SEBAHAGIAN pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SMK Bandar Tasik Selatan menerima Pas OKU Smile.
SEBAHAGIAN pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SMK Bandar Tasik Selatan menerima Pas OKU Smile.

Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), selaku pengendali rangkaian pengangkutan awam rel dan bas di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kuantan mencatatkan peningkatan penggunaan harian dalam kalangan warga orang kurang upaya (OKU) 49 peratus sejak Februari 2024.

Pada Mei 2024, perkhidmatan Rapid Rail dan Rapid Bus mencatat 233,915 jumlah penggunaan dalam kalangan OKU.

Pengenalan Pas Perjalanan Percuma OKU Smile (Pas OKU Smile) pada Februari tahun ini secara tidak langsung telah menyumbang kepada peningkatan ini.

Inisiatif Pas OKU Smile telah menerima sambutan menggalakkan dan setakat hari ini telah mendapat lebih daripada 6,000 pendaftaran.

Bagi memberi pengenalan mendalam serta memudahkan proses pendaftaran Pas OKU Smile, Prasarana mengadakan beberapa siri jelajah untuk meningkatkan kesedaran serta menggalak penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan komuniti OKU.

Prasarana dalam kenyataan berkata, bagi memastikan golongan OKU sentiasa diberi perkhidmatan terbaik, kakitangan barisan hadapan menerima latihan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyantuni golongan berkenaan.

"Stesen rel dan hab bas turut dilengkapi fasiliti mesra OKU seperti kemudahan lif, tanjakan, laluan bercorak timbul dan tandas OKU.

"Selain itu, ruangan khas juga turut disediakan khusus untuk pengguna berkerusi roda selain tempat duduk keutamaan (priority seat) tersedia bagi keselesaan pengguna yang memerlukan seperti pengguna OKU, wanita mengandung, dan warga emas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 8:48 AM