PENGURUSAN kanan Marrybrown pada majlis menandatangani MoU bagi pembukaan cawangan di Kemboja dan Uzbekistan
PENGURUSAN kanan Marrybrown pada majlis menandatangani MoU bagi pembukaan cawangan di Kemboja dan Uzbekistan

Kuala Lumpur: Selepas melebarkan sayap di persada antarabangsa dengan pembukaan cawangan di Australia tahun lalu, Marrybrown️ selaku rangkaian Restoran Perkhidmatan Pantas (QSR) halal tempatan terbesar, kini melangkah lebih jauh dengan pemeteraian MoU dengan SP QSR and Food Services Co Ltd dan Gemilang International Limited untuk pembukaan cawangan baharu Marrybrown di Kemboja dan Uzbekistan.

Dengan lebih 40 tahun pengalaman francais, Marrybrown️ kini menyasarkan untuk meneruskan pengembangan rangkaian Marrybrown®️ secara agresif dengan merancang lebih 30 cawangan baharu di Kemboja dan Uzbekistan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Susulan permintaan makanan halal yang menggalakkan dari negara sebelum ini, ia telah membuka peluang yang lebih luas dalam memperkenalkan Ayam Goreng MB®️ serta pelbagai lagi hidangan inovatif dengan sajian istimewa Malaysia di luar negara dan pada masa sama terus memperluaskan pasaran domestik.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Marrybrown, Datuk Joshua Liew berkata, kerjasama dengan syarikat ini, sejajar dengan rancangan pengembangan antarabangsa syarikat.

"Dengan pengalaman dan pengetahuan yang meluas dalam pasaran tempatan, kami optimis bahawa kerjasama ini akan mendatangkan kejayaan luar biasa.

"Pembukaan cawangan terbaharu ini membolehkan kami mengetengahkan pengalaman pemakanan yang unik dan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelanggan baharu," katanya dalam kenyataan.

Katanya, Marrybrown kini bersedia untuk melancarkan cawangan pertamanya di Phnom Penh, Kemboja disusuli dengan pembukaan pertama di Tashkent City, Uzbekistan.

"Dengan peningkatan permintaan untuk makanan halal, Marrybrown®️ mengambil peluang ini untuk menghidangkan pilihan makanan yang diperlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 7:32 AM