Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (kanan) bersama Ketua Pemasaran dan Pengurusan Data Shopee Malaysia, Ming Kit Tan Shopee melancarkan kempen Pek Kasih Mama Shopee di Puncak Alam. FOTO ROHANIS SHUKRI
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (kanan) bersama Ketua Pemasaran dan Pengurusan Data Shopee Malaysia, Ming Kit Tan Shopee melancarkan kempen Pek Kasih Mama Shopee di Puncak Alam. FOTO ROHANIS SHUKRI

Kuala Lumpur: Shopee Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melancarkan kempen Pek Kasih Mama bagi menyediakan sokongan kepada ibu di seluruh Malaysia.

Sebanyak 1,000 pek penjagaan disediakan untuk kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini.

Shopee menerusi kenyataan berkata, kempen Pek Kasih Mama adalah komitmen pihaknya untuk menyediakan sokongan jangka panjang kepada golongan ibu.

Katanya, melalui kerjasama strategik dengan KKM, Shopee membantu meningkatkan akses kepada barangan penjagaan mampu milik untuk anak dan ibu.

Setiap pek dipilih dengan teliti merangkumi barangan penjagaan bayi dan ibu seperti lampin disahkan oleh KKM, tisu basah bayi, produk mandian, tuala, keperluan penyusuan anak dan produk penjagaan kulit yang selamat untuk wanita hamil dan yang menyusukan anak.

"Kod QR akan diletakkan secara strategik di pelbagai acara kerajaan yang ditetapkan di seluruh negara, supaya ibu mudah mendaftar secara percuma ke Shopee Mum's Club yang menawarkan pelbagai faedah seperti baucar dan diskaun eksklusif, kandungan keibu bapaan, tips dan nasihat keibu bapaan melalui sesi Shopee Live," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 7:36 AM