UNIT kelima juta yang dikeluarkan adalah Proton X90 Flagship. - BERNAMA
UNIT kelima juta yang dikeluarkan adalah Proton X90 Flagship. - BERNAMA
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Proton pengeluar kereta nasional, berjaya mencapai satu lagi kejayaan dalam sejarah 41 tahunnya apabila ia merekodkan lebih lima juta unit pengeluaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, unit kelima juta yang dikeluarkan adalah Proton X90 Flagship dan ini adalah simbolik sejauh mana Proton berkembang sejak permulaan kerjasama dengan Geely.

"Proton sudah ditugaskan untuk memobilisasikan rakyat Malaysia dan mewujudkan ekosistem automotif tempatan apabila ia ditubuhkan pada 1983.

"Hari ini, kami terus memainkan peranan penting dalam ekonomi negara.

"Lebih 100,000 orang memperoleh mata pencarian hidup melalui aktiviti yang dikaitkan dengan Proton dan setiap pekerja memainkan peranan untuk memacu syarikat ke arah pencapaian lima juta unit ini," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kejayaan ini dibina atas perkongsian antarabangsa sejak permulaan kerjasama dengan Kumpulan Geely pada 2017, yang mana Proton sudah melancarkan empat model serba baharu bersama Geely.

"Proses berikutnya juga menaik taraf model rekaan tempatan selain memperkenalkan kecerdasan dan ketersambungan kepada barisan modelnya.

"Dengan penambahbaikan dalam kualiti produk, pelaburan dalam pengurusan selepas jualan dan alat ganti serta penubuhan rangkaian pengedar dengan bilangan cawangan 3S/4S tertinggi di Malaysia, aktiviti ini membawa kepada pertumbuhan jualan lima tahun berturut-turut dengan peningkatan yang sepadan dalam pengeluaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 6:10 AM