TENGKU Zafrul (empat dari kanan) dan Yin Tongyue (lima dari kanan) ketika perasmian kilang Chery di Shah Alam. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
TENGKU Zafrul (empat dari kanan) dan Yin Tongyue (lima dari kanan) ketika perasmian kilang Chery di Shah Alam. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Oleh Lizam Ridzuan
[email protected]
Shah Alam

Chery Auto Malaysia komited untuk melabur lebih RM1 bilion sejak tahun lalu di negara ini dan yang terbaharu menerusi pembukaan kilang pemasangan kenderaan yang terletak di Shah Alam.

Pengerusi Chery Automobile Co Ltd, Yin Tongyue berkata menerusi pembukaan kilang ini ia menawarkan lebih 500 peluang pekerjaan dengan tambahan 1,000 jawatan di pusat jualan, servis dan alat ganti jenama kenderaan itu di seluruh negara.

"Terletak secara strategik di zon perindustrian Shah Alam, kilang ini beroperasi berhampiran pengeluar tempatan yang penting kepada rantaian bekalan.

"Kemudahan ini juga terletak tidak jauh daripada pelabuhan paling sibuk Malaysia, yang merupakan pelabuhan kedua terbesar di Asia Tenggara, yang meningkatkan lagi tahap kesediaan pengeluar untuk mengeksport ke rantau Asean pada masa depan," katanya pada perasmian kilang berkenaan di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China, Dr Jin Zhuanglong.

Model pertama dipasang di sini ialah sub jenama premium Chery iaitu Jaecoo J7 varian pacuan semua roda (AWD) dan pacuan dua roda serta menyasarkam komponen kandungan tempatan sekitar 40 hingga 50 peratus pada masa depan.

Menerusi perancangan lain syarikat juga bakal memperkenalkan model Jaecoo dan teknologi baharu untuk pasaran tempatan dan kini sudah membuka pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk kenderaan pemanduan sebelah kanan (RHD) serantau.

"Malaysia adalah permulaan dan hab untuk pembangunan kenderaan sebelah kanan kerana ketersediaan pekerja mahir, lokasi yang strategik, faktor cuaca dan geografi yang sesuai untuk menguji kenderan kami untuk pasaran serantau.

"Selepas Malaysia, pusat R&D ini bakal dibuka di negara lain seperti United Kingdom dan Australia serta lokasi yang bersesuaian mengikut keperluan pasaran," katanya.

Kilang di Shah Alam ini juga sedia untuk memasang model enjin pembakaran dalaman (ICE), Kenderaan Elektrik Plug-In Hibrid (PHEV) dan kenderaan elektrik (EV) Jaecoo pada masa hadapan.

Untuk model Chery di Malaysia ia kekal dipasang di Kilang Inokom di Kulim, Kedah seperti sebelum ini untuk model Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 8:37 AM