi dan bernilai rendah.

Ini termasuk Sistem Penghantaran Affin (ADS), Perbankan Internet Runcit AffinAlways dan Perbankan Internet Mudah Alih, AFFINMAX (platform Perbankan Internet Korporat) dan pengeluaran wang automatik (ATM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 3:16 PM