FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Kuala Lumpur: Kerajaan mengulangi komitmen terhadap mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 dan meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu dalam sistem pembekalan elektrik daripada 25 kepada 70 peratus, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata usaha itu disokong dengan memperkenalkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang mewujudkan laluan untuk campuran tenaga, pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan inisiatif peralihan tenaga.

Menurut Nik Nazmi bagi mencapai sasaran berkenaan, Malaysia memerlukan pengimbangan teliti trilema tenaga untuk memastikan tenaga yang lestari, selamat dan mampu milik untuk masa hadapan.

"Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara (MTPIN) baru-baru ini bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Dekarbonisasi Kebangsaan, yang akan saya pengerusikan.

"Dianggotai oleh kerajaan negeri dan pihak berkepentingan lain, peranan jawatankuasa ini adalah untuk memastikan peralihan Malaysia kepada pembangunan rendah karbon adalah teratur dan menyeluruh.

"MTPIN turut bersetuju supaya pelbagai dasar seperti NETR disegerakan, selain Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR)," katanya berucap pada Persidangan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) 2024 di sini semalam.

Persidangan berkenaan menekankan keperluan perpaduan global dalam mengutamakan pelaburan yang mampan untuk kesejahteraan manusia di tengah-tengah cabaran alam sekitar yang semakin meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 7:46 AM